Friday, 17 August 2018

Amalan bersangka baik sesama insan

Hubungan baik antara sesama manusia khususnya sesama mukmin haruslah dibina dengan penuh keinsafan dan rasa kasih sayang. Dengan itu akan terbentuklah suasana perpaduan dan persaudaraan. 

Hidup masyarakat dengan semangat perpaduan pasti sahaja senantiasa dirahmati oleh Allah. Hal ini bertepatan dengan ajaran Islam, iaitu setiap mukmin bersaudara tanpa mengira bangsa, budaya dan taraf sosial, seperti yang termaktub dalam Surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud:

"Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara.  Oleh itu, damaikanlah (perbaiki hubungan) antara kedua-dua saudaramu it dan takutlah terhadap Allah supaya kamu mendapat rahmat."

Untuk memastikan hubungan baik antara sesama mukmin terjalin indah sifat positif perlu diterapkan ialah bersangka baik (husnu al-zhon), manakala lawannya bersangka buruk (suu al-zhon).

Jika kita selalu mengamalkan sikap bersangka baik, maka jalinan persaudaraan dan perpaduan sesama mukmin akan menjadi lebih mantap dan baik. Sudah tentu kekeruhan hubungan dapat dielakkan. 

Di samping itu, tidak mungkin tercetus rasa penyesalan, iaitu jika bersangka buruk bermakna telah mencampakkan pihak lain ke tempat buruk tanpa alasan yang benar, seperti yang dinyatakan dalam sepotong ayat yang bermaksud:

"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan sesuatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atau perbuatan itu." (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Islam sama sekali tidak membenarkan orang mukmin bersangka buruk kerana itu merupakan sifat tercela yang boleh meruntuhkan persaudaraan yang telah terbina. 

Saidina Umar al-Khattab menegaskan, "Janganlah kamu menyangka dengan satu kata pun yang keluar dari seseorang saudaramu yang mukmin kecuali dengan kebaikan yang engkau dapatkan bahawa kata-kata itu mengandung kebaikan".

Kalau diamalkan bersangka buruk, akibatnya pun sangat buruk yang diterima sama ada di dunia mahu pun di akhirat. Berburuk sangka merupakan cabang dusta. Rasulullah SAW bersabda: "Jauhilah prasangka, sebab prasangka itu pembicaraan yang paling dusta." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Buruk sangka juga boleh menyebabkan terciptanya dosa-dosa lain seperti bohong, benci, dengki dan marah. 

Rasulullah SAW memberikan peringatan dengan tegas bermaksud: "Hendaklah kamu selalu benar. Sesungguhnya kebenaran membawa kepada kebajikan dan kebajikan membawa ke syurga. Selama seseorang benar dan selalu memilih kebenaran, dia tercatat di sisi Allah seorang yang benar (jujur). Hati-hatilah terhadap dusta, sesungguhnya dusta membawa kepda kejahatan dan kejahatan membawa kepada neraka. Selama seseorang dusta dan selalu memilih dusta, dia tercatat di sisi Allah sebagai seorang pendusta." (Hadis riwayat Bukhari).

Oleh sebab itu, setiap mukmin hendaklah memilih sifat suka bersangka buruk kepada semua orang. Sifat ini sangat menguntungkan semua pihak dan perbuatan tersebut merupakan sifat mahmudah (terpuji) yang sangat dituntut oleh agama. Melalui amalan sifat ini, persaudaraan dan perpaduan akan sentiasa wujud menonjolkan identiti umat Islam yang indah dan menarik. 

Jika gemar berburuk sangka, maka segeralah bertaubat kepada Allah dengan penuh kesedaran yang hanya membawa perpecahan. Ingatlah bahawa ketenteraman akan terhasil dengan adanya perpaduan, manakala hidup dalam suasana celaru dan sengsara sekiranya perpaduan tidak pernah terhasil dalam masyarakat.

2 comments:

  1. Islam itu syumul. Ramai orang sekarang ini gagal pengimbangi amal ibadahnya...dunia dan akhirat. Ada yang mementingkan dunia sahaja. Ada pula yang mementingkan akhirat sahaja. Falsafah disebalik seruan HabluminAllah dan Habluminanas gagal hayati. Walaupun kita tidak gagal untuk mengadap Allah SWT ketika sampai waktunya tetapi jika kita gagal memelihara hubungan sesama manusia dan makhluk Allah yang lain, maka adakah kita boleh mengaku kita ini umat manusia yang dijamin masuk ke syurga. Wallahualambissawab.

    ReplyDelete
  2. Amat penting kita menjaga hubungan sesama manusia.

    ReplyDelete