Manusia diberi kebebasan untuk menentukan apa yang ingin dilakukan
asalkan ia tidak bertentangan dengan peraturan agama. Begitu juga sebagai
rakyat, kita bebas melakukan apa saja untuk kebaikan diri selagi ia tidak
menyalahi Perlembagaan dan undang-undang negara.
Perkara sama juga berlaku dalam semua organisasi atau kumpulan
yang memberi kebebasan kepada ahlinya untuk melakukan perkara yang tidak
berlawanan dengan peraturan atau kebiasaan yang diamalkan.
Dengan kata lain, istilah kebebasan sepenuhnya tidak wujud dalam
hidup manusia. Kita dibatasi dengan peraturan agama, undang-undang dan
kebiasaan yang telah ditetapkan. Sekatan itu bukan menghalang hak kebebasan,
tetapi untuk memberi kebaikan dan mencegah keburukan. Setiap negara atau
masyarakat mempunyai peraturan berbeza mengikut keperluan setempat.
Di kalangan umat Islam, mereka keliru atau jahil mengenai
kebebasan dalam beragama menurut perspektif Islam. Pada mereka, kebebasan
bererti boleh melakukan apa saja menurut kehendak hati dan nafsu biarpun ia
bercanggah dengan kehendak agama dan bertentangan nilai kemanusiaan yang luhur.
Mereka menggunakan hujah yang kononnya dalam Islam tidak ada
paksaan. Mereka menggunakan firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 256
yang bermaksud: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam) kerana sesungguhnya
sudah nyata kebenaran (Islam) daripada kesesatan (kufur)."
Maksud sebenar ayat tersebut ialah tidak ada paksaan orang bukan
Islam memeluk Islam. Sedangkan, sesiapa yang telah menerima Islam sebagai agama
anutan, maka dia tertakluk kepada syariat yang telah ditetapkan.
Perkara ini sebenarnya bukan dalam soal beragama sahaja. Undang-undang
negara, peraturan persatuan atau pertubuhan, bidang pekerjaan dan sebagainya
tidak memaksa seseorang menyertainya. Tetapi, apabila masuk dalam kelompok itu,
mereka terpaksa mengikuti segala peraturan yang berkaitan dengannya.
Jadi, alasan hak kebebasan tidak boleh digunakan dalam konteks
untuk mengelak diri daripada melakukan atau melunaskan tanggungjawab sebagai
seorang Islam. Apa yang diperintahkan dilakukan, maka hendaklah ia
disempurnakan seperti yang ditetapkan. Manakala perkara yang dilarang pula
hendaklah dijauhkan atau dihentikan daripada terus melakukannya.
Syariat Islam telah termaktub di dalam al-Quran dan al-Hadis. Tidak
ada pindaan, pengurangan atau penambahan boleh dilakukan oleh sesiapa saja.
Ajaran Islam terpelihara sepenuhnya sehingga ke hari kiamat.
Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud: “Aku tinggalkan kalian untuk dua perkara, kalian
tidak akan sesat selama berpegang padanya, iaitu kitabullah (al-Quran) dan
Sunnah Rasulullah." (Hadis riwayat Muslim)
Sebab
itu, umat Islam ditegah menerima bulat-bulat amalan kaum lain tanpa menyelidik
dahulu sama ada perkara itu dibenarkan diamalkan oleh Islam atau tidak. Sebenarnya
Islam tidak melarang kita mengikut amalan yang baik dan tidak bertentangan
dengan syariat Islam walaupun perkara dicontohi daripada oleh bukan Islam.
Sebab
itu kita disuruh agar meniru budaya kerja masyarakat Jepun yang mementingkan
kualiti, ketepatan masa, budaya ilmu, inovasi, kreatif dan sebagainya. Amalan
ini berjaya meletakkan masyarakat Jepun mencapai kemajuan dan kemakmuran negara
terbaik di dunia.
Namun,
perlu diyakini bahawa apa yang diamalkan masyarakat Jepun itu telah lama
dijelaskan dalam ajaran Islam. Amalannya inilah yang dilakukan umat Islam pada
masa dulu yang membawa kepada kegemilangan empayar kuasa Islam, khususnya apa
yang dicapai di Baghdad. Malangnya, umat Islam semakin jauh daripada tuntutan
agama dan terus ketinggalan dalam era dunia moden hari ini.
Tindakan umat Islam yang semakin lama semakin jauh meminggirkan
agama Islam dan ajarannya yang suci dalam realiti kehidupan atas alasan
kebebasan yang dilaungkan telah membawa padah. Mereka menggantikan ajaran Islam
dengan fahaman lain biarpun masih mengaku sebagai Islam.
Ingatlah, hanya Islam menunjuk jalan yang benar. Justeru,
umat Islam ditegah mengambil panduan hidup selain daripada apa yang telah
ditetapkan oleh Islam.
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Barangsiapa yang
mengambil selain Islam sebagai agama, tidak akan diterima
apapun darinya dan ia di akhirat tergolong orang yang rugi." (Surah Ali
Imran, ayat 85).
Hakikatnya, kebebasan mutlak sebenarnya tidak wujud pada setiap
insan. Sebab itu, usahlah kita terus menggunakan isu kebebasan semata-mata
hendak melanggar kebiasaan yang diamalkan dalam agama. Tetaplah berpegang
kepada peraturan dan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT kerana itulah
yang sebaik-baiknya untuk seluruh manusia.
No comments:
Post a Comment