Saturday, 11 August 2018

Sejarah asal nama Kampung Wakaf Aik

Pengunjung ke Pantai Senok, Bachok atau kini lebih dikenali Pulau Nami mengambil nama satu tempat pelancongan terkenal di Korea Selatan, perlu melalui satu kampung yang dikenali Kampung Wakaf Aik. 
 
Pengunjung perlu memastikan simpang di Kampung Wakaf Aik sebelum membelok dan meneruskan perjalanan ke Pantai Senok. Satu tanda mengenali simpang Kampung Wakaf Aik ialah terdapatnya sebuah wakaf di simpang itu.  
   
Kewujudan wakaf di simpang itu mempunyai kaitan dengan nama Kampung Wakaf Aik. Mengikut sejarah, terdapat seorang penduduk kampung bernama Chan Aik. 
 
Aik menjalankan perniagaan membeli kelapa penduduk kampung dan kemudian diproses menjadi minyak masak. Minyak masak itu dieksport ke luar Kelantan, termasuk ke Singapura.

Hubungan Aik dengan penduduk kampung amat mesra. Lalu, untuk kemudahan penduduk kampung, dia membina sebuah wakaf dan telaga di situ. 
 
Wakaf itu menjadi tumpuan penduduk kampung untuk berehat dan setengahnya sebagai tempat sembahyang oleh musafir yang melalui kawasan itu.

Kewujudan wakaf itu telah dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk kampung dan memandangkan tempat itu masih belum mempunyai nama, maka ia kemudiannya dikenali sebagai Kampung Wakaf Aik dan terus kekal sehingga sekarang.

Wakaf itu dibina menggunakan jenis kayu keras dan beratapkan bata. Sehingga sekarang, wakaf itu masih dalam keadaan baik dalam bentuk asal, kecuali bahagian atapnya telah ditukar kepada asbestos. 
 
Ia masih digunakan untuk orang ramai bertemu dan berehat. Kadang kala ia digunakan oleh peniaga buah-buahan dan barangan lain untuk berniaga. 

1 comment: