Antara sifat buruk yang perlu
dijauhkan ialah sombong. Banyak keburukan ditanggung oleh seseorang akibat
sikap sombong yang diamalkan. Mungkin bagi orang sombong berasa perbuatan itu
memberi keuntungan dan kebaikan pada dirinya. Dia berasa betapa apa yang
dimiliki dapat menjadikan dirinya dipandang hebat dan mendapat apa yang
diingini.
Rasulullah SAW mengingatkan agar
umat baginda terhindar daripada penyakit yang boleh mematikan iman itu. Sabda Rasulullah
SAW yang bermaksud: "Tidak akan masuk syurga seseorang yang ada di dalam
hatinya sifat sombong sekalipun hanya seberat debu." (Hadis riwayat
Muslim)
Jelas sekali betapa buruk sikap
sombong biarpun hanya wujud sedikit di dalam diri. Jika sedikit sombong telah
ditegah, apatah lagi jika diri seseorang dikuasai oleh sikap sombong.
Perbuatan atau sikap sombong
sebenarnya wujud apabila dia berasa 'kuasa' mengatasi orang lain. Dia akan
menolak dan menafi hak orang lain. Padanya apa yang diingini orang lain tidak
perlu dilayan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sombong itu adalah menolak
yang hak dan menghina orang lain." (Hadis riwayat Muslim).
Antara punca wujud sifat sombong
ialah kelebihan berkaitan zahir seperti paras rupa, nasab keturunan, ilmu,
harta, pangkat dan kedudukan. Ada juga yang menjadi sombong disebabkan
merasakan dirinya telah mendapat kedudukan istimewa di sisi Allah kerana
kehebatan amalannya.
Firaun menjadi sombong dan angkuh
sehingga menganggap dirinya sebagai Tuhan disebabkan berasa dirinya berkuasa
sepenuhnya terhadap rakyat jelata. Apa sahaja kehendaknya tercapai. Dia boleh
menentukan sama ada seseorang itu dibunuh atau sebaliknya. Kekuasannya tiada
siapa yang berani tentang.
Semakin tinggi kedudukan seseorang
seharusnya menyebabkan diri merasa bertambah tawaduk. Kedudukan, kekayaan dan
kelebihan yang dimiliki adalah satu amanah yang perlu digunakan
sebaik-baiknya.
Kebencian Allah kepada si penyobong
ini terakam di dalam sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Orang yang zalim dan
sombong akan dihimpun pada hari kiamat dalam rupa semut. Manusia
menginjak-injak mereka kerana kehinaan diri mereka di hadapan Allah."
(Hadis riwayat Tirmizi)
Adakah wujud manusia yang terlepas
daripada sifat sombong ini? Jawapannya adalah mustahil. Kita bukan malaikat
yang tidak berdosa. Akuilah diri kita ada sifat itu dan buatlah penawar bagi
melemahkan kuasa kesombongan itu.
Antara cara menghilangkan rasa sombong dan angkuh ialah mengakui
yang paling agung dan berkuasa adalah Allah. Segala kelebihan yang dimiliki
adalah dipinjamkan oleh Allah dan boleh ditarik pada bila-bila masa sahaja.
Sesungguhnya sikap sombong punca iblis menjadi hamba yang
durhaka. Peristiwa kesombongan iblis ini Allah ceritakan dalam Al Quran,
firman-Nya: “Dan (ingatlah) ketika kami
berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi
Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia
enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.” (Al
Baqarah: 34)
No comments:
Post a Comment