Thursday, 29 August 2024

BERHATI-HATI DALAM TUTUR KATA

Rasulullah SAW mengingatkan kita agar berhati-hati dalam tutur kata. Jika tidak mampu mengucapkan yang baik-baik yang boleh menggembirakan orang lain lebih baik kita diam.
 
Baginda Rasulullah SAW berpesan: "Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata baik atau diam." (Hadis diriwayatkan Bukhari dan Muslim)
 
Memang diakui bahawa bukan suatu perkara mudah untuk seseorang berdiam diri sahaja dalam memperkatakan sesuatu. Tetapi seharusnya kita faham bahawa pesanan Rasulullah SAW tersebut sebenarnya mendidik umatnya supaya bijaksana dan sentiasa 'berfikir dahulu sebelum berkata.'
 
Namun, apa yang seringkali berlaku sebaliknya. Kita tanpa berfikir panjang mengeluarkan kosa kata dalam menaratif sesuatu isu.
 
Ketahuilah bahawa lidah itu lebih tajam daripada pedang. Tusukan lidah boleh menusuk jiwa manusia yang goyah sehingga boleh dikuasai syaitan.
 
Maka dengan menjaga lidah dan tutur kata, manusia akan dapat menjamin ketenteraman, perdamaian dan kesejahteraan masyarakat mereka sepanjang masa.
 
Nilai dan adab yang murni ini bagaimanapun kelihatan amat terhakis di dalam masyarakat manusia pada zaman ini. Pengaruh kebendaan dan nafsu manusia yang semakin meluap-luap pada masa kini telah berjaya mengetepikan sifat sopan santun, adab susila pertuturan dan perbuatan mereka yang kelihatan semakin ganas dan berterus terang menaburkan kata-kata yang buruk, jijik, umpatan dan celaan yang melampau.
 
Orang-orang tertentu kini kelihatan tidak mementingkan lagi adab sopan dalam pertuturan dan kelakuannya kerana mereka pada masa ini sering bersaing dengan hebatnya di dalam berbagai-bagai persaingan hidup dengan secara yang amat cepat dan pantas sekali.
 
Demi kuasa dan kedudukan ada orang sanggup menuturkan kata-kata yang mengguris hati orang lain. Umpat keji dan fitnah seperti sudah menjadi perkataan biasa yang tidak lagi dianggap satu kesalahan dan dosa.
 
Amat malang sekali apabila ucapan itu dilahirkan daripada mereka yang kononnya mengaku mulia dan berkedudukan tinggi. Mereka menggunakan pengaruh dan sokongan pengikut untuk bebas berkata-kata kerana yakin apa yang dicakapkan itu akan diterima bulat-bulat oleh pengikut. 

No comments:

Post a Comment