Walaupun
perbuatan menceritakan keburukan seseorang kepada orang lain amat dilarang dan
berdosa besar, ada masanya kita diharuskan berbuat demikian. Perbuatan itu
hendaklah bertujuan untuk kebaikan dan bukan saja-saja suka menceritakan
keburukan orang.
Keadaan
yang dibenarkan contohnya menceritakan mengenai sifat seseorang yang suka
menipu. Kita menceritakan sifatnya itu bertujuan agar orang lain berhati-hati
dan tidak akan ditipu olehnya juga.
Tetapi
janganlah ditambah cerita mengenai sifat lain pula. Contohnya, selain cerita
sikapnya suka menipu, diceritakan juga sifatnya suka minum arak. Ini kerana di
antara kedua-dua sifat itu tidak mempunyai hubungan dan bukan untuk tujuan asal
agar tidak ditipu.
Memandangkan
betapa buruknya sifat mengumpat, setiap individu wajib berusaha untuk mengelak
diri daripada melakukannya. Cuba jauhkan diri daripada berada di dalam suasana
yang boleh menyebabkan berlakunya mengumpat.
Semasa
berbual-bual dengan rakan, berbincanglah mengeni tajuk-tajuk berfaedah. Jika perbualan itu melencong kepada maksud
mengumpat, cepat-cepatlah menukarnya kepada topik lain.
Sekiranya
terus mendengar umpatan biarpun dicuba menukar tujuk perbualan, jika
berkemampuan untuk menegurnya, lakukan secepat mungkin agar ia tidak
berterusan. Mereka yang mendengar umpatan tetapi tidak melakukan usaha
menghentikannya turut mendapat dosanya.
Jika
tidak mampu melakukan tegahan, eloklah tinggalkan saja tempat itu agar tidak
terus memperoleh dosa. Dalam majlis yang sukar untuk meninggalkannya,
selemah-lemah iman ialah membantahnya dalam hati. Semoga Allah melindungi kita
daripada menerima dosa akibat perbuatan orang lain.
Mengumpat
diumpamakan penyakit dan ubatnya ialah zikir. Perbanyakan zikir dapat
menghindarkan diri daripada perbuatan mengumpat.
Tidak ada untungnya mengumpat orang
lain. Apatah lagi jika kita sendiri tidak ada kaitan dengan orang itu yang
boleh memberi kesan kebaikan atau keburukan kepada kita yang berkaitan dengan
cerita itu.
Maka sebab itu, cara terbaik untuk
mengelak daripada mengumpat ialah jangan mudah melihat keburukan diri orang
lain. Sebaliknya, belajarlah muhasabah diri sendiri dengan melihat kelemahan
diri sendiri. Tentunya kita tidak suka kelemahan yang ada pada diri kita menjadi
bualan orang lain.
Begitu juga orang lain, mereka juga
tidak mahu keburukan diri mereka dihebohkan kepada orang lain. Jika
masing-masing menjaga diri daripada perbuatan mengumpat, maka perbuatan yang
banyak mendatangkan keburukan kepada masyarakat itu akan terhindar.
Bersama menghindarkan diri daripada
perbuatan mengumpat untuk mengelak perbuatan dosa dan menjaga keharmonian dalam
masyarakat. Perasaan curiga dan berdendam mudah merebak dalam masyarakat yang
banyak mengumpat.
Masyarakat yang diwarnai dengan
budaya mengumpat akan hancur kerana tidak dapat dipastikan pihak mana yang
betul. Sikap berprasangka buruk menjadi berleluasa. Percakapan lebih banyak
membincangkan mengenai sikap buruk orang lain, berbanding menilai diri sendiri.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
"Jauhilah oleh kamu prasangka yang tidak baik, kerana sesungguhnya
prasangka tidak baik itu seburuk-buruk percakapan." (Hadis riwayat
Muslim)
No comments:
Post a Comment