Hidup
dalam masyarakat memang mudah terdedah kepada selisih faham, keretakan hubungan
dan perpecahan yang biasanya berpunca daripada perkara kecil seperti pergaduhan
anak-anak, binatang ternakan, sifat dengki, umpat, tuduh menuduh dan perbezaan
taraf hidup.
Namun
jika tidak diatasi secara bijak, permulaan kecil itu boleh berlarutan menjadi
perbalahan besar dan ada yang berterusan ke akhir hayat. Hal ini perlu mendapat
perhatian semua pihak untuk mengatasinya. Jangan pandang mudah perkara yang
boleh memecah belahkan masyarakat.
Hidup
bermasyarakat umpama keluarga besar yang mana semua ahli keluarga perlu
berperanan menjamin keutuhan semangat kekeluargaan, mengelak perasaan marah,
saling bermaafan dan mementingkan semangat tolong menolong sebagai sendi
kehidupan yang membawa kesejahteraan.
Masalah
kecil dapat diselesaikan dengan mudah jika dapat menahan perasaan marah dan
mudah memaafkan di antara satu sama lain. Kedua-dua sifat itu tanda keimanan
yang mana Allah mencintai sesiapa berbuat kebaikan serta menghalang daripada
berlaku kejadian tidak baik.
Firman
Allah bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain,
Allah mencintai orang yang berbuat kebajikan.” - (Surah Ali Imran, ayat 134).
Amalan
permusuhan dan perpecahan tidak mendatangkan apa-apa keuntungan kepada pihak
yang terlibat. Semakin lama permusuhan berlangsung, lebih banyak kerugian dan
penderitaan terpaksa ditanggung.
Allah
memberikan nikmat kebahagiaan hidup melalui ikatan persaudaraan yang baik. Allah
berfirman dalam surah Ali Imran ayat 103 bermaksud: “Berpegang teguhlah kamu
dengan tali (agama) Allah dan jangan kamu berpecah belah. Dan ingatlah nikmat
Allah dahulu ketika kamu dahulu (masa Jahiliah) bermusuh-musuhan, lantas Allah
menjinakkan hati kamu dan jadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara.”.
Perselisihan
dan bercerai berai sesama Islam akan menyebabkan kekuatan umat Islam lemah yang
membawa kerugian sesama sendiri sehingga berlarutan kejadian pembunuhan dan
kemusnahan harta yang banyak. Keadaan sedemikian memudahkan musuh Islam
mengambil kesempatan untuk memusnahkan umat Islam.
Sebarang
masalah perlu diatasi dengan muafakat dan bersabar bagi mengelak daripada
hilang terus kekuatan yang sudah terbina sebelum ini. Perbuatan saling menyalahkan pihak lain tidak
akan menyelesaikan masalah, bahkan semakin kusut dan tiada titik penyelesaian.
Firman
Allah bermaksud: “Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu
suka berselisih faham kerana ia akan menyebabkan perpaduan dan kekuatan kamu
hilang dan hendaklah kamu bersabar. Sesungguhnya Allah berserta orang yang
bersabar.” - (Surah al-Anfal, ayat 46).
Rasulullah
membandingkan hubungan mukmin dengan mukmin lain seperti batu-batu yang saling
menguatkan satu sama lain membina sebuah bangunan.
Jika
ada mana-mana batu yang roboh, maka kekuatan bangunan itu akan tergugat. Maka,
setiap batu perlu kekal sebagai sebahagian daripada bangunan itu bagi mengelak
keseluruhan bangunan roboh.
Tolong
menolong adalah sendi kekuatan hidup bermasyarakat. Golongan kaya dan
berkemampuan hendaklah sentiasa mengambil berat menghulurkan bantuan kepada
golongan miskin dan memerlukan bantuan.
Firman
Allah bermaksud: “Dan sentiasalah tolong menolong dalam kebaikan dan yang
mendorong kepada takwa serta jangan tolong menolong dalam perkara membawa dosa
serta permusuhan.” - (Surah al-Maidah, ayat 3).
Sesiapa
bersifat bongkak, sombong, mementingkan diri dan takbur dengan kedudukan yang
dicapai, maka bukanlah dia dari kalangan orang Islam. Allah melaknat mereka
yang bersifat dengan sifat-sifat tersebut.
Firman
Allah dalam surah Luqman, ayat 18 bermaksud: “Dan janganlah kamu palingkan
pipimu daripada manusia dan jangan berjalan di atas muka bumi dengan bongkak. Sesungguhnya
Allah tidak suka kepada orang yang sombong lagi bongkak.”
Sebarang
bantuan yang diberikan dengan ikhlas pasti diberikan balasan kebaikan di sisi
Allah. Rasulullah menjelaskan pada hari dibangkitkan, Allah akan berseru kepada
sesiapa yang ketika hayatnya sentiasa menjalinkan perasaan kasih sayang dan
saling membantu sesama sanak saudara, jiran tetanga dan orang ramai.
Sabda
Rasulullah yang diriwayatkan oleh Muslim bermaksud: “Allah berseru: “Di manakah
mereka yang berkasih sayang dengan kebenaran mengenai hari akhirat? Aku memberi
perlindungan kepadanya dalam keadaan tiada lagi perlindungan selain daripada
perlindungan-Ku.”
Memahami
dan penghayatan konsep silaturahim yang dianjurkan oleh Islam perlu
dipertingkatkan bagi mengelak perpecahan dan seterusnya mencari keredaan
Allah.
Sabda
Rasulullah bermaksud: “Allah telah reda kepadamu terhadap tiga perkara iaitu
apabila kamu menyembah-Nya tanpa mensyirikkan-Nya dengan sesuatu, apabila kamu
berpegang teguh dengan agama Allah dan tidak berpecah-belah dan apabila kamu
suka menasihati orang yang telah ditakdirkan menjadi pemimpin kamu.” - (Hadis
riwayat Muslim).
Perbalahan
sesama sendiri hanya memberi keburukan kedua-dua pihak. Menang jadi arang,
kalah jadi abu. Sebaliknya, pihak musuh pula mendapat keuntungan di atas
kemusnahan pihak bermusuhan.
Justeru,
cara menjaga agama yang terbaik ialah melalui perpaduan seluruh umat Islam. Firman
Allah bermaksud: “Tegakkanlah Din (agama) dan janganlah kamu berpecah-belah
mengenainya.” - (Surah asy-Syura, ayat 13).
No comments:
Post a Comment