Sunday, 23 October 2016

Haram zalim sesama muslim

Haram buat zalim sesama muslim dalam bentuk apapun. Jika ada kena zalim, maka wajib membantunya mengikut apa terdaya. Termasuk perbuatan zalim adalah mencerca dan menghina.

Dunia siber mendedahkan perbuatan zalim tanpa batasan. Berlaku provokasi, tuduhan tidak berasas dan kenyataan yang keterlaluan hingga boleh mencetusakan perbalahan sesama muslim.

Perbuatan itu bertentangan dengan maksud hadis: “Janganlah kamu saling membenci, saling mendengki dan saling bermusuhan, tetapi jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara. Tidak halal seorang muslim tidak bertegur sapa saudaranya lebih dari tiga hari.” (Sahih Muslim No 4641)

Cuba fahami hadis ini. Nabi SAW bersabda: “Barang siapa yang menghunuskan senjata ke arah saudaranya, maka malaikat akan terus mengutuknya sampai ia melepaskannya meskipun dia itu adalah saudara kandungnya sendiri.” (Sahih Muslim No.4741)

Sesungguhnya orang mukmin bersaudara, jikalau mereka berselisih damaikanlah, barang siapa melepaskan kesulitan orang Islam niscaya Allah SWT akan melepaskan kesulitannya di hari kiamat kelak. 

Dan kita sebagai orang mukmin janganlah saling menganiaya, menghina dan memojokkan. Dan juga janganlah kita berprasangka buruk terhadap sesama umat Islam.

Setelah kita mengetahui betapa agung dan mahalnya nilai sebuah persaudaraan, maka kita harus berusaha semaksimal mungkin agar anugerah dari Allah SWT tersebut tetap terjaga dan terpelihara pada diri kita. 

Di antara usaha yang harus ditempuh agar persaudaraan sesama umat Islam tetap terjaga pada diri kita, maka kita perlu memperhatikan hak-hak dalam ukhuwwah.

Hendaklah dia mencintai saudaranya semata-mata kerana Allah SWT dan bukan kerana tujuan-tujuan duniawi. Jika seseorang mencintai saudaranya kerana Allah SWT, maka kecintaan tersebut akan tetap terjaga. Jika dia melakukannya kerana tujuan duniawi, maka lambat laun kecintaan tersebut akan  pupus di tengah jalan.

Kehormatan seorang muslim terhadap muslim yang lainnya adalah haram secara umum. Untuk itu, jangan menyebutkan aib saudaranya, baik ketika dia hadir di hadapannya maupun ketika tidak ada. Tidak mencampuri urusan pribadinya. Menjaga rahsianya. Menjauhi prasangka buruk terhadap saudaranya. 

Allah SWT telah melarang perbuatan tersebut dalam firman-Nya bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka (kecurigaan), kerana sebahagian dari prasangka itu dosa.” (Al-Hujurat, ayat 2)

Menjauhi perdebatan dengan saudaranya. Sesungguhnya perdebatan akan menghilangkan sifat mahabbah (saling mencintai) dan persahabatan. Dan akan mewariskan kemarahan, dendam dan pemutusan persaudaraan. Maka meninggalkan sikap perdebatan merupakan tindakan yang terpuji.

No comments:

Post a Comment