"Kita akui Kelantan ada masalah air
dan tidak pernah nafikan perkara itu," kata Timbalan Menteri Besar
Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, kepada pemberita selepas Majlis
Sambutan Hari Hutan Antarabangsa ke-52 Peringkat Negeri Kelantan 2023 di sini
pada 8 Mei.
Kenyataan itu jelas tidak menafikan keluh
resah rakyat yang telah berdepan dengan masalah air sejak berpuluh tahun lalu.
Masalah air itu bukan hanya berlaku di jajahan tertentu sahaja, tetapi seluruh
jajahan di Kelantan. Selain masalah ketiadaan air, masalah lain sering dihadapi
ialah air berkarat atau tidak bersih.
Tidak dinafikan bukan semua tempat
menghadapi masalah bekalan air, tetapi ia sudah menjadi “identiti” Kelantan
yang berdepan masalah bekalan air. Keadaan itu bukan sahaja dihadapi penduduk
di pedalaman, tetapi juga parah di kalangan penduduk di bandar Kota Bharu yang
menjadi ibu negeri Kelantan dan pusat ekonomi negeri.
Entah apa punca sebenar masalah itu. Tetapi
cakap-cakap mengatakan ia berpunca masalah paip lama yang sering pecah sehingga
banyak air terbazir.
Syarikat pengendali bekalan air bersih di
Kelantan, Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB), dilaporkan kini sedang giat
melakukan proses menukar 4,000 kilometer paip air di seluruh negeri.
Proses tersebut tentunya mengambil masa
yang panjang. Dan tambah lagi ia melibatkan atau memerlukan peruntukan yang
besar dianggarkan RM7 bilion untuk menyelesaikan masalah ini.
Keadaan ini bermakna lambat lagi isu
masalah air di Kelantan akan selesai. Kalau di kampung, mungkin mereka boleh
mengharapkan bekalan air telaga dan air sungai.
No comments:
Post a Comment