Kematian
pasti dihadapi oleh setiap orang. Firman Allah dalam surah al-Anbia ayat 34
bermaksud: “Setiap yang bernyawa pasti akan mati.” Dalam ayat lain pula Allah
menjelaskan bahawa apabila tiba masa ajalnya, maka ia tidak dapat dipercepatkan
atau diperlambatkan walaupun sesaat.
Setiap
hari di sekeliling kita terdapat saudara, kawan, jiran dan lain-lain diketahui
meninggal dunia. Akan tiba masanya kita pula meninggal dunia. Justeru, manusia
tidak selama-lamanya akan hidup di dunia ini.
Buktinya,
perhatikan sekeliling kita. Sekarang ini kita tidak dapat lagi menemui orang
yang berumur lebih 150 tahun. Semuanya sudah meninggal dunia sebelum mencapai
umur tersebut.
Secara
puratanya, umur 60 tahun sudah dikira memasuki ‘usia menunggu kematian’. Rasulullah
telah mengingatkan usia umatnya tidak panjang seperti usia umat nabi-nabi
terdahulu yang mencecah usia ratusan tahun. Rasulullah sendiri wafat ketika
usia 63 tahun.
Namun
perlu juga diingatkan, saat kematian sebenarnya tidak mengira usia. Bukan hanya
apabila telah melepasi usia tua sahaja baru kematian akan berlaku. Kematian
boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tanpa mengira usia, tidak kira bayi dalam
kandungan, kanak-kanak, remaja dan tambah-tambah lagi orang yang sudah tua. Sebab
itu setiap orang perlu sentiasa mengingati kematian yang akan dihadapi.
Pesanan
agar mengingati saat kematian bukan bertujuan untuk menakut-nakutkan atau
menyebabkan kesan negatif. Sebaliknya ia bertujuan mengingatkan kita tujuan
hidup ini dan di mana akan berakhir. Setiap orang perlu mengetahui tujuan
sebenar hidup ini. Allah menjadikan manusia bukan sekadar untuk menikmati
kehidupan dengan di dunia ini dan kemudian dimatikan seperti mana
makhluk-makhluk lain.
Manusia
diciptakan dan diturunkan ke muka bumi sebagai khalifah dan hamba yang
ditetapkan tugas atau peraturan hidup yang perlu dilakukan. Firman Allah dalam
surah al-Dzariyat ayat 56 bermaksud: “Tidak Aku ciptakan jin dan manusia,
melainkan supaya mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” Setiap manusia yang
dilahirkan ke dunia telah menyatakan persetujuan untuk taat kepada Allah.
Maksud
menyembah dan beribadat kepada Allah adalah dalam maksud yang luas meliputi
segala detik kehidupan manusia. Ia meliputi ibadat khusus seperti sembahyang,
menunaikan haji dan ibadat yang dinyatakan secara jelas sebagai perlu
dilakukan. Manakala yang lainnya dalam bentuk ibadah tidak khusus.
Manusia
yang melakukan segala apa yang disuruh dan menjauhkan apa yang dilarang dikira
telah melakukan ibadah. Panduan atau peraturan kehidupan manusia di dunia ini
terkandung dalam al-Quran dan al-Hadis. Sesiapa yang mengikut kedua-duanya
pasti akan bahagia hidup di dunia dan akhirat.
Setiap
perbuatan manusia akan dicatatkan di dalam rekod yang dijaga oleh dua melaikat;
catatan perbuatan baik dan perbuatan buruk. Kedua-duanya tidak akan sedikitpun
tertinggal atau berlaku kesilapan. Rekod itu kemudian akan dibentangkan di
hadapan Allah di akhirat nanti selepas berlaku kiamat.
Setiap
amalan akan dihisab dan ditimbang pahalanya biarpun sekecil mana perbuatan yang
telah dilakukan sepanjang hidupnya di dunia. Firman Allah bermaksud: “Sesiapa
yang melakukan kebaikan walaupun sebesar zarah akan tetap diberi pembalasan. Dan
barang siapa yang melakukan kejahatan walaupun sebesar zarah, maka dia juga
tetap akan diberi pembalasan.” (Surah al-Zalzalah, ayat 7 dan 8).
Sesiapa
yang mendapat himpunan pahala yang lebih banyak daripada dosa, maka dimasukkan
ke dalam syurga dan berbahagialah dia hidup di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya
syurga itu tempat yang tiada tandingan nikmatnya yang disediakan kepada orang
yang bertakwa.
Firman
Allah dalam surah ar-Raad ayat 35 bermaksud: “Perumpamaan syurga yang
dijanjikan kepada orang-orang yang takut kepada Allah, di dalamnya mengalir
sungai-sungai, buah-buahnya tetap dan (juga) naungannya. Itulah kesudahan
orang-orang yang bertakwa kepada Allah, manakala kesudahan orang-orang kafir
(engkar) pula ialah nereaka.”
Dengan
selalu mengingati kematian, manusia akan sedar ke mana akhirnya hidupnya nanti.
Dia akan mengingati hari pembalasan terhadap setiap apa yang dilakukan. Dengan
itu, setiap amalannya adalah untuk kebaikan seperti yang dikehendaki oleh
ajaran agama dengan mengira-gira sudah berapa banyak kebaikan yang telah
dilakukan.
Insan
yang mengharapkan balasan baik tidak akan merasa cukup dengan apa yang telah
dilakukan. Sebaliknya dirasakan sentiasa masih terlalu kurang dan ingin
dilipat-gandakan lagi amalan baik yang telah dilakukan sebelum tiba saat
kematian yang tidak diketahui bila masanya. Sesungguhnya semakin banyak amakan
kebaikan dilakukan, maka semakin dekat dirinya dengan Allah dan semakin takut
dia kepada Allah.
Perasaan
takut orang beriman menyebabkan mereka sentisa mengingati hari kematian. Dua
kemungkinan mereka fikirkan tentang kematian. Pertamanya adalah kesediaan
mereka untuk menemui Allah pada bila-bila masa. Segala-galanya dirasakan begitu
mengembirakan.
Bagi
orang beriman saat kematian amat manis ketika mana perjalanan untuk menghadap
Allah semakin hampir. Mana kala kemungkinan keduanya yang sering bermain di
benak fikiran orang beriman ialah adakah amalan mereka sudah cukup untuk
mendapat balasan baik daripada Allah. Justeru, mereka terus menerus tanpa jemu
melakukan amal ibadat kepada Allah sambil terus menghitung saat kematian.
Jika
disedari mereka telah melakukan kesalahan atau dosa, maka terus diperbetulkan
kesalahan itu. Lalu ia diikuti dengan taubat atau memohon keampunan daripada
Allah. Taubat bagi orang yang beriman dilakukan tanpa ditangguh-tangguh. Sesungguhnya
taubat itu memberi erti atau diterima sebelum tiba saat kematian.
Rasulullah
mengingatkan umatnya agar sentiasa bertaubat kerana Allah maha menerima taubat.
Namun taubat itu ada batasan waktunya. Sabda Rasulullah bermaksud:
“Sesungguhnya Allah tetap menerima taubat hamba-Nya selagi nyawanya belum
sampai di halkum (yakni belum sakaratulmaut).” – (Hadis riwayat Tirmizi).
No comments:
Post a Comment