Terdapat golongan melakukan
propaganda untuk menimbulkan suasana tegang hubungan antara kaum dan agama.
Mereka tidak memikirkan kesan tindakan yang dilakukan, walaupun boleh
mendatangkan ancaman terhadap keselamatan negara.
Kumpulan ini layak dikategorikan
sebagai ektremis atau al-ghaugha. Mereka sengaja mencipta sesuatu tindakan atau
suasana bertujuan memecah belahkan perpaduan ummah. Antara cara paling berkesan
ini menyebarkan fitnah bertujuan menghilangkan kepercayaan di kalangan rakyat.
Gerakan al-ghaugha biasanya
dicetuskan oleh individu atau kumpulan tertentu secara terancang. Namun, dalam
kebanyakan situasi gerakan al-ghaugha merebak sebagai satu gerakan massa yang
menarik minat rakyat kebanyakan untuk turut serta.
Sesungguhnya
menentang pemimpin amat ditegah dalam ajaran Islam. Golongan ini tidak peduli perintah Allah SWT
walaupun mereka mendakwa berjuang demi agama. Sesiapa yang menentang pemimpin
samalah menentang Rasulullah SAW.
Perkara ini dapat
difahami daripada hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang taat
kepadaku, bererti dia taat kepada Allah, sesiapa yang derhaka kepadaku bermakna
dia derhaka kepada Allah; sesiapa yang taat kepada pemerintah bermakna dia taat
kepadaku, dan sesiapa yang derhaka kepada pemerintah bermakna dia derhaka
kepadaku.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Nasaai dan Ibnu Majah).
Dalam konteks undang-undang
untuk mencegah al-ghaugha agak sukar kerana mereka tidak kelihatan sebagai
penjenayah atau melakukan kesalahan yang membolehkan pihak berkuasa membuat
tangkapan, didakwa dan dijatuhi hukuman. Tambahan pula jika mereka bergerak
atas dasar politik dan kebebasan rakyat.
Golongan ini sengaja
mencari alasan untuk menyalahkan pihak lain dengan membuat tudingan dan fitnah tanpa
memperjelaskan permasalahan sebenar yang berlaku. Mereka pandai menyalahkan,
tetapi tidak ada sebarang cadangan atau tindakan membantu untuk menyelesaikan
masalah. Sebenarnya, mereka lebih suka masalah berlarutan, bahkan akan mencipta
lebih banyak masalah bertujuan tidak ingin melihat negara tidak stabil.
Gerakan itu juga
tidak menamakan kumpulan secara khusus kecuali melalui slogan dan nama
digelarkan oleh pihak lain. Pelbagai aktiviti yang boleh mengganggu
ketenteraman awam dilakukan kononnya atas prinsip kebebasan dan menuntuk
keadilan. Sekiranya perbuatan mereka dihalang, maka dikatakan melanggar hak
asasi manusia.
Terdapat al-ghaugha
bertujuan menyokong individu dan kumpulan tertentu yang tidak mendapat sokongan
umum melalui kaedah biasa. Individu yang dijulang itu didakwa yang terbaik.
Kemunculan golongan
al-ghaugha memberi kesan amat buruk kepada seluruh rakyat. Sejarah pembunuhan
Khalifah Uthman Affan berpunca daripada golongan ini. Mereka bertindak
menimbulkan kekacauan dan suasana tegang dalam negara. Fitnah dan rasa
kebencian ditiup kepada rakyat untuk membenci sesama sendiri.
Golongan itu menjadikan
fitnah untuk menghakis ketaatan dan kepercayaan rakyat kepada pemimpin. Akibat
serangan bertali arus dan disokong penduduk yang mudah terpengaruh dengan
fitnah, keamanan ummah tidak mampu dipertahankan lagi.
Khalifah Ali bin Abi
Talib yang dilantik sebagai pengganti Khalifah Uthman tidak mampu untuk
menghentikan kebencian rakyat kepada pemerintah. Struktur masyarakat hampir
tidak terkawal dan huru-hara terjadi di mana-mana. Keadaan pulih hanya setelah
Ali mengambil langkah tegas dalam memerangi golongan ini.
Al-ghaugha tidak melakukan tindakan
ketenteraan dalam mencapai matlamatnya. Mereka muncul secara ekstrem dalam
menguasai pemikiran orang ramai agar menyokong perjuangan yang ditetapkan. Api
fitnah, khabar angin dan menyalahkan segala yang dilakukan pihak yang ingin
dikalahkan dan menghilangkan keyakinan orang ramai.
