Menghina termasuk perbuatan melampaui batas. Mereka berasa megah dan kuat menindas orang lain, sedangkan apa dilakukan itu bakal menerima pembalasan di akhirat.
Firman Allah SWT yang
bermaksud: “Sesungguhnya kesalahan hanya ada pada orang yang berbuat zalim
kepada manusia dan melampaui batas di muka bumi tanpa (menghiraukan kebenaran).
Mereka itu mendapat seksaan yang pedih.” (Surah asy-Syura, ayat 42)
Iyad bin Himar berkata,
Rasulullah SAW bersabda: “Allah yang Maha Tinggi memberi wahyu kepada saya,
menyuruh saudara sekalian merendahkan diri antara satu sama lain, sehingga
tidak ada orang yang berasa dirinya lebih hebat daripada orang lain dan tidak
ada orang bersikap angkuh terhadap orang lain.” (Riwayat Muslim)
Ada kala tanpa kita sedar
perkataan yang keluar menyebabkan orang lain berasa diri seakan dihina
disebabkan kelebihan kita miliki serta kekurangan ada pada mereka. Keadaan ini
boleh menyebabkan timbul rasa iri hati.
Sebagai hamba beriman,
setiap nikmat dikurniakan Allah SWT sepatutnya disyukuri bukan dijadikan sebab
untuk bermegah-megah hingga menyebabkan timbul rasa riak dalam diri. Manusia
semua sama di sisi Allah SWT dan yang membezakan adalah tahap ketakwaan mereka.
Firman Allah SWT yang
bermaksud: “Jangan kamu menganggap dirimu suci. Dia mengetahui berkenaan orang
yang bertakwa.” (Surah an-Najm, ayat 32)
Sebaiknya, kita sentiasa
merendahkan diri dan menanamkan dalam jiwa bahawa setiap insan itu sama kerana
yang hebat hanya Allah SWT, kita semua hanya meminjam kehebatan itu yang mana
akhirnya nanti kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap perbuatan dilakukan.
Kehidupan hari ini
memperlihatkan ramai yang bertarung untuk membina kehidupan baik untuk diri
serta keluarga masing-masing. Mereka berlumba-lumba untuk meningkatkan taraf
ekonomi supaya dapat menjalani kehidupan selesa.
Sebenarnya, banyak perkara
dalam kehidupan berkait antara satu sama lain dan kesudahannya adalah demi
menjaga kemaslahatan manusia. Hubungan baik sesama manusia menghasilkan hidup
yang harmoni sebaliknya prasangka hanya menjurus kepada permusuhan.
Oleh itu, dalam setiap
tindakan dibuat, kesan baik dan buruknya perlu difikirkan. Jadilah orang yang
memberi manfaat kepada orang lain dan jika itu juga tidak mampu dilakukan,
pastikan diri tidak menjadi masalah kepada orang lain.
No comments:
Post a Comment