Amalan
bermusuhan dengan melaga-lagakan orang Islam digunakan oleh pihak yang ingin
menghancurkan Islam. Mereka menjadikan orang Islam bermusuhan sesama sendiri
berebut kuasa memerintah dan kekayaan.
Ini
bertepatan sebagaimana digambarkan oleh orientalis Perancis, Philip Foundatie. Menurutnya,
untuk menghancurkan Islam, politik permusuhan perlu diterapkan untuk menghalang
kebangkitan dan penyebaran agama tersebut.
Musuh
Islam akan menaja mana-mana pihak yang sanggup menurut apa perintah yang
diberikan. Pihak itu akan dijulang sebagai lebih baik daripada pemerintah yang
sedia ada. Ini dilakukan melalui sokongan media antarabangsa yang dikuasai oleh
musuh Islam.
Sebab
itu, kita jangan mudah terpengaruh dengan agenda musuh Islam yang ingin melihat
umat Islam sentiasa lemah. Orientalis Barat ingin menjadikan umat Islam menjadi
hamba di tanah air sendiri akibat perpecahan dan perseteruan sesama sendiri.
Dalam keadaan itu, potensi umat Islam untuk mencapai kejayaan tidak akan
terlaksana.
Dalam
keadaan tertekan, rakyat terpaksa bergantung harap kepada musuh yang menanguk
di air keruh. Musuh Islam menggunakan proksi di kalangan orang Islam sendiri
untuk menghancurkan kekuatan orang Islam.
Harapan
orientalis telah direalisasikan oleh umat Islam sendiri dengan menjadikan diri
masing-masing boneka hidup di atas pentas politik. Seluruh pemikiran dan
keupayaan ditumpukan untuk saling memusnahkan sesama Islam.
Inilah
yang sedang berlaku di kebanyakan negara Islam yang rakyatnya sentiasa
bertelagah sesama sendiri. Permusuhan
melarat sehingga bunuh membunuh. Bilangan orang Islam dibunuh oleh orang Islam
sendiri lebih banyak daripada yang dilakukan bukan Islam.
Kekayaan
hasil bumi di negara Islam dan sumber tenaga manusia digunakan untuk saling
memusnahkan sesama sendiri. Musuh Islam mendapat keuntungan dengan bermodalkan
sikap hipokrit campur tangan dengan alasan demi keamanan dunia.
Keadaan
menjadi lebih membahayakan dalam politik Islam ialah ancaman kewujudan munafik
moden yang berbangga dengan label Islam, tetapi sebenarnya mereka menggunakan
agama untuk kepentingan peribadi. Mereka menjadi musuh dalam selimut yang sukar
dikesan.
Jika
ada bibit perpecahan di kalangan umat Islam, ada pihak yang berusaha agar
perpecahan itu semakin melebar. Ini bertentangan sama sekali dengan ajaran
Islam yang melarang sebarang bentuk perpecahan.
Islam
agama amat mementingkan perpaduan berdasarkan kepada satu matlamat iaitu
mencari keredaan Allah. Malang sekali umat Islam saling bermusuhan untuk
menjayakan misi kepuasan hati sendiri.
Firman
Allah dalam surah al-Anbiya, ayat 92 bermaksud: “Sesungguhnya (agama Islam) ini
adalah agama kamu semua, agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah
Aku.”
Rasulullah
pernah memperkatakan tentang akan berlaku perpecahan di kalangan umat Islam. Hadis
diriwayatkan oleh Tirmizi bermaksud: “Orang Yahudi berpecah kepada 72 golongan
dan orang Nasrani juga berpecah sebanyak itu, tetapi umatku akan berpecah
kepada 73 golongan.”
Daripada
73 golongan itu, hanya satu golongan akan memasuki syurga, sedangkan yang lain
itu bakal menghuni neraka. Golongan yang dibalaskan neraka sudah tentu
disebabkan ingkar perintah Allah dan Rasulullah.
Tumpuan
sekarang sepatutnya ditumpukan kepada membina kekuatan ummah. Matlamat mencapai
kepentingan peribadi dan kelompok perlu ditukar kepada usaha mencari
kepentingan bersama.
No comments:
Post a Comment