Allah
akan menerima taubat mereka yang benar-benar insaf terhadap apa yang telah
dilakukan. Biarpun sebesar mana kesalahan yang dilakukan, Allah bersedia
menerima taubat hamba-Nya, kecuali kesalahan syirik. Kesalahan syirik hanya
‘dibersihkan’ dengan mengucap kalimah tauhid semula sebagai mengakui ‘tiada
Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh-Nya’.
Ketika
peluang masih ada, bertaubatlah sebelum terlambat. Sesunggguhnya tiada siapa
yang tidak pernah melakukan dosa. Rebutlah rahmat yang disediakan oleh Allah
yang Maha Pengampun. Sesungguhnya tiada penguasa melainkan Allah yang
‘melepaskan’ kesalahan tanpa denda atau hukuman setelah pesalah mengaku salah
dan memohon maaf. Allah memberi jaminan menerima taubat setiap hamba-Nya yang
benar-benar memohon taubat.
Firman
Allah: “Katakanlah (kepada manusia): “Wahai hamba-Ku yang telah merasa berdosa
atas diri mereka, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya
Allah dapat memberi ampun-Nya terhadap dosa seluruhnya. Sesungguhnya Dialah
yang Maha Pengampun dan Pengasih” – (Surah az-Zumar, ayat 53).
Setiap dosa yang disedari telah dilakukan
perlu terus dilakukan taubat. Ini kerana manusia tidak tahu mengetahui bila
ajalnya akan tiba. Sebab itu jangan sekali-kali mengamalkan sikap
bertangguh-tangguh kepada perbuatan baik. Dengarlah pesan Rasulullah melalui
sabdanya bermaksud: “Binasalah orang-orang yang suka bertanguh-tangguh.”
Bahkan
mereka yang mengingati kematian akan sentiasa beringat-ingat melakukan taubat
terhadap perbuatan yang tidak disengajakan atau tidak disedari. Mereka ingin
menghadap Allah dengan keadaan yang sebenar-benarnya bersih daripada dosa. Mereka
yang sentiasa lalai mengenai saat kematian diingatkan oleh Allah dalam surah
al-Makminun ayat 99 hingga 100 yang bermaksud:
“Sehingga
ketika maut telah datang kepada seseorang di antara mereka, maka diapun
berkata: “Wahai Tuhanku (hidup semula)! Supaya dengan itu aku akan dapat
mengerjakan perbuatan baik yang telah aku tinggalkan itu. Tidak. Sesungguhnya
perkataan itu hanya sekadar dapat diucapkan. Di hadapan mereka ada Barzah yang
dindingnya membatasi sampai hari mereka dibangkitkan.”
Setelah
tiba kematian untuk seseorang, tidak akan dapat diubah atau dilambatkan
walaupun sesaat. Maka terputuslah hubungan dan peluangnya untuk kembali hidup
sehinggalah dibangkitkan di akhirat nanti untuk menerima pembalasan. Segala
amalan yang dilakukan sepanjang hidup akan menjadi bekal menentukan untung
nasib di akhirat nanti.
Segala
hubungan dengan dunia terputus kecuali tiga perkara yang masih memberi kebaikan
biarpun selepas saat kematian. Tiga perkara itu ialah sedekah jariah yang
berterus-terusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada
orang lain dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada ibu
bapanya.
Biarpun
Allah menyediakan pelbagai tawaran untuk memasuki syurganya, namun itu bukan
satu perkara yang mudah. Sesungguhnya syaitan yang telah berjanji di hadapan
Allah akan menyesatkan seluruh keturunan Nabi Adam sentiasa berusaha
menjalankan propaganda dan hasutan agar manusia sentiasa melakukan kejahatan
agar turut sesat dan menerima nasib yang sama denganya.
Sebagai
peringatan tentang tauhid dan sikap syaitan bacalah surah an-Nas ayat satu
hingga 6 yang bermaksud: “Katakanlah: Aku berlindung kepada Tuhan manusia. Raja
manusia. Sembahan manusia. Daripada kejahatan (bisikan) syaitan yang biasa
bersembunyi. Yang membisikan (kejahatan) ke dada manusia. Daripada jin dan
manusia.”
Justeru
berpegan teguhlah dengan ikrar yang diucapkan seperti maksud firman Allah dalam
surah al-Anam, ayat 162: “Katakanlah: “Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku,
hidupku, dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbir
sekalian alam.”
Saat
kematian bagi setiap orang merupakan saat yang paling pedih dan negeri sekali,
lebih-lebih lagi bagi mereka banyak melakukan dosa. Mereka benar-benar beriman
dan memahami hakikat betapa pedih dan ngerinya kematian akan kecut hati dan
segera akan memperbanyakkan amalan kebaikan dan bertaubat atas dosa yang
dilakukan.
Ada
riwayat mengatakan, Sufian al Thauri seorang ahli ibadat, ketika dia mengingati
dan membicarakan tentang saat kematian, maka dia tidak dapat berbuat apa-apa
sampai beberapa hari seperti orang tidak
sedarkan diri. Apa-apa ditanyakan kepadanya akan dijawab tidak tahu.
Begitulah
betapa takutnya orang yang mengetahui siksanya menghadapi saat kematian. Dia
takut bukan kerana sayangkan kehidupan dunia yang akan ditinggalkan, tetapi
kerana merasakan amalan kebaikan yang dilakukan masih kurang dan takut
tergolong dalam kumpulan mereka yang rugi di akhirat nanti.
Adapun
rasa pedih dan negerinya saat kematian diumpamakan seperti pohon berduri
dimasukkan ke dalam badan, yang setiap durinya berkait dengan urat, lalu ia
ditarik keluar dengan kuatnya sehingga memutuskan apa yang terputus dan
meninggalkan apa yag masih tertinggal.
Kesakitan
ketika menghadapi malikutmaut dirasakan seperti tidak akan hilang-hilang. Diceritakan, Nabi Isa ketika bertanya kepada
orang mati yang dihidupkan semula dengan katanya: “Berapa lama kamu telah mati?
Lalu dijawab oleh yang mati itu: “sejak empat ribu tahun lalu, tetapi belum
hilang rasa pedihnya maut.
No comments:
Post a Comment