Thursday, 20 October 2016

Jihad bawa kesan nilai baik

Apabila disebut jihad, maka ditakrifkan secara harfi supaya membawa maksud ‘perang suci’. Amat menyedihkan, apabila tindakan pelampau juga dikaitkan dengan jihad. Hakikatnya mereka tidak melakukan jihad bawa kesan nilai baik seperti dituntut Islam. Peluang ini dilakukan pihak musuh untuk memperlihatkan bahawa Islam itu ganas dan suka kepada peperangan.

Melalui saluran media cetak dan sebagainya, agama Islam telah diberikan gambaran buruk berasaskan pandangan umum masyarakat; gambaran buruk ini pada asasnya disebabkan kejahilan, salah tafsir dan salah faham pihak siasah, media, masyarakat awam dan juga pada sesuatu keadaan atau peringkat; mereka yang dirujuk sebagai sarjana dan alim ulama.

Istilah yang sering kali diguna pakai dan dihubungkaitkan dengan amalan zalim orang-orang tertentu, yang mendakwa mereka mengamalkan kezaliman tersebut di atas nama agama Islam, ialah istilah 'jihad’.

Kepentingan faham istilah 'jihad’ memainkan peranan yang penting dalam kehidupan umat Islam.  Istilah 'jihad’ lazimnya disalahtafsirkan sebagai membawa maksud perang suci, yang seterusnya membawa erti keganasan dan pertumpahan darah.

Hakikat sebenarnya, ‘jihad’ membawa maksud ‘usaha yang bersungguh-sungguh’. Usaha yang diamalkan seseorang dengan sepenuh daya upayanya demi pencapaian suatu matlamat yang tulus.

Ini merupakan suatu usaha yang bersifat aman damai, yang tidak sama sekali berunsurkan keganasan dan kezaliman. Pada hakikatnya istilah betul dan yang membawa maksud peperangan ialah istilah ‘qital’ dan ‘harb’.

Hatta istilah pertama, yakni istilah ‘qital’ membawa maksud yang merujuk kepada mempertahankan diri, manakala istilah yang kedua, 'harb’ membawa maksud yang merujuk lebih kepada kezaliman ganas.

Merujuk kepada takrif agama Islam dan ditafsirkan melalui kitab al-Quran, tiada sebarang bentuk ‘qital’ mahupun 'harb’ yang dianggap suci dalam apa jua keadaan sekalipun. Pada hakikatnya, keseluruhan nas kitab al-Quran dan agama Islam berkisar faham keamanan.

Tidak dapat dinafikan terdapat waktu-waktu tertentu di mana perang diharuskan, dibenarkan, dan hatta dalam sesetengah keadaan, diterima. Perang hanya diterima sekiranya matlamatnya adalah untuk menegakkan keadilan.

Dengan kata lain, matlamat perang dalam keadaan yang dihuraikan tadi bertujuan mencari keadilan. Malahan, dalam perang, pihak musuh mesti dilayan secara adil.

Sekiranya kemenangan dicapai dalam mana-mana peperangan demi menegakkan keadilan, maka harus dipastikan tiada unsur-unsur kezaliman, penindasan, pengabdian atau ketidakadilan terhadap pihak musuh atau rakyatnya. Demikian juga tiada wujud kawalan ke atas sumber-sumber kekayaan negaranya, rakyatnya atau kerajaan jajahan.

Sebilangan ulama, ahli siasah dan sarjana Eropah, khususnya sejarawan, mempercayai bahawa penyebaran Islam, atau penerimaan agama Islam dilakukan berasaskan pedang disebabkan penyalah tafsiran mereka terhadap faham istilah ‘jihad’.

Pada hakikatnya, pemelukan agama Islam yang berasaskan paksaan jarang-jarang sekali berlaku. Penakluk-penakluk Muslim lazimnya berhasrat menyebarkan seruan agama Islam dan mereka ternyata berusaha menguasai akal fikiran pemeluk agama Islam dan tidak pula memaksa mereka tersebut.

No comments:

Post a Comment