Perbuatan berjudi semakin menjadi-jadi
dalam masyarakat, termasuk di kalangan penganut agama Islam. Pelbagai bentuk
judi dimainkan seperti terup, loteri, mesin slot dan pelbagai bentuk di dalam
talian.
Tidak kira apa bentuk judi sama ada
dibenarkan undang-undang atau haram, hakikatnya ia adalah satu perkara yang
diharamkan dan berdosa besar di sisi Islam.
Menurut Kamus Dewan, judi diertikan sebagai
permainan dengan memakai wang dan lain-lain sebagai taruhan (seperti main ceki,
main dadu, dan sebagainya).
Judi dalam bahasa Arab dikenali sebagai
al-maisir atau al-qimar. Ia bermaksud permainan pertaruhan golongan
Arab dengan menggunakan anak panah. Permainan judi juga ditakrifkan sebagai
permainan dengan anak batu, atau dengan dadu atau segala jenis pertaruhan.
Di dalam al-Mu’jam al-Wasith, judi disebut
sebagai setiap permainan yang mengandungi pertaruhan dari kedua belah pihak.
(Lihat al-Mu’jam al-Wasith, hlm. 7589)
Dari segi istilah, terdapat beberapa
takrifan yang dikemukakan oleh para ulama antaranya:
Ibn Hajar al-Haitami menyebut judi adalah
merujuk kepada sebarang jenis pertaruhan. (Lihat al-Zawajir 'an Iqtiraf
al-Kaba'ir, 2/200)
Al-Mahalli mengatakan judi adalah sebuah
bentuk pertaruhan yang diharamkan, yang terdedah untuk menang atau kalah.
(Lihat Syarh al-Minhaj, 4/226)
Al-Mawardi menyebut judi ialah suatu
pertandingan yang menjadikan pihak yang terlibat tidak terlepas daripada menjadi
pemenang (mengambil) atau tewas (menyerahkan) hadiah yang dipertaruhkan.
(Lihat al-Hawi al-Kabir, 13/379)
Ibn Qudamah pula mengatakan judi ialah
pertandingan yang tidak sunyi salah satu daripada keduanya untuk menang atau
kalah. (Lihat al-Mughni, 10/171)
Menurut Ibn Taimiyyah, judi merupakan pengambilan
sebahagian daripada harta seseorang, kemudian dipertaruhkan sama ada seorang
itu mendapat hasil atau tidak mendapat apa-apa. (Lihat Majmu’ al-Fatawa,
19/283)
Ibn Qayyim pula berpandangan judi adalah suatu
situasi di mana salah seorang daripada keduanya untuk menang ataupun kalah.
Imam Malik menyatakan judi terdiri daripada
dua jenis. Pertamanya, judi yang bersifat sia-sia (lagha) seperti permainan
yang menggunakan buah dadu, catur dan sebarang elemen hiburan yang tidak
bermanfaat. Manakala judu kedua ialah bersifat pertaruhan iaitu apa-apa yang
membahaya atau menggadaikan diri orang lain. (Lihat al-Jami’ li Ahkam
al-Quran, 3/52)
Syeikh Rasyid Ridha mentafsirkan judi
(al-maisir) dalam al-Quran sebagai permainan untuk mencari keuntungan tanpa
menggunakan akal dan tanpa bekerja keras. (Lihat Tafsir al-Manar, 2/258)
Syeikh Ali al-Sabuni menyebut, judi adalah
setiap permainan yang memberikan keuntungan bagi satu pihak dan kerugian bagi
pihak yang lain. (Lihat Rawa'i al-Bayan fi Tafsir Ayat al-ahkam min
al-Quran, 1/279)
Daripada takrifan yang dikemukakan oleh
para ulama di atas, maka dapat kita fahami bahawa judi ialah satu permainan
yang mengandungi pertaruhan daripada pihak bertanding di mana ia mengakibatkan
kemenangan pada sebelah pihak manakala pihak yang lain mengalami kerugian.
No comments:
Post a Comment