Thursday, 14 December 2017

Kerja dakwah seru buat baik cegah lakukan keburukan

Kedudukan umat Islam semakin goyang disebabkan serangan bertalu-talu pihak musuh dan kegagalan umat Islam mengendalikan urusan peribadi, masyarakat dan negara.  

Kedudukan ini jika tidak diperbetulkan akan membawa umat Islam kepada malapetaka besar apabila kejahatan dan keburukan mengatasi kebaikan yang dikehendaki agama.

Sesungguhnya, masyarakat yang terbaik sentiasa mementingkan amalan menyeru melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Amalan itu dapat melahirkan satu masyarakat yang sentiasa mengambil berat soal keselesaan, keselamatan, keharmonian dan kebaikan bersama.  

Konsep ini dipanggil dakwah iaitu menggalakkan manusia berbuat kebaikan dan mengikut peraturan hidup, menyeru membuat kebajikan dan melarang daripada membuat perkara yang mendatangkan kesan buruk. Dakwah adalah usaha membawa orang lain kepada Islam, mengikut petunjuk agama dan melaksanakan ketetapan Allah.

Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 110 surah Ali Imran yang bermaksud: 

"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)."

Terdapat tiga pendekatan melaksanakan dakwah, iaitu pertamanya melalui tauladan. Orang yang menyeru kepada kebaikan menunjukkan contoh baik agar diikuti oleh orang lain.  

Dakwah secara itu lebih berkesan kerana dapat dilihat dan lahir perasaan orang lain untuk sama-sama melakukan perkara baik itu.

Firman Allah SWT bermaksud: "Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!" (Surah Fusssilat 41:33)

Kaedah kedua ialah dengan cara lisan, menyatakan apa yang perlu dilakukan dan menjauhkan apa dilarang. Cara itu dapat menjelaskan banyak perkara lebih mudah.    

Cara ketiga pula ialah melalui pengantaraan tulisan di mana apa-apa yang hendak dijelaskan diterjemahkan dalam bentuk tulisan dan gambar. Cara ini nampak seperti pasif tetapi lebih meluas dan boleh dimanfaat secara berterusan. 

Hasil tulisan boleh terus dimanfaatkan biarpun masa telah lama berlalu dan diulang cetak. Hasil penulisan masih boleh dimanfaatkan biarpun penulisnya telah meninggal dunia. 

Sekarang ini, fungsi media dan dan kemudahan telekomunikasi semakin berkembang yang boleh dimanfaatkan untuk melaksanakan dakwah tanpa batasan. Kegunaan internet boleh dijadikan saluran melaksanakan dakwah tanpa sempadan.       

Tugas dakwah penting dilakukan setiap orang memandangkan ia tonggak kejayaan hidup bermasyarakat.  

Sesiapa tidak menjalankan tugas dakwah boleh dianggap sebagai mementingkan diri sendiri dan hidup dalam kelompok tertentu saja tanpa memikirkan mengenai masyarakat sekeliling.

Tanggungjawab penting ini harus digerakkan sepanjang masa dengan ikhlas, bersungguh-sungguh kerana ia amanah Allah SWT.

Firman Allah SWT bermaksud: “Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Nahl 16:125)

No comments:

Post a Comment