Friday, 31 August 2018

MAKSUD "BALA LALU DIBAWA SINGGAH"

Peribahasa, "bala lalu dibawa singgah", menggambarkan kefahaman masyarakat Melayu bahawa sesuatu bala boleh dielakkan. Bala atau kecelakaan memang ada di mana-mana dianggap sekadar 'lalu', tetapi mengapa pula kita mengajak 'singgah'. Itu dikira kita sendiri yang mencari dan menjemput bala terjadi kepada diri sendiri.

Kemalangan adalah bala yang boleh dielak sekiranya individu pengguna jalan raya mengambil tindakan berhati-hati berhemah di jalan raya.

Setiap tibanya musim perayaan, pengguna jalan raya sering diingatkan supaya tidak mengalami bala kemalangan. Tentulah menyedihkan sekiranya kemeriahan hari raya yang disambut dimusnahkan oleh tragedi yang mengundang kedukaan kehilangan orang tersayang atau kecederaan menyebabkan kecacatan seumur hidup. 

Kerajaan mengadakan langkah pemantauan untuk mendidik pengguna jalan raya agar lebih berhemah mengelak kemalangan. Peringatan ini penting memandangkan setiap kali musim perayaan, kadar kemalangan jalan raya meningkat dengan mendadak, sekaligus mencatatkan jumlah kematian, kecederaan dan kerugiaan harta benda lebih tinggi berbanding hari-hari biasa.

Keadaan ini berlaku semasa perantau berpusu-pusu pulang ke kampung halaman untuk merayakan hari mulia bersama-sama ibu bapa, sanak saudara dan rakan. Perjalanan jauh yang memenatkan, laluan jarang dilalui dan ditambah pula keadaan jalan raya yang sibuk, menyebabkan kemalangan mudah berlaku jika tidak berhati-hati dan berhemah di jalan raya. 

Berdasarkan kepada laporan kes kemalangan jalan raya yang berlaku di negara kita, punca utama malapetaka terjadi kemalangan jalan raya disebabkan sikap pemandu sendiri. Inilah disebut menempah maut sendiri. Perbuatan itu bertentangan dengan tuntutan agama.

Lebih 90 peratus kemalangan berlaku disebabkan faktor kemanusiaan. Peraturan jalan raya tidak dipatuhi, sedangkan mereka mengetahui peraturan yang sebenarnya. Antara kesalahan paling kerap dilakukan pemandu ialah memandu laju, memotong di garisan berkembar, tidak bertimbang rasa, tidak mematuhi lampu isyarat dan cuai. 

Ramai pemandu suka mengambil resiko ketika berada di jalan raya dengan melakukan perbuatan yang jelas mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain. Sikap ego dan mementingkan diri di jalan raya dianggap mendatangkan kepuasan.       

Ajaran Islam memerintahkan agar umatnya mematuhi undang-undang jalan raya untuk tujuan kebaikan. Sesiapa melanggar undang-undang ditetapkan kerajaan, bermakna melanggar perintah Allah dan Rasulullah.

Sesungguhnya mentaati pemerintah yang merangkumi segenap peraturan dan undang-undang yang ditetapkan adalah wajib ke atas setiap orang Islam. 

Sabda Rasulullah bermaksud: “Wajib ke atas setiap orang Muslim mentaati pemerintah sama ada dalam perkara disukai atau tidak, selagi tidak diperintahkan melakukan maksiat. Sekiranya dia diperintah melakukan maksiat, maka janganlah kamu patuh dan mentaatinya.” (Hadis riwayat Bukhari).

Memandangkan perjalanan di jalan raya memungkin berlaku kecelakaan tanpa diduga, Islam menganjurkan agar setiap Muslim memulakan perjalanan dengan bacaan doa. Doa memohon keselamatan dalam perjalanan adalah termasuk usaha mengelak kemalangan. 

Setiap kali sebelum memulakan perjalanan jauh, Rasulullah bertakbir sebanyak tiga kali. Selepas bertakbir, Rasulullah teruskan pula dengan doa bermaksud: “Maha Suci Tuhan yang memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum ini tidak berdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kami akan kembali.”

