Thursday, 14 December 2017

Siapa boleh laku tugas dakwah

Sesiapa saja boleh melakukan tugas dakwah, asalkan apa yang diberitahu dan disurah itu satu kebaikan yang patut turut dilakukan oleh orang lain. Untuk menjadi pendakwah tidak memerlukan satu kedudukan yang tinggi, kekayaan, pangkat atau keturunan mulia baru boleh melayakkan diri untuk berdakwah kepada orang lain. 

Rasulullah SAW mengarahkan agar tugas berdakwah dilakukan biarpun sekadar menyampaikan satu ayat. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sampaikanlah daripadaku walaupun hanya satu ayat”  (Hadis riwayat Ahmad, Bukhari dan Tirmizi).

Setiap perkara yang didakwah mestilah perkara yang benar, mendatangkan kebaikan dan menjauhkan keburukan. Jika kita menyuruh atau melakukan perbuatan memunggut sampah yang dibuang merata-rata juga sebahagian daripada dakwah yang mana semua orang sepatutnya melakukan amalan mulia itu.

Menegur seseorang agar tidak melakukan perbuatan ditegah juga adalah dakwah, biarpun sekadar berkata ‘jangan’ kepada sesuatu perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh orang itu.

Tugas dakwah penting dilakukan sepanjang masa memandangkan manusia tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan dosa. Sesuatu dakwah mungkin perlu dilakukan berulang-ulang kali kepada orang yang sama. 

Sifat manusia mudah lupa dan tergoda melakukan perbuatan yang mendatangkan keseronakan, tetapi itulah yang mendatangkan keburukan kepada diri dan orang lain. Jadi, tugas dakwah tidak hanya terhenti apabila telah menyatakan sekali kepada sasaran yang didakwah itu. 

Sebab itu juga, kita memerlukan lebih banyak orang yang bersedia menjadi pendakwah dan bukannya yang perlu didakwah. Amalan nasihat dan menasihat perlu dijadikan amalan dalam kehidupan masyarakat untuk mengelak kerugian. 

Firman Allah SWT bermaksud: “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapkan kesabaran” (Surah al-Ashr 103: 1-3).

Kita memang perlu mengambil berat tentang apa yang berlaku di sekitar kita kerana ia secara tidak langsung memberi kesan kepada kita juga. Ini bukan soal menjaga tepi kain atau menjadi kaki sibuk, tetapi satu keperluan untuk kebaikan semua.

Yang menjadi pendakwah mesti melakukan secara jujur atas niat mebuat kebaikan, bukan sekadar ingin mencari kesalahan orang lain. Manakala yang didakwah pula hendaklah menerimanya dengan hati dan fikiran yang terbuka. 

Setiap orang perlu menerima teguran dengan seadanya. Jika benar telah lakukan kesalahan, perbetulkan segera dan berterima kasihlah kepada mereka yang menegur itu. 

Sebaliknya, jika apa yang dicuba diperbetulkan itu sebenarnya tidak ada apa yang harus diperbetulkan kerana ia sememangnya telah baik atau tidak mendatangkan keburukan, anggaplah ia salah faham.

Kesalahan dilakukan seseorang jika tidak diperbetulkan akan turut memberi kesan kepada orang lain. Sebab itu ia tidak boleh dianggap urusan individu semata-mata.  Sebaliknya ia adalah permasalah seluruh anggota masyarakat yang perlu ditangani sebaik mungkin. 

Setiap kemungkaran yang berlaku perlu dicegah segera biarpun nampak kecil  Sebenarnya yang kecil perlu diberi keutamaan untuk dicegah kerana lebih mudah. 

Oleh itu, dalam menjalankan dakwah, kesabaran hendaklah diutamakan untuk menjamin kelangsungan walaupun diejek, ditentang dan diancam, tetap saja menyampaikan risalah Allah SWT kepada manusia tanpa rasa marah atau kecewa.

Pendakwah seharusnya mengerti bahawa tugasnya hanya menyampaikan, selebihnya adalah kuasa Allah SWT. Firman Allah SWT bermaksud: “Tidak ada kewajipan yang ditugaskan kepada Rasulullah selain daripada menyampaikan (perintah Allah) saja; dan Allah sentiasa mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan.” (Surah al-Maidah 5:99).

No comments:

Post a Comment