Setiap orang yang waras pasti sentiasa memiliki
dua perasaan berbeza dalam hatinya iaitu bahagia atau tertekan. Hakikatnya
manusia dapat mengawal perasaan yang terbuku di hati dengan strategi reda dan
berfikir positif dalam apa juga keadaan dialami.
Perancangan dan pelan tindakan menjadi agenda
yang menghiasi hari orang berjaya. Kegagalan masa lalu dijadikan pengajaran,
begitu juga bencana dan musibah yang menimpa menjadi api pembakar semangat
untuk lebih cekal dan ghairah menghadapi kehidupan yang semakin mencabar.
Sebenarnya berfikir dan bertindak secara
bijak untuk berjaya lebih mudah, berbanding merancang untuk berjaya tetapi
melalui cara yang salah.
Mereka yang memilih berjaya atau mendapat apa
yang dihajati secara salah perlu merancang sesuatu yang sukar dan tidak disukai
oleh pesaing lain. Mereka dicemuh dan dibenci oleh orang lain dengan
apa yang dilakukan.
Contohnya, remaja yang malas tetapi ingin
dipuji terpaksa melakukan kerja membodek, mengapu dan
seumpamanya. Lakonan berlagak rajin dan baik dilakukan di hadapan
orang, sedangkan sifat sebaliknya dilakukan pada masa lain.
Apa yang dilakukan itu menimbulkan konflik
dalam diri dan mewujudkan keadaan sukar apa terpaksa melakukan secara
terpaksa. Mereka mengamalkan konsep ‘nak jadi malas mesti
kreatif’.
Mengapa mesti kreatif kepada perkara buruk
seperti malas, menipu dan sebagainya? Adalah lebih baik kita kreatif untuk
melakukan kebaikan. Perkara baik bukan saja menyukakan orang lain,
tetapi sebenarnya lebih penting lagi diri kita sendiri merasa puas dan bahagia.
Kita boleh melakukan perkara baik dengan selesa
dan tidak perlu takut kepada sesiapa untuk melakukannya. Kalaupun
ada sedikit halangan mungkin timbul daripada pesaing atau mereka yang ada sifat
dengki. Tetapi keadaan ini tidak memberi banyak tekanan.
Jika wujud persaingan, jadikan ia sebagai motivasi
untuk melakukan lebih baik. Sesuatu yang bertujuan untuk kebaikan
sebenarnya untuk dikongsi bersama orang lain. Jadi, sesiapa pun yang
berjaya melakukan perkara baik itu adalah mewakili semua pihak yang turut
berusaha ke arah itu.
Jadilah manusia yang menggunakan pancaindera
yang diberikan oleh Allah SWT dengan sebaik-baik. Jika tidak, taraf
manusia lebih hina berbanding haiwan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kami jadikan neraka
jahanam kebanyakannya daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi
tidak dipergunakan bagi memahami (ayat Allah) dan mereka mempunyai mata
(tetapi) tidak dipergunakan bagi melihat (tanda kekuasaan Allah) dan mereka
mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakan bagi mendengar (ayat Allah).
Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka
itulah orang yang lalai.” (Surah al-Araf, ayat 179).
No comments:
Post a Comment