Ketokohan seorang
pemimpin dapat dilihat dari segi kemampuannya memegang amanah dan menyampaikan
nasihat. Kedua-dua sifat itu hanya dapat diamalkan dengan baik jika pemimpin
itu benar-benar mampu menyesuaikan diri dengan kehidupan rakyat dan ia penting
untuk mengetahui apa yang sebenarnya diperlukan rakyat.
Jika ada pemimpin yang
sangat berkira untuk menemui rakyat, apatah lagi yang berada dalam kesusahan,
maka pemimpin itu bukanlah pemimpin boleh menyampaikan nasihat kerana tidak
mampu menyesuaikan diri.
Perlu diingat bukan
semua rakyat memerlukan bantuan kerajaan atau pemimpin, kadangkala mereka hanya
ingin melihat pemimpin menjenguk muka. Kedua-dua sifat itu sangat menonjol pada
kepemimpinan Nabi Saleh sehingga kepemimpinannya dapat dijadikan sebagai acuan
bagi pemimpin berikutnya. Kesungguhannya dalam mengamalkan kedua-dua sifat ini
membuatnya mendapat pujian dan sanjungan Allah sehingga Nabi Saleh dan pengikutnya
diselamatkan Allah daripada kehinaan.
Pujian dan sanjungan
seperti diperoleh Nabi Saleh tidak mustahil pula akan dapat dirasai oleh
pemimpin yang ada sekarang, selama kebijaksanaan yang dilakukannya benar-benar
memihak kepada kepentingan rakyat.
Justeru, tidak mustahil
Nabi Muhammad SAW mendapat kedudukan pertama dalam senarai 100 orang yang
paling berpengaruh di dunia menerusi buku ditulis seorang astrofizik terkenal
dan seorang penulis sejarah, Michael H Hart, yang mengundang pelbagai
kontroversi akibat tulisannya yang sangat kritis.
Buku pertama Michael yang diterbitkan pada 1978 bertajuk The 100:
A Ranking of the Most Influential Persons in History, terjual lebih daripada
500,000 cetakan dan diterjemah ke dalam 15 bahasa. Buku itu meletakkan kepemimpinan
Nabi Muhammad SAW sebagai yang paling berpengaruh dalam sejarah ketamadunan manusia.
Hak dan tanggungjawab kepada rakyat yang mesti diutamakan ialah
dalam bidang pendidikan dengan memperluaskan pemahaman ilmu aqli dan naqli
serta tasawur Islam kepada masyarakat.
Banyak institusi pengajian tinggi hari ini memperkenalkan silibus menggabungkan
bentuk pengajian tradisi dan kontemporari serta mendedahkan ilmu wahyu serta
sekular supaya pelajar mudah membuat perbandingan antara kekuasaan Allah dengan
kebijaksanaan manusia.
Gabungan itu juga memperlihatkan keupayaan cerdik pandai menilai
sesuatu dengan ilmu secara analisis supaya tidak bertentangan dengan syariat,
bukannya menerima bulat-bulat segala apa yang disampaikan.
Kerajaan juga perlu memperbanyakkan peluang pendidikan secara
bersepadu pada semua peringkat pengajian, selain memantapkan penguasaan bacaan
al-Quran. Siti Khadijah, isteri pertama Rasulullah SAW dikenali sebagai seorang
hartawan paling banyak berkorban hartanya kepada perjuangan Islam sehingga
Rasulullah SAW sendiri tidak putus-putus menyebut kebaikan Siti Khadijah yang
sanggup menyerahkan tulang belulangnya jika laku untuk dijual bagi menegakkan
syiar Islam.
Dalam aspek ekonomi pula, kepentingan rakyat ialah untuk
diperluaskan potensi pengeluaran produk tempatan yang halal bertaraf
antarabangsa bagi memenuhi tuntutan fardu kifayah, mencukupkan keperluan hidup
mereka dan memperkemas serta meningkatkan keupayaan sistem muamalah Islam dalam
industri perbankan.
Manakala dari segi sosial, kerajaan adil dan amanah perlu
memperkemaskan pusat khidmat sosial, pusat pembangunan keluarga Islam,
institusi perlindungan untuk ibu tunggal, ibu tinggal, anak yatim, wanita
teraniaya dan sebagainya, memperkukuhkan peranan institusi masjid, keluarga dan
masyarakat serta institusi pemulihan.
Tambahan pula di negara ini, sultan sebagai ketua agama Islam di
setiap negeri dan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam di negeri
tidak bersultan, selain sebagai Ketua Agama Islam Negara mempunyai kuasa
tertinggi untuk menjamin institusi agama dijulang.
Dalam sejarah Islam,
pernah pada satu ketika Saidina Umar menerima wang daripada isterinya yang
menyuruhnya membeli daging. Bila ditanya daripada mana dia memperoleh wang itu,
lalu dijawab isterinya wang itu dikumpul daripada pemberian suaminya setiap
hari sebagai nafkah yang disimpannya dalam tabung.
Lalu dijawab oleh
Saidina Umar, ini bermakna pemberiannya setiap hari itu sudah berlebihan
daripada keperluan harian. Saidina Umar terus mengambil wang itu dan dimasukkan
ke dalam Baitulmal dan tidak dibelikan daging seperti disuruh isterinya dengan
alasan masih ramai orang lain memerlukan wang.
Kisah itu menunjukkan
bahawa sifat kepemimpinan ditonjolkan Saidina Umar adalah jelas untuk menjaga
kepentingan rakyat dan bukannya menggunakan amanah diberikan oleh rakyat untuk
mencari kekayaan.
Dari segi budaya,
kerajaan yang memerintah dengan adil dan amanah perlu mengamalkan dan
menggalakkan budaya yang sesuai dengan nilai ketamadunan unggul. Di negara ini,
sudah tentulah budaya paling sesuai ialah yang tidak bertentangan dengan
syariat Islam dan moral.
Budaya hedonisme
contohnya, yang tidak bertamadun sama sekali perlu dijauhi dan dijadikan
sempadan dalam memastikan pengaruh budaya diterapkan rakyat adalah yang terbaik
daripada sisi agama.
No comments:
Post a Comment