Monday, 11 December 2017

Percaturan ilmu rentas globalisasi

Era globalisasi merupakan medan percaturan antara si bijak dengan si bodoh, yang pastinya si bodoh menjadi mangsanya.  

Umat Islam pasti terus ketinggalan jika gagal mencipta kecemerlangan, khususnya dalam teknologi maklumat yang berkembang pesat sekarang.

Malaysia mampu berbangga dengan perkembangan pendidikan tinggi yang mencapai tahap berjaya menarik banyak pelajar luar negara menimba ilmu.  

Jika dua dekad yang lalu kita terpaksa menghantar pelajar ke luar negara untuk menuntut ilmu, khususnya dalam bidang sains dan teknologi, tetapi kini tidak kurang 100,000 pelajar dari seluruh dunia kini menuntut ilmu di peringkat tinggi di negara kita.

Ingatlah, menuntut ilmu adalah sebahagian daripada jihad. Justeru, kesempatan menuntut ilmu tidak patut dipersia-siakan.  

Peluang menuntut ilmu di negara kita semakin terbuka apabila lebih banyak pusat pengajian tinggi swasta ditubuhkan. 

Malah, kaedah pengajian separuh masa atau Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) membuka peluang kepada mereka yang sudah berkerja untuk turut belajar. Program PSH adalah agenda utama negara dalam pembangunan modal insan secara berterusan.

Menyedari pentingnya ilmu kepada semua lapisan umur dan latar belakang kerjaya, kerajaan menyediakan Plan Induk Pembudayaan PSH mensasarkan 50 peratus penduduk Malaysia berusia 15 hingga 64 tahun pada tahun 2020 nanti menyertai program tersebut.  

Pada tahun 2020 nanti, golongan dalam kelompok umur tersebut dijangkakan berjumlah 26 juta. Ini bermakna pada tahun tersebut PSH akan melibatkan kira-kira 13 juta orang.

Hasil perancangan Plan Induk Pembudayaan PSH, semakin banyak rakyat menyertainya. Terdapat universiti yang memberi korta khusus kepada warga emas untuk menuntut ilmu. Malah, mereka turut diberikan diskaun yuran pengajian sebagai galakan.

Hasilnya, semakin banyak bilangan warga emas menjadi mahasiswa. Ada di antara mereka yang belajar satu univesiti dengan anak. Situasi itu secara tidak langsung memberi galakan kepada anak untuk belajar dan berjaya bersama ibu atau bapa masing-masing.

Kepada golongan muda seharusnya mengambil perkara ini sebagai satu cabaran. Jika golongan tua yang sudah berusia lebih setengah abad masih bersemangat untuk belajar, jadi mengapa mereka yang baru dia awal usia 30an dan 40an mengatakan sudah terlewat untuk belajar. 

Maka, sudah semestilah usaha mencari ilmu, khususnya pengajian peringkat tinggi perlu dilakukan oleh golongan remaja yang sememang pada masa usia itu adalah tempoh waktu terbaik untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada soal menuntut ilmu.  

Jangan sia-siakan peluang terbaik untuk mendapat ilmu dan kemahiran yang sesuai dengan minat dan kemampuan diri.

No comments:

Post a Comment