Golongan pelajar bakal jadi pemimpin pada masa hadapan.
Ada cara boleh dipraktikkan didik pelajar jadi pemimpin. Pelajar adalah aset
terpenting negara dalam semua aspek yang akan menentukan jatuh bangun bangsa
dan negara pada masa hadapan. Justeru, golongan pelajar sentiasa mendapat
perhatian dan diberi keutamaan dalam apa juga perkara bertujuan membina modal
insan yang benar-benar berkualiti.
Apa saja yang melibatkan pelajar sewajarnya menjadi
perhatian khalayak kerana masing-masing mengharapkan yang terbaik daripada
golongan yang digantungkan harapan besar untuk membina kejayaan terbilang pada
masa hadapan.
Perkara yang sering diungkapkan menjadi harapan semua
pihak, terutama ibu bapa ialah supaya pelajar mencapai kecemerlangan dalam
akhlak, moral, pendidikan dan keupayaan jasmani. Semua faktor itu dapat
menjamin kelangsungan cita-cita dan wawasan negara untuk tempoh masa yang lebih
jauh ke hadapan.
Hasil kegigihan generasi terdahulu dan sekarang, negara
mampu mencapai kejayaan cemerlang mengatasi negara-negara lain yang tempoh
kemerdekaannya hampir sama dengan negara kita. Justeru, satu harapan murni
seperti yang disasarkan oleh pemimpin kita sekarang ialah mencipta kejayaan
yang lebih besar pada masa hadapan.
Untuk merealisasikan impian itu, negara memerlukan
pewaris yang mampu meneruskan kesinambungan kepimpinan, kepakaran, daya usaha,
patriotisme dan jati diri. Para pelajar perlu sedar tanggungjawab besar yang
diharapkan kepada mereka.
Proses pertukaran kepimpinan berlaku setiap detik
melibatkan semua peringkat. Setiap pelajar sedang melalui sebahagian daripada
proses itu secara berperingkat. Semakin meningkat dewasa, tanggungjawab dan
harapan itu semakin hampir dengan mereka.
Bersedia atau tidak, apabila tiba masanya, golongan
pelajar sekarang yang pada ketika itu telah dewasa akan mengambil alih
kepimpinan negara secara berperingkat. Justeru, setiap pelajar bertanggungjawab
mempersiapkan diri dan perlu bersedia untuk menjadi pewaris kepimpinan negara.
Maksud pemimpin tidak terhad untuk jawatan perdana
menteri, menteri dan ketua organisasi besar. Sebaliknya, pemimpin merujuk
kepada semua lapisan kepimpinan meliputi rumahtangga, tempat bekerja,
pertubuhan dan sebagainya.
Dengan kata lain, semua orang berpeluang menjadi
pemimpin. Oleh itu, usaha melatih pelajar menjadi pemimpin tidak hanya kepada
mereka bercita-cita ingin menjadi pemimpin besar saja. Menjadi pemimpin
bermakna mereka adalah terbaik dalam bidang masing-masing dan pada peringkat
tertentu.
Maka, semua pelajar perlu melalui proses pembentukan
menjadi pemimpin di pelbagai peringkat kepimpinan. Latihan menjadi pemimpin
mesti dimula sejak awal lagi, sebaik-baiknya ketika masih di bangku
sekolah.
Pelajar sebenarnya telah menjadi pemimpin di peringkat
masing-masing. Hal ini perlu diberi perhatian supaya peluang yang ada
dipergunakan sebaiknya untuk lahir sebagai pemimpin terbaik.
No comments:
Post a Comment