Semua
ibu bapa ingin anak mereka berjaya dalam pelajaran dan menjadi pemimpin apabila
dewasa nanti. Menjadi pemimpin dianggap lambang kejayaan, keupayaan melebihi
individu lain dan bijaksana. Justeru, status pemimpin amat dihormati dan
menjadi kebanggan diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Erti
pemimpin bukan saja apabila menjadi jadi ahli politik. Jawatan ketua dalam
kerjaya juga dikira pemimpin. Sebenarnya banyak antara kita yang layak
dipanggil pemimpin.
Proses
mendidik anak untuk menjadi pemimpin yang berjaya perlu dilakukan sejak kecil
lagi. Bakat kepimpinan seseorang biasanya telah dapat dikesan sejak usia
kanak-kanak. Justeru, bakat yang dimiliki anak itu perlu dipupuk dan
dikembangkan sepenuhnya.
Pemimpin
adalah individu yang berwibawa, berketerampilan, berdaya tahan dan berkarisma. Proses
membentuk dan melahirkan pemimpin yang terbaik memerlukan masa yang lama. Ia
dilakukan secara berperingkat-peringkat mengikut tahap aktiviti atau kedudukan.
Sebab
itu, untuk melahirkan pemimpin yang baik memerlukan satu perancangan awal,
sebaik-baiknya sejak usia kanak-kanak. Ibu bapa patut memerhatikan bakat
kepimpinan yang dimiliki oleh anak. Mungkin anak anda mempunyai potensi untuk
menjadi pemimpin ternama suatu hari nanti.
Bakat
ini perlu diasuh atau dibina secara berterusan bersesuaian mengikut peringkat
umur anak. Ibu bapa tidak sepatutnya melepaskan peluang untuk membentuk bakat
kepimpinan anak yang ada dalam diri. Ia satu aset yang amat berharga untuk
kejayaan hidup anak pada masa depan.
Didapati
pemimpin yang hebat sekarang ini bukannya dilahirkan sebagai pemimpin secara
semulajadi. Sebaliknya seseorang pemimpin dibentuk melalui proses pembinaan
ciri-ciri kepimpinan yang berterusan.
Bakat
kepemimpinan itu perlu diasuh sejak kecil, dikembangkan pula di alam
persekolahan dan seterusnya di pusat pengajian tinggi. Bakat kepemimpinan juga
boleh dikembangkan melalui persatuan, aktiviti berkumpulan dan paling jelas
apabila menyertai politik.
Untuk
mengesan bakat kepimpinan anak ialah dengan memerhati tingkah lakunya. Cuba
perhatikan, ada kanak-kanak yang berlagak sebagai ketua di kalangan rakan
sebaya. Dia menjadi lebih dominan di kalangan rakan sebaya. Itulah namanya anak
yang ada bakat kepemimpinan.
Bakat
kepimpinan itu lebih terserlah apabila rakan sebaya menerima atau menuruti apa
yang dilakukan olehnya. Dia berkemampuan merancang, melaksanakan dan mengambil
keputusan berkaitan aktiviti yang dilakukan bersama-sama rakan sebaya.
Bakat
seumpama itu tidak dimiliki oleh semua kanak-kanak. Dia lebih berkebolehan berbanding
kanak-kanak sebaya. Itu tanda ada bakat terpendam yang perlu dicungkil dan
disuburkan.
Biarpun
bakat kepemimpinan asalnya kelihatan secara semulajadi, hakikatnya mempunyai
banyak kaitan bagaimana ibu bapa mewujudkan persekitaran kepemimpinan untuk
anak. Ia berkaitan dengan peluang dan pendedahan secara berterusan.
Bakat
itu perlu dipupuk dan dikembangkan lagi kepada aktiviti mendatangkan kebaikan.
Ibu bapa patut menggalakkan anak melakukan aktiviti dengan rakan sebaya yang
berpewatakan baik. Dengan cara itu mereka memperoleh pengalaman yang lebih.
Sebenarnya
anak perlu diberikan sedikit kebebasan dalam pergaulan. Itu bukan saja baik
untuk melatih bakat kepemimpinan, tetapi dalam aspek lain yang diperlukan oleh
kanak-kanak untuk menimba pengalaman hidup. Justeru, ibu bapa jangan terlalu
banyak mengungkapkan perkataan ‘jangan’ kepada anak.
Selain
membina bakat kepemimpinan, aktiviti berkumpulan dapat meningkatkan kemampuan
berkomunikasi, kerjasama dan membina ketahanan minda dan fizikal. Ini juga
dapat membantu anak menjadi lebih cergas dan bijak.
Namun,
perlu diperhatikan agar bakat kepimpinan yang dimiliki anak tidak
disalahgunakan kepada aktiviti berbentuk negatif. Ada kanak-kanak yang
menunjukkan bakat memimpin rakan sebaya kepada perbuatan tidak senonoh, menipu,
malas, keras kepala dan nakal.
Jadi,
elok diperhatikan dengan siapa anak kita berkawan. Kanak-kanak mudah
terpengaruh apa yang dilakukan oleh rakan sebaya yang lebih dominan dalam
kumpulan mereka. Dengan kata lain, kebebasan yang perlu diberikan adalah
bersyarat.
Bakat
kepimpinan anak akan lebih menyerlah apabila berada di alam persekolahan. Alam
persekolahan bukan sekadar mengajar pelajar mengenai pelajaran akademik
semata-mata. Aktiviti di sekolah banyak membantu membentuk daya kepimpinan
pelajar.