Selepas doa permulaan, Rasulullah membaca doa seterusnya. Doa tersebut bermaksud: “Ya Allah, ya Tuhanku, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu kebaikan dan takwa dalam pelayaran kami ini dan amal yang soleh yang Engkau redai. Ya Allah, ya Tuhan kami permudahkanlah pelayaran kami ini, dan dekatkanlah jarak jauhnya (supaya kami segera sampai ke tempat ditujui). Ya Allah, ya Tuhan kami, Engkaulah rakan di dalam pelayaran, dan wakil pengganti yang menjaga keluarga kami (yang ditinggalkan).”

“Ya Allah, ya Tuhanku, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kesukaran (yang lazim berlaku) dalam pelayaran dan (daripada keadaan yang menyebabkan aku) berupa hodoh dan muram, juga (daripada sebarang peristiwa yang menyebabkan aku) kembali dalam keadaan yang buruk mengenai harta benda, keluarga dan anak pinak.” (Hadis riwayat Muslim).

Sesiapa berdoa memohon keselamatan sebelum memulakan perjalanan bererti dia merasakan satu tanggungjawab untuk menjaga keselamatannya. Secara tidak langsung, doa itu memberi peringatan agar tidak melakukan perbuatan yang boleh membahayakan keselamatan diri sendiri, ahli rombongan dan orang ramai.

Sesungguhnya doa orang musafir atau dalam perjalanan adalah doa mustajab. Allah memberkati dan merahmati doa itu. Sabda Rasulullah bermaksud: “Tiga macam doa yang tidak dapat diragui pasti mustajab. Doa orang teraniaya. Doa orang dalam musafir. Doa ayah terhadap anaknya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Ajaran Islam menekankan agar setiap penganutnya berusaha mengelak diri daripada sebarang kecelakaan. Sesungguhnya, sesuatu yang mendatangkan bahaya wajib dijauhi. 

Firman Allah bermaksud: “Dan janganlah kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan.” (Surah al-Baqarah, ayat 195).

Maka dengan itu, sesiapa sengaja melakukan perbuatan mendatangkan bahaya keselamatan jalan raya tergolong mereka yang melakukan perbuatan dosa. Orang itu bukan sahaja terdedah kepada bahaya, bahkan bakal menerima balasan dosa yang dilakukan itu.

Rancanganlah perjalanan agar tidak memandu tergesa-gesa. Pilih waktu yang dirasakan lebih sesuai dan keadaan diri yang bersedia untuk melakukan perjalanan jauh. Elakkan memandu dalam keadaan tertekan dan badan letih. Ramai yang memaksa diri memandu dalam keadaan keletihan dan tidak cukup rehat. 

Ambillah masa rehat yang secukupnya dengan berhenti di perhentian rehat dan rawat atau di mana-mana tempat yang difikirkan sesuai. Biar lambat sampai, jangan tidak sampai langsung. Pastikan juga kenderaan dalam keadaan selamat dan berfungsi dengan baik. 

Sesungguhnya jika pengguna jalan raya di negara kita mengubah sikap dan cara pemanduan lebih berhemah dan selamat, kadar kemalangan jalan raya akan dapat dikurangkan. Hakikatnya, kemalangan jalan raya berpunca daripada sikap pemandu sendiri.

Allah tidak mendatangkan sesuatu malapetaka atau kecelakaan terhadap hamba-Nya, melainkan berpunca daripada manusia sendiri.   

Allah berfirman dalam surah an-Nisa, ayat 40 bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seorang) sekalipun sebesar zarah. Dan kalaulah (amal seberat zarah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi di sisi-Nya pahala yang amat besar.”

Semoga perjalanan pulang ke kampung halaman atau ke mana juga destinasi ditujui selamat pergi dan balik. Kematian bagi individu yang meninggal dunia tidak memberi kesan kepada dirinya, tetapi yang menderita akibat kematian itu ialah orang tersayang dan seluruh ahli keluarga, masyarakat dan negara. 

Jangan biarkan keluarga dan orang tersayang menanti dalam tangisan. Kegembiraan yang diharapkan, sebaliknya kedukaan menimpa gara-gara kecuaian diri sendiri.

No comments:

Post a Comment