Wednesday 25 December 2019

TOLERANSI SUBURKAN SIFAT PEMAAF

Hidup bertoleransi dan saling menghormati menjadi agenda penting masyarakat bertamadun. Tidak ada perkara menakutkan dalam menjalin hubunan sesama manusia. Hakikatnya tidak ada individu yang kebal bebas melakukan apa saja diingini, kerana kita dibatasi undang-undang dan hukum agama.

Sikap ego dan mementingkan diri bukan mendatangkan kebaikan kepada pelakunya, sebaliknya menimbulkan kesan emosi yang tidak stabil dalam diri. Sebab itu, satu amalan terbaik ialah sentiasa merendahkan diri dan bersedia untuk memaafkan orang lain.

Setiap hari kita sentiasa berdepan dengan situasi menimbulkan perasaan marah.  Kejadian itu berlaku di rumah, jalan raya, dalam kenderaan awam, pejabat, kedai dan di mana saja, disebabkan oleh orang yang kita kenal dan tidak kenal.

Keadaan itu hanya dapat diredakan jika adanya sifat pemaaf di dalam diri yang bertindak seperti air mematikan api. Sifat pemaaf menjadi benteng yang menghalang daripada timbulnya sifat pemarah.     

Justeru, pemaaf adalah sifat luhur yang perlu ada pada diri setiap muslim. Sifat itu mempunyai kesan amat besar dalam kehidupan kerana ia dapat menyelamatkan seseorang daripada terjebak dalam tindakan yang tidak sepatutnya dilakukan. 

Allah berfirman bermaksud: "Dan orang yang menahan amarahnya dan memanafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan." (Surah Ali Imran, ayat 132)

Orang yang bersifat pemaaf adalah insan yang tidak berdendam dan buruk sangka terhadap orang lain. Biarpun pernah diperlakukan dengan sesuatu yang menimbulkan perasaan marah, dia memaafkan perbuatan itu dan menerimanya dengan fikiran positif. 

Sifat itu memberi keyakinan diri bahawa yang berhak menghukum hanyalah Allah. Biarlah Allah yang menentukan balasan terhadap apa yang dilakukan oleh orang lain terhadap kita. Individu pemaaf dan sabar sentiasa tenang dan sentiasa muhasabah diri apa yang berlaku.    

Memang orang dizalimi berhak membalas balik perbuatan itu, namun lebih baik jika  memberi kemaafkan. Tindakan tidak membalas balik akan mengelak diri daripada melakukan kezaliman jika membalas balik itu melebihi apa yang sepatutnya.   

Firman Allah yang bermaksud: "Dan bagi orang yang dizalimi mereka akan membela diri. Dan balasan sesuatu kejahatan adalah kejahatan yang sama.  Maka sesiapa yang memaafkan dan berbuat baik, maka pahalanya adalah tanggungan Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang zalim." (Surah asy-Syura, ayat 39-40)     

Gambar hiasan - Masjid Sultan Mansor, Kampung Sireh, Kota Bharu Kelantan.

Sunday 1 December 2019

KHASIAT ALOE VERA LIDAH BUAYA

Aloe vera atau lebih dikenali sebagai pokok lidah buaya adalah antara tumbuhan semula jadi yang paling banyak khasiat kepada manusia sama ada untuk kegunaan luaran mahupun dalaman.

Jika dilihat pada struktur tumbuhan aloe vera itu sendiri, bahagian luar daunnya yang keras dan tebal secara semula jadi memerangkap dan menyimpan air yang kemudiannya berubah kepada bentuk jeli.

Jeli pada bahagian berkenaan mempunyai pelbagai khasiat untuk manusia yang mana kebaikannya terutama pada kulit. Keadaan itu dapat dilihat pada sifat semula jadi jeli yang bertindak membaluti dan melindungi bahagian daun yang terdedah selepas beberapa jam dikerat.

Bahagian dalam jeli yang terdedah itu akan terlindung daripada serangan bakteria. Sifat perlindungan semula jadi itu akan terhasil apabila jeli itu digunakan untuk memelihara kulit manusia.

Berdasarkan beberapa kajian, aloe vera adalah tumbuhan paling banyak khasiat yang digunakan untuk kesihatan dalaman dan luaran sejak lebih 5,000 tahun dahulu.

Antara komponen aktif yang terkandung dalam tumbuhan ini adalah air, pelbagai vitamin (A, C, E, B1, B2, B3, B6 dan B12) dan mineral (kalsium, magnesium, zink, kromium, selenium, sodium dan zat besi), enzim serta asid amino.

Komponen terbaik aloe vera ialah mempunyai sifat membersih dan anti-septik, bertindak dengan kuat terhadap bakteria, virus dan kulat.

Tumbuhan ini juga berupaya menghalang jangkitan kerana bersifat anti bakteria. Berfungsi memelihara kulit dan membaiki sel yang rosak dan penghasilan kolagen dan protein yang mengawal proses penuaan kulit dan kedutan.

Pengambilan aloe vera membantu tubuh dengan membuang apa yang tidak baik dan meningkatkan kualiti dalaman tubuh.

Kenapa perlu minum aloe vera?
- Jika anda sihat, minuman aloe vera akan meningkatkan kesihatan organ dalaman anda dan menjadikan anda lebih cergas, bertenaga dan sihat.
- Jika anda kurang sihat, ianya akan membantu perawatan organ dalaman tubuh anda

Aloe Vera bukanlah sejenis "overnight cure" yang akan melakukan segala-galanya dalam tempoh yang singkat. Pun begitu setiap orang mempunyai tempoh masa yang berbeza untuk melihat kesannya.

Apa yang penting, segala amalan yang tidak sihat seperti merokok, makan makanan yang tinggi kolesterol dan seumpamanya haruslah dihentikan. Berikan ruang untuk tubuh anda mengalami pembaikan atau istilahnya adjustment.

Bolehkah pesakit kencing manis mengambil Aloe Vera Gel?
Dalam sesetengah pesakit kencing manis, didapati Aloe Vera meningkatkan jumlah insulin yang dihasilkan oleh badan.

Sesiapa yang mempunyai diabetes yang ingin mengambil aloe vera harus sedar tentang perkara ini dan harus berunding dengan doktor mereka untuk memastikan bahawa tahap insulin mereka adalah betul dan dipantau dengan teliti.

Terdapat ramai pesakit kencing manis kini minum gel atau jus aloe vera dan mendapati bahawa diabetes mereka "under control" di mana berat badan mereka adalah lebih stabil dan mereka lebih bertenaga.

Tempoh keberkesanan penggunaan aloe vera bergantung kepada penerimaan badan individu. Sebagai bahan semulajadi, ianya mengambil masa untuk perawatan tubuh dan bergantung kepada individu itu sendiri kerana tahap tindakbalas badan manusia adalah saling berbeza.