Rumah yang kekal adalah di akhirat. Rumah di
dunia biarpun besar dan amat kita sayang akan ditinggalkan untuk diwarisakan
oleh ahli keluarga.
Biarpun rumah kita di dunia ini menggunakan
wang yang dikumpul berpuluh tahun, tidak pula bermakna kita boleh tinggal lama
di rumah itu.
Ada yang membeli atau membina rumah, belum
sempat tinggal di situ, ajal menjemput pergi. Itu tidak termasuk lagi yang baru
tinggal setahun dua di rumah baru, terus maut menjemput.
Kalau kita boleh berusaha habis-habisan untuk
menyiapkan rumah di dunia yang bila-bila masa sahaja akan ditinggalkan, mengapa
pula kita tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk membina rumah yang terbaik di
akhirat nanti.
Rumah di akhirat tidak memerlukan wang untuk
membinanya. Rumah diakhirat akan ditentukan oleh pahala dosa amalan dilakukan
di dunia ini.
Jika pahala lebih banyak dilakukan, maka
rumah di akhirat akan berada di syurga. Sebaliknya, jika banyak dosa yang
dibawa pergi, maka nerakalah tempatnya.
Berusahalah mengumpulkan pahala sebanyak mungkin.
Ia bukan sahaja untuk membolehkan mendapat rumah di syurga, tetapi juga
menentukan jenis rumah yang akan didiami di syurga.
Syurga itu banyak tingkat. Setiap tingkat
dibezakan mengikut banyak mana pahala yang dibawa. Maka berusahalah mengumpul banyak
pahala dan mengurangkan dosa.
Jumlah dosa kurang apabila tidak melakukan perkara
ditegah. Jika telah terlanjur melakukan dosa, bertaubatlah untuk menghapuskan dosa
itu.
Dosa yang telah diampunkan tidak lagi akan dibawa
ke akhirat. Ambillah peluang untuk bertaubat. Perbanyakkan taubat dan bersihkan
diri daripada dosa.
Jika rumah di dunia boleh kita tukar, ubah suai
atau bina yang lain, tetapi tidak di akhirat. Justeru, berusahalah bersungguh-sungguh
agar mendapat rumah terbaik di akhirat yang kekal selama-lamanya.
No comments:
Post a Comment