Kenapa
kerap berlaku banjir kilat? Pertamanya tentu disebabkan hujan lebat. Itu
jawapan bocor yang telah lama digunakan. Jawapan kedua, banyak pihak tidak
senang dengan jawapan ini, aliran air atau sungai tersekat.
Punca
tersekat banyak sebab. Biasanya disebabkan proses urbanisasi yang tidak
terancang. Pembangunan pesat dan tidak mengikut rancangan asal
pembangunan.
Aliran
sungai tersekat disebabkan sampah sarap dibuang merata-rata. Sungai tidak
dijaga dari aspek kebersihan hingga sampah sarap menghalang laluan air. Tidak
terkecuali menyekat aliran air ialah pokok renek serta rumput yang tumbuh subur
di laluan air.
Penjagaan
sungai di negara kita agak teruk, terutama yang melalui kawasan bandar dan
penempatan. Kebersihan sungai tidak dijadikan keutamaan disebabkan perbelajaan
agak besar, sedangkan ia sekadar untuk mengalirkan sisa domestik dan air kotor.
Lebih-lebih lagi kedudukan sungai di bahagian belakang bangunan atau
tersembunyi ditutup oleh pokok serta rumput di tebingnya. Tidak ada siapa yang
pedulikannya.
Masyarakat
sedar kesilapan dan mula memikirkan soal sungai apabila berlaku bencana
akibatnya. Ketika itu sudah banyak berlaku kerosakan harta benda dan mungkin
juga melibatkan nyawa.
Namun,
pengalaman itu tidak memberi pengajaran. Sungai masih berada di takuk lama,
tidak diseliakan dengan baik. Kalau ada sedikit usaha untuk melancarkan aliran
air, ia hanya ketika musim banjir itu saja. Itupun, setelah banjir kilat
berlaku dan bertujuan menambah kadar aliran agar cepat surut.
Itu
soal sungai tidak diselengara dengan baik. Satu lagi masalah ialah tidak ada
laluan air seperti longkang atau parit disediakan. Ini berlaku di kawasan
perumahan baru dibina. Pemaju sekadar membina longkang di kawasan perumahan
yang dibina. Sedangkan aliran air itu sepatutnya dialirkan sehingga ke longkang
lebih besar atau sungai.
Banjir
kilat yang berlaku di kawasan itu biasanya tidak melibatkan kawasan rumah yang
baru dibina. Dengan kata lain, pemaju boleh lepas tangan. Ini biasa berlaku. Kawasan
yang tidak pernah mengalami banjir terpaksa berdepan dengan musibah dicipta
akibat kerakusan pihak lain untuk mendapat keuntungan.
Pihak
berkuasa tempatan perlu peka kepada masalah ini. Sebarang kelulusan memajukan
kawasan perumahan, perindustrian, kompleks beli belah dan sebagainya perlu
mengambil kira semua aspek, termasuk soal pengaliran air di kawasan itu ketika
hujan lebat.
Adalah
tidak adil, ketika pihak lain mendapat keuntungan dan bersenang lenang, pihak
lain pula menerima kesan buruk akibat pembangunan itu. Jika perlu dikeluarkan
kos tambahan untuk membina longkang besar, perbelanjaan itu mesti disediakan. Bahkan,
jika pemaju tidak mampu menyediakan longkang besar seperti diperlukan, wajar
projek itu tidak diteruskan.
Sebenarnya,
isu sungai bukan timbul ketika musim banjir semata-mata. Cerita sungai kotor
dan air tidak selamat untuk kegunaan umum tidak berpenghujung walaupun pelbagai
kempen dan usaha telah dilakukan.
Inilah
hakikat yang terpaksa diakui. Bilangan sungai yang
‘sudah mati’ akibat terlalu kotor dan tercemar semakin bertambah. Memalukan
apabila sungai yang dulunya air jernih dan banyak hidupan air mendiaminya yang
menjadi punca pendapatan nelayan, kini hanya layak dipanggil longkang
besar.
Kajian hidrologi mengkategorikan
tiga sumber pencemaran sungai iaitu pencemaran fizikal seperti sampah sarap,
pencemaran biologi seperti najis binatang dan pencemaran kimia yang terdiri
daripada bahan kimia terlarut.
Pemandangan sungai yang tercemar
hilang daya tarikan. Sungai yang dikaitakan dengan kedamaian dan keindahan
telah bertukar kepada menyakitkan mata dan mendatangkan bau busuk. Sungai tidak
lagi menjadi daya tarikan dan rebutan golongan kaya untuk dijadikan laman
rumah.
Sedangkan pada masa lalu, tebing
sungai dijadikan penempatan golongan kaya. Banyak istana dibina berhampiran
dengan sungai. Begitu juga, penempatan di sesuatu tempat bermula di tebing
sungai seperti dapat dilihat kebanyakan bandar besar di negara kita dan di luar
negara.
Sebaliknya kini, sungai menjadi
rebutan bagi golongan tidak berada. Kawasan tebing sungai menjadi penempatan
setinggan yang tidak menghiraukan soal bau busuk dan pemandangan tidak elok
sungai kerana mereka tidak ada banyak pilihan untuk mencari tempat yang lebih
selesa.
Penghuni tebing sungai mengambil
jalan mudah membuang sampah sarap ke dalam sungai yang dijadikan seperti tong
sampah. Tidak hairanlah jika sungai di kota dipenuhi oleh sampah yang
menyebabkan aliran air bergerak perlahan membawa sampah sehingga ke laut.
Kerajaan terpaksa menyediakan
peruntukan yang besar untuk membersihkan sungai yang tercemar. Peruntukan itu
sepatutnya boleh digunakan untuk tujuan lain, jika sungai-sungai di negara kita
sedia dalam keadaan bersih. Mencegah adalah lebih baik daripada merawat.
Alasan pihak yang mengatakan keadaan
itu tidak dapat dielakkan memandangkan perkara itu sebahagian daripada proses
urbanisasi sebenarnya tidak boleh diterima kerana banyak sungai di negara maju
yang mengalir di tengah kota besar berada dalam keadaan bersih.
Contohnya, Sungai Thames di kota
London kekal bersih dan menjadi satu daya tarikan pelancong. Paling dekat
dengan kita, sungai-sungai di kota Singapura juga bersih, biarpun kadar
urbanisasinya lebih pesat di sana.
Di negara Eropah, mereka sepakat
mengadakan kempen ‘European Framework Directive’ yang menetapkan sasaran bagi
membaik pulih semua sungai di Eropah sehingga mencapai tahap piawaian yang
seragam.
Penglibatan orang ramai secara
sukarela atas dasar kesedaran dalam usaha memulihara sungai dapat memberi kesan
baik jangka panjang. Kesedaran ini dapat membentuk satu ‘kebiasaan’, yang
kemudiannya menjadi satu budaya yang diikuti semua orang.
No comments:
Post a Comment