Oleh itu kita perlu
menolak sebarang bentuk khabar fitnah. Fitnah mendatangkan bahaya yang besar
kepada masyarakat. Kesan fitnah mungkin tidak kelihatan secara jelas tetapi
membakar secara senyap-senyap seperti api membakar sekam.
Akibat terpengaruh
dengan fitnah mendorong orang ramai mempercayai keburukan dilakukan oleh
seseorang sedangkan ia tidak pernah melakukannya. Sekiranya yang ditujukan
fitnah itu terhadap pemimpin sudah pasti menyebabkan rakyat hilang keyakinan
dan kepercayaan terhadapnya lagi.
Rakyat yang mudah
terpengaruh dengan fitnah disebarkan oleh al-ghaugha tidak akan menyokong
pemimpin. Rakyat terus terpengaruh dengan gerakan al-ghaugha dan turut serta
melakukan apa-apa tindakan yang mengancam kestabilan dan keselamatan negara. Sesiapa
menyokong al-ghaugha maka dirinya juga telah menjadi al-ghaugha.
Dalam menjelaskan
kesan buruk al-ghaugha, Khalifah al-Makmun berkata: "Setiap kejahatan dan
kezaliman di dunia ini berasal dari al-ghaugha. Merekalah pembunuh para Nabi
bahkan sesiapa sahaja yang dianggap musuh. Mereka memecahbelahkan para ulama
dan merosakkan orang-orang yang hidup dalam limpahan kasih sayang. Mereka
adalah pencuri, perompak dan orang-orang yang sombong."
Hakikat ini tidak
dapat disangkal berdasarkan kepada masalah yang wujud berkaitan hubungan sesama
rakyat dan rakyat dengan pemimpin menjadi kecoh dan tegang apabila ada pihak
yang memainkan peranan sebagai al-ghaugha. Al-ghaugha menyelinap dalam segenap
peringkat masyarakat.
Kita mungkin tidak
menyedari telah tergolong sebagai al-ghaugha dengan alasan tindakan yang
dilakukan bertujuan mendatangkan kebaikan. Ramai yang terlibat dalam kumpulan
yang bertentangan dengan kehendak masyarakat umum dengan alasan menegakkan
keadilan. Mereka rasa tertindas lantas melakukan sesuatu tindakan yang
terkeluar dari lunas-lunas undang-undang.
Al-ghaugha yang
bersatu dalam satu aliran pemikiran, kehendak dan matlamat merebak menjadi satu
kuasa sehingga mampu menggugat keselamatan negara. Al-ghaugha yang asalnya
sekadar disertai segelintir kecil rakyat boleh bertukar menjadi kumpulan besar
dan berkuasa. Banyak kuasa besar runtuh berpunca dari gerakan al-ghaugha secara
kecil-kecilan yang tidak diambil tindakan awal mengawalnya.
Al-ghaugha termasuk
juga di kalangan golongan pemimpin yang kecewa tidak terus terpilih untuk
memimpin atau tidak dicalonkan untuk sesuatu jawatan. Perasaan tidak puas hati
dicutuskan dengan melahirkan al-ghaugha yang setia dengannya. Al-ghaugha
politik tidak tetap pendirian dalam menyatakan perkara sebenarnya apabila
berdepan rasa tidak puashati.
Ingatlah, meruntuh
atau menghancurkan sesuatu yang sedia ada adalah lebih mudah berbanding membina
untuk membinanya mengambil masa yang panjang. Kekuatan empayar besar boleh
runtuh disebabkan al-ghaugha kerana ia umpama api dalam sekam yang membakar
dari dalam. Sejarah kejatuhan empayar besar adalah berpunca daripada gerakan
ini mendapat sokongan daripada pihak luar.
Oleh itu
berhati-hatilah. Sejarah lalu boleh berulang di negara kita jika perkara ini
tidak ditangani segera. Rakyat yang sayangkan negara mesti sentiasa bersangka
baik terhadap pemimpin. Sekiranya tidak berpuas hati dengan prestasi
ditunjukkan pemimpin, tolaklah mereka secara apa yang telah ditetapkan oleh
Perlembagaan, iaitu melalui pilihan raya.
No comments:
Post a Comment