Saturday, 11 August 2018

Perpecahan akibat berbeza fahaman

Umat Islam akan kuat dan berkuasa jika bersatu. Pihak yang bertelagah dan berlainan fahaman perlu melupakan perbezaan yang menjadi punca pertentangan sesama sendiri. Formula yang membolehkan semua umat Islam bersatu perlu difikirkan bersama.

Perbezaan fahaman atau pendekatan dalam soal mencapai sesuatu matlamat tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada perpaduan dan persaudaraan yang menjadi teras ajaran Islam. 

Amat malang sekali apabila perbezaan itu menyebabkan sesama Islam bermusuhan sesama sendiri yang menyebabkan umat Islam semakin lemah dan tidak berpeluang untuk bersaing dengan penganut agama lain yang semakin bergerak ke hadapan meninggalkan kita dalam segenap segi.

Ketika orang Islam semakin ditindas dan dianiayai di seluruh dunia, ada kelompok orang Islam bermusuhan sesama sendiri. Fenomena ini berlaku disebabkan percanggahan pendapat dan untuk kepentingan kelompok tertentu.

Lihatlah apa yang berlaku di Palestin sekarang apabila dua kumpulan umat Islam kononnya sama-sama memperjuangan negara Palestin dan umat Islam bermusuhan sesama sendiri. Umat Islam dibunuh atau terbunuh akibat pertelingkahan sesama sendiri adalah lebih banyak berbanding yang dibunuh oleh musuh Islam.

Kedudukan umat Islam yang lemah sekarang ini sepatutnya membuka peluang umat Islam lebih bersatu menentang segala ketidak adilan ciptaan kuasa besar yang terpaksa dihadapi oleh umat Islam. Umat Islam di seluruh dunia sekarang ini dilayan oleh masyarakat antarabangsa seakan-akan lebih hina daripada binatang. 

Ada negara Islam yang termasuk dalam kategori kaya dan mempunyai pengaruh di peringkat antara bangsa lebih bersikap mementingkan diri sendiri dan tidak mahu mencampuri urusan sesama Islam yang ditindas disebabkan takut kepentingan sendiri terancam adalah antara punca kelemahan umat Islam. 

Kita tidak sepatutnya berpecah, tambah-tambah lagi ketika kita dalam keadaan lemah seperti sekarang. Kita kena bersatu dan permulaan sepatutnya bermula di negara kita. Orang Islam di negara kita mesti bersatu dan saling menjaga hubungan baik. Masalah perbezaan fahaman politik tidak seharusnya menyebabkan kita bemusuhan sesama sendiri.   

Kelemahan umat Islam hari ini berpunca perpecahan sesama Islam adalah sesuatu hakikat yang tidak dapat dinafikan. Perkara ini perlu diberi perhatian agar tidak terus menjadi virus merosakkan kesyumulan Islam. 

Akibat keadaan itu, musuh Islam menjadi semakin kuat. Mereka mengambil kesempatan memberi tekanan dan melaga-lagakan puak-puak Islam. Jika ada negara atau individu bukan Islam yang mendakwa ingin mendamaikan pertelingkahan sesama puak Islam, itu hanya retorik politik dunia. Usaha itu sekadar hendak menunjukkan peranan yang dimainkan pihak tertentu, tetapi tidak mencapai apa-apa kejayaan.

Sebab itu, urusan politik umat Islam mesti diuruskan sendiri oleh orang Islam. Jika ada pertelikahan politik sesama puak Islam, mestilah ada di kalangan orang Islam sendiri menjadi pengantaraan untuk mencari perdamaian. 

Penyatuan manusia sebenarnya banyak melibatkan tatacara bagaimana hubungan dilangsungkan, baik secara fizikal maupun rohani. Islam menekankan cara hidup yang menekankan akhlak mulia, kasih sayang, saling menghormati, hidup bersama, bersatu dan bersetia.    

Islam melarang sama sekali dilakukan perbuatan yang membawa kepada permusuhan dan kemusnahan. Sebab itu, jalinan persaudaraan adalah satu perintah yang mesti ditunaikan sebagai tanda mentaati Allah. 

Sesiapa yang menjalin persaudaraan dengan ikhlas mematuhi kehendak agama, dia melakukan usaha untuk mendekatkan dirinya kepada Allah. Sebaliknya, sesiapa memutuskan hubungan sesama manusia, samalah dia memutuskan hubungannya dengan Allah.

Persaudaran sesama Muslim adalah ikatan iman, yang mana sesiapa melepaskan ikatan itu bermakna melepaskan dirinya daripada kelompok orang Muslim. Perbuatan itu merobohkan kekuatan binaan persaudaraan Islam yang kesannya dialami seluruh umat Islam.

Persaudaraan atas dasar iman tidak akan terputus biarpun dilanda hebat dengan berita fitnah, adu domba dan gosip. Sebarang keraguan yang wujud diselesaikan secara bersemuka dan berterus terang. Apa yang keruh dijernihkan, yang rapuh diperteguhkan dan yang hampir putus disambung kembali.

No comments:

Post a Comment