Saturday, 3 May 2025

MAYAT MANUSIA PURBA DITEMUI DI ATAS AIS

 
Pada 19 September 1991, sepasang suami isteri yang sedang mendaki di Pergunungan Ötztal telah membuat satu penemuan luar biasa, iaitu mayat seorang lelaki yang sebahagiannya beku, dengan hanya bahagian atas tubuhnya kelihatan di atas ais.
 
Pada mulanya, dia disangka sebagai pendaki moden yang baru sahaja meninggal dunia. Namun, analisis saintifik terhadap tubuh dan artifak di sekitarnya mendedahkan kebenaran yang mengejutkan.
 
Mayat terawet itu seorang lelaki yang hidup lebih 5,000 tahun lalu. Dia kemudian digelar Ötzi oleh media. Mayat ini ditemui di sempadan Itali dan Austria dan merupakan salah satu penemuan sisa manusia yang paling terawet secara semula jadi yang pernah ditemui.
 
Ötzi hidup sekitar 5,300 tahun lalu, antara tahun 3345–3105 Sebelum Masihi. Berkat keadaan sejuk ais, tubuhnya terawet dengan sangat baik, walaupun sudah mengering dan kehilangan lapisan epidermis serta rambut.
 
Para penyelidik telah membina semula penampilannya dan menentukan bahawa dia berusia sekitar 45 tahun, dengan ketinggian sekitar 165 cm dan berat kira-kira 50 kg pada saat kematiannya.
 
Analisis terhadap isi perutnya memberikan gambaran tentang makanan terakhir yang dimakannya adalah daging ibex (sejenis kambing gunung) dan rusa, roti, serta akar-akaran, yang dimakan kira-kira 8 jam sebelum kematiannya.
 
Serbuk sari yang ditemui dalam ususnya menunjukkan bahawa beliau tinggal di kawasan Lembah Venosta (Vinschgau Valley) di South Tyrol.
 
Tubuh Ötzi mempunyai kira-kira 60 tatu, kebanyakannya berupa garisan-garisan selari pada pergelangan kaki, betis, pergelangan tangan, dan tulang belakangnya, serta tanda salib pada lutut dan pergelangan kaki kanan.
 
Sesetengah penyelidik percaya bahawa tatu ini mungkin berkaitan dengan ritual atau rawatan terapeutik yang mirip akupunktur.
 
Ötzi sangat bersedia untuk menghadapi persekitaran Alpen yang mencabar. Dia memakai seluar kulit, tali pinggang, dan ikat pinggang. Rompi dan topi dari kulit beruang. Jubah jerami untuk kehangatan tambahan. Kasut salji khas dengan tapak lebar dan penebat rumput, berfungsi seperti stoking semula jadi
 
Peralatan yang dibawanya sangat maju untuk zamannya, termasuk:kapak tembaga (barang yang sangat jarang dan bernilai tinggi). Pisau batu dengan sarung daripada tulang. Pengikis untuk memproses kulit. Busur panjang (182 cm) dan anak panah. Kantung berisi berisi tumbuhan ubatan, dan bahan untuk menyalakan api.
 
Terdapat beberapa teori tentang bagaimana Ötzi meninggal dunia, namun teori yang paling diterima ialah beliau telah dibunuh. Sebatang anak panah batu tertancap di bahu kirinya, dan analisis forensik menunjukkan bahawa panah tersebut ditembak dari arah belakang.
 
Kecederaan ini membawa maut kerana anak panah tersebut telah merosakkan arteri utama.
 
Beberapa teori alternatif mencadangkan bahawa dia mungkin mati akibat kesejukan atau menjadi korban dalam upacara ritual, namun penemuan anak panah yang menusuk dalam menyokong teori pembunuhan.
 
Ötzi kekal sebagai salah satu penemuan paling menarik dalam bidang arkeologi, memberikan pandangan yang jarang diperoleh tentang kehidupan manusia prasejarah dan cabaran untuk terus hidup lebih lima milenia yang lalu.
 
Sumber - Media sosial.