Di
sekolah pelajar berpeluang menyertai secara berkumpulan, kegiatan sukan dan
kokurikulum. Di sinilah bakat kepimpinan semakin berkembang dan memerlukan
pembinaan yang lebih teratur.
Dalam
aktiviti di sekolah itu pastinya ada pelajar yang dilantik menjadi ketua,
pengerusi, setiausaha, ahli jawatankuasa, pengawas, ketua darjah dan
sebagainya. Semua jawatan itu adalah sebagai pemimpin. Jadi, ia adalah medan
terbaik untuk pelajar membina dan memperkukuhkan bakat kepimpinan.
Jika
disoroti kejayaan pemimpin di pelbagai peringkat kerjaya, didapati bermula
ketika alam persekolahan lagi. Pengalaman memimpin ketika di sekolah digunakan
untuk meletakkan mereka terbaik antara yang terbaik dalam bidang masing-masing.
Ketika
orang lain baru hendak mengilap bakat kepimpinan, bekas pemimpin pelajar telah
memacu jauh di hadapan dalam kelasnya tersendiri. Mereka dapat menggunakan
pengalaman menjadi pemimpin ketika alam persekolahan untuk terus berjaya dalam
bidang yang diceburi.
Justeru,
penyertaan dalam kokurikulum dan memegang jawatan semasa di sekolah bukan satu
usaha sia-sia. Belajar menjadi pemimpin adalah sebahagian daripada matlamat
pendidikan negara. Kita tidak mahu melahirkan pelajar yang hanya cemerlang
dalam akademik, tetapi tidak mampu menjadi pemimpin yang baik.
Sikap
ibu bapa yang melarang anak mereka akif dalam persatuan dengan alasan tidak
mahu prestasi pelajaran anak terganggu sebenarnya mengambil langkah tidak
bijak. Tidak ada bukti yang menunjukkan pelajar yang aktif berpersatuan akan
menurun prestasi akademiknya.
Sebenarnya
kejayaan akademik semata-mata tidak bermakna tanpa keupayaan memimpin. Banyak
pelajar yang cemerlang di alam persekolahan, tetapi ketinggalan dalam kerjaya. Mereka
gagal menjadi pemimpin yang baik.
Sesiapa
menjadi pegawai di sektor awam maupun swasta tidak terlepas daripada
tanggungjawab memimpin. Inilah hakikat yang terpaksa dilalui setiap pegawai. Tugas
memimpin bukan satu tanggungjawab yang mudah.
Walaupun
banyak pegawai cuba mempelajari teknik kepimpinan, tetapi tidak dapat dicapai
dengan mudah. Daya kepimpinan turut menggabungkan sikap, pekerti, minda, emosi,
minat, keikhlasan dan fizikal. Hal ini tidak lahir dengan mudah dalam diri,
melainkan telah diamalkan dalam diri sejak awal lagi.
Semangat
kepimpinan pelajar juga adalah sebahagian daripada menyemai semangat
patriotisme. Pelajar yang menjadi pemimpin memperlihatkan semangat positif
terhadap isu-isu yang dibincangkan di peringkat negara dan global. Kematangan
fikiran menghadapi isu-isu semasa begitu kuat dalam diri.
Justeru,
pemimpin pelajar lebih memahami dan sedaya upaya untuk menjayakan inspirasi
kerajaan. Kehendak dan impian mereka selari dengan apa yang dicanangkan oleh
kerajaan kerana mereka sudah menjiwai semangat pemimpin sepertimana pemimpin
negara.
Kerajaan
sentiasa menerima cadangan dan cetusan minda yang dilahirkan oleh kepimpinan
pelajar. Mereka bakal mengambil alih kepimpinan negara pada masa akan hadapan. Misi
dan visi pelajar adalah untuk kehidupan mereka pada masa akan datang.
Pemimpin
pelajar sentiasa menumpukan perhatian kepada perkara yang berfaedah. Ini secara
langsung mengelak mereka terjebak dengan masalah disiplin dan moral. Bahkan,
pemimpin pelajar sering terlibat membantu rakan sebaya agar tidak terjebak
dengan aktiviti tidak sihat.
Bilangan
pelajar yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah, salah laku seks, samseng,
mencuri, ponteng sekolah dan merosak harta benda awam semakin meningkat. Antara
punca yang dikenal pasti ialah pelajar itu tidak mengikuti aktiviti persatuan
dan kokurikulum di sekolah, sebaliknya menghabiskan masa dengan melakukan
aktiviti tidak berfaedah.
Di
sinilah kita memerlukan lebih banyak pelajar yang mempunyai semangat kepimpinan
dan bersedia untuk berada selari dengan arus perdana negara. Pemimpin pelajar
menjadi contoh kepada pelajar lain dan memimpin rakan sebaya ke arah menjadi
pelajar berdisiplin, bermotivasi, berwawasan dan berjaya.
Justeru,
ibu bapa perlu menggalakkan anak mereka menyertai aktiviti berkumpulan untuk
membentuk daya kepimpinan dan menimba sebanyak pengalaman dan pengetahuan
melaluinya. Negara memerlukan generasi pemimpin pelapis yang lebih berkebolehan
dan mampu melaksanakan misi negara dengan jayanya.
No comments:
Post a Comment