Saturday, 28 September 2024

AKIBAT MAHU CEPAT DAN BANYAK

 
Hidup bukan tentang pencapaian, tetapi proses yang berterusan. Tiada pengakhiran, tetapi sentiasa berjalan menuju titik infiniti. Justeru, tidak perlu tergesa-gesa untuk mencapai sesuatu. Berusahalah dan nikmati setiap pencapaian sama ada kecil atau besar.
 
Keinginan mahu cepat dan banyak akan bawa tekanan. Sikap tidak sabar boleh membawa kepada tidak teliti dan membuat keputusan salah. Kesannya hidup menjadi lebih tertekan dan merencatkan segala proses ke arah kebaikan yang ingin digapai.
 
Hidup ini umpama ombak yang ada naik dan turun. Antara naik dan turun berlaku secara berturut yang memberi kekuatan untuk menghempas pantai. Ia adalah proses dinamik dan berterusan.   
 
Hidup adalah tentang kita mampu tenang dilambung ombak. Kekal mengemudi kapal biarpun ombak besar.
 
Jadikan dua amalan kehidupan, satu untuk sentiasa membantu. Satu lagi, tidak melakukan apa apa kerosakan. Kalau tidak mampu menjadi batu permata, jangan jadi batu api. Kalau tidak dapat menambah, jangan pula menyebabkan sesuatu kebaikan berkurangan.
 
Kebaikan bukan bermakna apabila cepat dan banyak mencapai apa yang diingini. Kebaikan ialah apabila mampu mengekalkan apa yang telah dicapai atau meneruskan usaha dalam apa juga keadaan yang mencabar.
 
Kehidupan akan menjadi gawat dan penuh tekanan apabila ada keterdesakan impian “mahu cepat dan mahu banyak”. Itu sebenarnya bukan impian, tetapi ketamakan. Orang tamak selalu rugi. Bukan setakat tidak mencapai apa yang diingini, bahkan biasa melepaskan apa yang telah dimiliki.
 
Sifat syukur berada pada tahap tertinggi kerana tidak ramai yang mampu mencapai tahap syukur di atas semua anugerah diterima di dunia ini.
 
Allah SWT berfirman: “Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-Ku yang bersyukur.” (Surah Saba, ayat 13)
 
Sedangkan Allah SWT juga menegaskan, bagi hamba-Nya yang sentiasa bersyukur akan ditambah nikmat mereka. Sifat syukur juga membolehkan seseorang mendapat pahala besar.
 
Firman Allah SWT: “Dan (sebaliknya) Allah memberi balasan pahala kepada orang yang bersyukur (dengan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya).” (Surah Ali-Imran, ayat 144)
 
Kelebihan orang yang bersyukur dan sentiasa menghargai pemberian Allah SWT termasuk nikmat usia, kesihatan, harta benda, anak serta keluarga, akan merasa kebahagiaan hidup.
 
Oleh itu, jadilah hamba yang bersyukur kerana mengetahui segala nikmat datangnya daripada Allah SWT dan menterjemahkan rasa syukur dengan menggunakan kurniaan itu pada jalan yang diredai-Nya.

No comments:

Post a Comment