Dinasti Long Yunus yang diasaskan oleh Long
Yunus (1775 - 1794) telah menjadikan hukum Islam sebagai teras
pentadbiran. Golongan ulama dilantik menjadi penasihat kepada pihak
istana dalam soal berkaitan hukum agama dan pentadbiran.
Pada zaman pemerintahan Long Yunus, telah
lahir seorang ulama terkenal iaitu Tuan Sheikh Haji Ab.
Halim. Beliau menjadi penasihat kepada pihak istana dan mengadakan
kelas pengajian agama di istana untuk kerabat diraja dan pembesar negeri.
Pada masa pemerintahan Sultan Muhammad I
(1800 - 1835), Sheikh Haji Ab Halim telah dilantik sebagai penasihat khas
baginda. Atas nasihat beliau, Sultan Muhammad I telah mengarahkan
membina banyak masjid, surau dan wakaf untuk tempat beribadat dan kemudahan
persinggahan.
Semasa pemerintahan Sultan Muhammad II (1839
- 1886), syiar Islam lebih berkembang pesat di Kelantan. Baginda
telah melantik lebih ramai pegawai agama bagi menguruskan soal-soal
keagamaan. Di setiap mukim dan kampung dilantik imam dan bilal untuk
mengendalikan hal-ehwal agama.
Pada masa pemerintahan baginda, Masjid Kota
Bharu telah didirikan pada tahun 1867 bagi menggantikan masjid lama. Masjid
Kota Bharu kemudiannya muncul sebagai pusat pengajian dan keilmuan terpenting
di Kelantan dan seluruh Nusantara.
Masjid Besar Kota Bharu atau kini dikenali
Masjid Muhammadi mula dibina pada tahun 1921 (menggunakan batu) menggantikan
bangunan kayu. Masjid tersebut siap sepenuhnya pada tahun
1931. Ia dianggap bangunan tercantik di Kota Bharu dan di antara
bangunan terawal mendapat bekalan elektrik sepenuhnya.
Kewujudan Masjid Besar Kota Bharu
menyerlahkan fungsi masjid sebagai pusat perkembangan
ilmu. Berhampiran bangunan Masjid Besar Kota Bharu dan kawasan sekitar
telah wajud beberapa pusat pengajian Islam dan pusat pentadbiran Islam.
Sultan Ahmad (1886 - 1889) menggantikan
Sultan Muhammad II juga mengikuti usaha pemerintah sebelumnya dalam usaha
mengembangkan ajaran Islam. Kelas-kelas agama dikendalikan oleh
ulama terkenal semakin banyak dibuka.
Hukum potong tangan ke atas pencuri dan hukum
hudud telah mula diamalkan di Kelantan pada masa pemerintahan Sultan Muhammad
III (1889 - 1890). Hukum tersebut berterusan sehingga pemerintahan
Sultan Mansor (1890 - 1900).
Penubuhan Majlis Agama Islam dan Adat
Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) merupakan satu sejarah besar kepada pekembangan
Islam di Kelantan. Ia satu bukti usaha pihak istana ingin memperkukuhkan dan
menyediakan satu badan khas untuk mentadbir urusan keagamaan dan kebajikan
bangsa Melayu di Kelantan.
Penubuhan MAIK dilakukan pada 24 Disember
1915 bersamaan 16 Safar 1334 dilakukan atas titah Sultan Muhammad IV (1900 -
1920). Dengan adanya MAIK segala urusan keagamaan dikendalikan oleh
pegawai mempunyai kemahiran khusus dan sumber kewangan yang dirancang untuknya.
MAIK menerbitkan majalah Pengasuh pada 1918
yang antara lain bertujuan memudahkan usaha penyebaran pengetahuan Islam kepada
rakyat. Penyunting kehormat pertama Pengasuh ialah Haji Muhammad
Yusof bin Ahmad atau lebih dikenali Tok Kenali, seorang ulama tersohor
Kelantan.
Catatan sejarah itu dengan jelas membuktikan
peranan besar yang dimainkan oleh institusi istana dalam perkembangan isnstusi
pendidikn Islam di alam Melayu.
Pengasuh menjadi media terpenting menyebarkan
fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh mesyuarat ulama dan menjawab persoalan
berkaitan agama yang dikemukakan oleh pembaca.
Pengasuh menjadi medan perbincangan dan sumber ilmu Islam terpenting. Pengasuh masih diterbitkan sehingga sekarang dalam bentuk majalah agama lebih golbal.
No comments:
Post a Comment