Cerita
perebutan jawatan dalam persatuan bukanlah sesuatu yang luar biasa. Malah
konspirasi menjatuhkan pemimpin persatuan yang ada juga sudah menjadi lumrah.
Semua ini berlaku kerana semangat berpersatuan telah sedikit sebanyak diresapi
oleh sikap politik yang buruk.
Perebutan
menjadi lebih hebat jika melibatkan barisan pemimpin yang mempunyai agenda
untuk kepentingan di luar persatuan. Jawatan dalam persatuan hanya sebagai satu
platform untuk menonjolkan diri kepada khalayak bagi meraih kepentingan lain.
Dengan jawatan yang disandang memudahkan mereka dikenali.
Sebab
itu ada banyak pemimpin persatuan sebenarnya bukanlah daripada mereka yang
berkecimpung atau berstatus yang melambangkan persatuan yang dipimpin. Syarat
hendak menjadi ahli dan dipilih sebagai pemimpin tidak jelas. Jadi, sesiapa pun
boleh menjadi ahli dan dipilih menjadi pemimpin persatuan berkenaan.
Sebab
itu, jangan rasa pelik jika pemimpin persatuan pelajar bukan lagi dari golongan
pelajar. Ada persatuan wartawan yang langsung tidak disertai oleh wartawan. Persatuan
ibu tunggal dipimpin oleh ibu yang masih bersuami.
Itulah
realiti persatuan di negara kita. Sesiapa saja yang ingin menjadi pemimpin
boleh menyertai mana-mana persatuan yang dirasakan dia bakal terpilih menduduki
kerusi kepimpinan. Dalam hal ini, pengaruh dan sumber kewangan menjadi faktor
penentu.
Memang
ada yang ikhlas ingin membantu golongan tertentu melalui penubuhan persatuan. Kalau
hendak diharapkan golongan berkenaan sendiri menubuhkan persatuan, memang
hampir tidak menjadi kenyataan. Niat murni itu patut dipuji dan disokong,
tetapi janganlah sekadar hangat-hangat tahi ayam.
Menjadi
pemimpin persatuan memerlukan seseorang sudah ada pengaruh dan kewangan yang
kukuh. Pengaruh amat penting untuk dia terpilih menerajui persatuan biarpun
baru menjadi ahli. Dia dibawa masuk persatuan pun semata-mata untuk terus
diangkat menjadi pemimpin.
Ahli-ahli
sudah mengenalinya melalui aktiviti lain yang telah disertai. Soal dia masih
baru dalam persatuan tidak menjadi masalah. Jika ada ahli yang sudah lama dalam
persatuan yang ingin menjadi pemimpin, terpaksalah dipendamkan sahaja hasrat
itu. Kerana kecewa tidak berpeluang menjadi pemimpin, ada yang bertindak keluar
persatuan atau tidak aktif lagi.
Dalam
meraih sokongan dalam persatuan, pengaruh wang memang diperlukan untuk kempen
meraih undi. Ini bukan soal rasuah persatuan, tetapi keperluan untuk
mendampingi ahli-ahli. Tidak mungkin perjumpaan dengan ahli sekadar diadakan di
tepi jalan. Kalaupun tidak di hotel, paling tidak tempatnya di restoran.
Dengan
kata lain, politik untuk merebut jawatan dalam persatuan juga tidak kurang
hebatnya dengan kempen memilih jawatan dalam parti politik. Lobi melobi mesti
ada. Malah ada yang menubuhkan team bagi memastikan perjalanan kempen lebih
kuat dan mencapai kemenangan secara berkumpulan.
Memang
sudah menjadi trend di negara kita, kalau hendak menjadi pemimpin persatuan
dengan cara mudah, tubuhlah apa-apapun persatuan, asalkan tidak bertentangan
dengan undang-undang negara. Tubuhlah persatuan berkaitan belia, kebajikan atau
bidang-bidang yang mirip dengan kerjaya.
Inilah
yang dikatakan politik persatuan. Persatuan ditubuhkan untuk membolehkan
seseorang bergelar menjadi pemimpin. Tidak kisahlah jika persatuan tidak aktif
dan pemimpin menggunakan jawatan persatuan untuk sekadar bergelar pemimpin.
No comments:
Post a Comment