Memohon
maaf dan memaafkan kesalahan orang sering kali dianggap sebagai mudah mengalah,
tidak kuat pendirian dan dianggap terlalu lembut. Pada hakikatnya, tidak salah
merendah diri untuk memohon maaf atas kesalahan dilakukan. Itulah sikap terpuji
yang bersedia mengakui kelemahan sendiri dan sanggup menanggung apa juga
akibatnya. Jadilah orang yang berjiwa besar dan berani bertanggungjawab atas
apa yang dilakukan.
Hakikatnya,
tanpa sikap saling memaafkan, kehidupan manusia terus dibelenggu pelbagai
masalah kemasyarakatan. Jika menjadi pemimpin, sifat seperti ini menggambarkan
ketelusan dan kejujuran yang ada kaitannya dengan natijah keyakinan dan
kepercayaan rakyat.
Mengakui
kesalahan dan berazam untuk tidak mengulangi kesalahan adalah ciri-ciri orang
beriman. Meminta maaf bukanlah suatu tindakan yang hina. Malah, mengakui
kesalahan adalah tindakan yang berani.
Tidak
ramai manusia termasuk pemimpin bersedia memohon maaf di atas kesilapannya. Ini
hakikat yang perlu difahami kerana manusia bukanlah makhluk sempurna dan
sentiasa terdedah dengan kesilapan.
Namun
manusia harus bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan bagi menjana
peribadi yang mulia. Khalifah Abdul Malik Marwan pernah mengungkapkan mutiara
kata: “Semulia-mulia manusia ialah siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri
ketika berkedudukan tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil
ketika kuat.”
Allah
SWT sangat mencintai orang yang memaafkan kerana ia termasuk dalam perbuatan
baik kepada manusia. Allah SWT menyukai orang yang berbuat baik seperti terakam
dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan
memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat
kebajikan.” (Surah Ali Imran, ayat 134).
Rasulullah
SAW sendiri adalah insan yang mudah memaafkan orang lain. Baginda Rasulullah
SAW pernah berdepan dengan perlakuan seorang wanita Yahudi memberi hadiah
kepada Nabi berupa daging kambing yang di dalamnya mengandungi racun.
Sesungguhnya
Nabi sendiri tidak mengetahui akan perkara itu dan memakannya. Selepas
mengetahui diri Baginda diracun, Nabi berbekam untuk mengeluarkan racun
berkenaan.
Dengan
izin Allah, Baginda terselamat lalu dipanggil wanita itu dan ditanya maksud dan
tujuannya berbuat begitu kepada Nabi. Ternyata dari jawapannya dia ingin
membunuh Nabi. Namun Rasulullah SAW memaafkan wanita itu dan tidak sesekali
menghukumnya.
Sayangilah
makhluk, nescaya kamu akan disayangi Allah dan berilah ampunan nescaya Allah
mengampunimu.
Islam
menuntut umatnya memaafkan orang yang memohon maaf dengan tanpa perasaan
prejudis atau pandangan serong.
Allah
SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta
mengampuni (mereka) maka sesungguhnya Allah Maha pengampun lagi Maha
penyayang.” (Surah At-Taghabun, ayat 14)
Daripada
Abu Hurairah menyebut bahawa ada seorang lelaki memberitahu Rasulullah SAW:
“Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai kerabat. Aku berusaha
menyambungnya, namun mereka memutuskan hubungan dengan aku. Aku berbuat
kebaikan kepada mereka, namun mereka berbuat tidak baik. Aku bersabar dengan mereka
namun mereka berbuat kebodohan terhadapku.”
Maka
Rasulullah SAW bersabda: “Jika benar yang kamu ucapkan maka seolah-olah kamu
menebarkan abu panas kepada mereka. Dan kamu sentiasa mendapat pertolongan dari
Allah atas (perbuatan) mereka selama kamu di atas hal itu.” (Riwayat Muslim)
Orang
yang memiliki jiwa yang ikhlas selalunya menghiasi diri dengan kemuliaan dan
dalam hatinya sentiasa berusaha untuk menyingkirkan sifat tidak baik.
Nabi
Allah Yusuf adalah antara contoh manusia memiliki jiwa dan keperibadian yang
luhur walaupun beliau disakiti saudaranya sendiri dengan dilemparkan ke dalam
perigi dan dijual kepada kafilah dagang sehingga berpindah dari satu tempat ke
tempat lainnya.
Sebagai
balasan di atas kemuliaan hatinya, Allah mengangkat kedudukan Nabi Yusuf
sehingga menjadi orang besar yang bertanggungjawab menjaga perbendaharaan Mesir
ketika itu.
Justeru,
manusia seharusnya mempunyai perasaan rendah hati untuk mengakui kesilapannya.
Mereka juga seharusnya bijak mengambil manfaat daripada kegagalannya dan
bertindak berani membetulkan kesilapannya.
No comments:
Post a Comment