Saturday, 11 August 2018

Lemah disebabkan dendam politik

Semua masalah berkaitan politik dan persaudaraan dapat diselesaikan dengan mudah jika masing-masing memikirkan amanah agama mengatasi segala-segalanya. Kemuncak kemanisan hubungan persaudaraan ialah bersedia memaafkan atau menerima kelemahan saudaranya tanpa sebarang syarat.

Ketika Islam diserang dan diperlekehkan, masih ada yang menolak kerjasama untuk mempersatukan dan memperkuatkan kembali kedudukan Islam semata-mata kerana perseteruan masa lalu. Akibat sikap itu, kedudukan Islam semakin lemah dan ditindas pihak lain.

Justeru, Islam menegah sama sekali wujud rasa kebencian, permusuhan, dendam, irihati dan mementingkan diri sendiri. Sifat-sifat itu dijelaskan oleh Allah sebagai punca perpecahan sesama manusia dan sifat keji yang diumpamakan seperti memakan daging manusia. 

Berdasarkan penilaian rohani, individu yang mementingkan ikatan persaudaraan mengamalkan kehidupan penuh aman dan tenang. Dia sentiasa merasakan semua orang yang berada di sekelilingnya adalah saudaranya. 

Di dalam diri individu yang mementingkan ikatan persaudaraan tidak wujud perasaan dengki dan bermusuhan. Setiap kejayaan yang dicapai dan dinikmati oleh orang lain dia turut merasa bersyukur sepertimana dia sendiri mendapatnya. Manakala kejayaan yang diperoleh dirinya dikongsikan bersama-sama orang lain. 

Kepentingan perpaduan dalam membina kekuatan dapat dikesan dalam sirah Rasulullah, yang mana ketika mula berhijrah ke Madinah, perkara pokok dilakukan ialah menyatukan kaum Muhajirim dari Makkah dengan kaum Ansar penduduk asal Madinah.

Apabila seorang mengaku Islam, bermakna seluruh hidupnya berdasarkan kepada peraturan ditetapkan ajaran Islam. Antara seorang Islam dengan orang Islam lain tiada bezanya di sisi Allah melainkan tingkat ketakwaan dan keimanan.  

Oleh itu, tiada seorang pun boleh mendabik dada mengaku dirinya lebih baik di sisi Allah disebabakan keturunan, kekayaan, darjat dan kepandaian. Semua umat Islam adalah bersaudara, biarpun berlainan bangsa dan budaya.  

Jelas sekali hubungan sesama Muslim tidak harus ada sengketa yang boleh melemahkan ummah. Sekiranya ada perbezaan pendapat, maupun dalam hal menjaga kepentingan sendiri, umat Islam perlu lebih berfikiran terbuka dan memikirkan kesan tindakan yang dilakukan. 

Tidak patut ada individu Islam yang dianiayai oleh orang Islam sendiri. Memusuhi sesama Islam samalah meruntuhkan jambatan agama yang selama ini menjadi kekuatan Islam. Mereka yang lebih suka kepada permusuhan sebenarnya telah melakukan dosa dan mendustai ajaran Islam.      

Dalam usaha untuk merubah sikap sesetengah individu yang sukakan perpecahan, revolusi minda yang berasaskan kepada memerdekakan jiwa, dan membina keyakinan diri perlu dijana kepada setiap individu Muslim.

Dalam usaha membentuk perpaduan lebih kukuh, Islam melihat kaedah saling menasihati sebagai antara cara paling berkesan. Tindakan ini bukan bermakna menjaga atau mencampuri urusan orang lain, tetapi sebagai jalan untuk kebaikan bersama. 

Apa yang dilakukan adalah semata-mata ikhlas kerana Islam dan demi kebaikan orang dinasihati dan seluruh umat Islam. Kejayaan membawa individu lain ke arah kebaikan dan menjauhkan daripada haluan keburukan adalah tanda kejayaan yang amat bermakna untuk kebaikan semua.

Ada golongan yang merasakan dirinya cukup sempurna dan tidak perlu dinasihati.  Apa sahaja yang dilakukan pihak lain dianggap tidak mengikut kehendak agama. Sedangkan, mereka sendiri tidak melakukan apa-apa untuk kebaikan umat Islam. 

Tidak ada individu atau puak yang betul-betul sempurna. Kita tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan mempunyai kelemahan. Sebab itu penting kita mengamalkan sikap terbuka dan bersedia menerima teguran daripada orang lain.

No comments:

Post a Comment