Kini banyak berita yang berbentuk fitnah,
khabar angin, penipuan dan berniat jahat tersebar di alam maya. Kemudahan laman
web, blog dan laman sosial disalahgunakan untuk menyebarkan berita yang tidak
benar dan berniat buruk.
Banyak berita fitnah melalui
internet mudah tersebar meluas. Puncanya sikap orang ramai yang mudah
mempercayai dan merasakan ‘satu tanggungjawab’ menyebarnya. Mereka suka
menyebar berita yang terkini dan hangat, biarpun tidak pasti akan
kebenarannya.
Berita
yang tidak benar mendatangkan banyak masalah, terutama yang melibatkan
kepentingan negara dan masyarakat. Biarpun ringkas, mungkin beberapa patah
perkataan sahaja, kesan amat besar yang mungkin mengancam keselamatan negara
dan mendatangkan keadaan tidak tenteram di kalangan masyarakat.
Berita
fitnah mendatangkan kesan amat buruk terutama dalam soal penting dan sensitif
melibatkan individu berkedudukan, keselamatan negara dan soal agama. Di negara
kita yang mempunyai penduduk pelbagai bangsa dan agama anutan, isu-isu
berkaitan bangsa dan agama amat sensitif.
Justeru
itu, masyarakat perlu dididik agar memastikan kebenaran sesuatu berita. Setiap
berita yang diterima perlu diperhalusi dan dipastikan kesahihannya agar tidak
terlibat dalam kancah berita berunsur fitnah.
Banyak
pihak yang turut terlibat menyebar fitnah sebenarnya tidak mempunyai apa-apa
kepentingan berkaitannya. Mereka tidak memperoleh apa-apa keuntungan jika
menyebarkan kembali dan tidak juga menanggung kerugian jika tidak melakukannya.
Tetapi,
disebabkan amalan menyebar fitnah telah menjadi kebiasaan, banyak orang yang menerimanya
cepat-cepat pula menyebarkan berita yang diterima untuk membuktikan dia lebih
awal mengetahui perkara itu berbanding rakan-rakan lain.
Kepuasan
yang diharapkan itu sebenar sekadar satu perbuatan merugikan diri sendiri dan
mungkin dikenakan tindakan undang-undang. Perkara ini tidak boleh dipandang
mudah atau sekadar suka-sukan kerana akibatnya duka dan sengsara.
Mungkin
banyak orang menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar suka-suka
dan untuk menunjukkan tanda prihatin terhadap sesuatu perkara. Suka-suka itu
boleh menyebabkan duka dan kerugian yang bukan sedikit kesannya.
Penyebar
khabar angin biasanya menyebut perkataan ‘dengar khabar’ mengenai berita yang
disebarkan. Bagaimanapun, apabila berita tersebar daripada seorang ke seorang,
maklumat bahawa berita itu belum sahih telah hilang dan kemudian disebarkan
seperti satu berita benar.
Malah,
ada yang menyebarkan berita fitnah dalam bentuk pertanyaan kononnya untuk
mendapat kepastian daripada pihak lain. Sedangkan pertanyaan itu bukan
ditujukan kepada pihak yang boleh memberi jawapan.
Jangan
terlalu mudah melatah dan merasa seperti satu tanggungjawab untuk menyebarkan
berita yang belum pasti kebenarannya. Banyak orang mudah terpengaruh
mempercayai berita yang dikaitkan dengan kepentingan agama dan kaum.
Malah
mereka menganggap apa yang dilakukan itu adalah sebahagian daripada jihad dan
mendapat balasan pahala. Kejahilan mengenai hukum agama dan terlalu mempercayai
berita menyebabkan mereka tidak memikirkan kesan perbuatan itu.
Agama
Islam menetapkan agar kita lebih berhati-hati dalam soal penyebaran maklumat
agar tidak berlaku perkara buruk akibatnya. Sesiapa menyebarkan berita tidak
benar, tambah-tambah lagi berbentuk fitnah adalah melakukan satu dosa yang
besar.
Sesungguhnya
perbuatan menyebarkan berita fitnah adalah lebih besar kesan buruknya daripada
melakukan pembunuhan. Sudah tentu kita tidak mahu digelar seperti pembunuh yang
amat keji.
Kita
tidak sepatutnya terperangkap dengan agenda buruk yang dirancang oleh pihak
tidak bertanggungjawab. Dengan satu berita yang mulanya dihantar kepada
beberapa orang, boleh tersebar secara meluas kepada berpuluh-puluh ribu
penerima dalam masa yang singkat.
Rakyat
perlu dididik agar menggunakan kemudahan internet untuk perkara-perkara yang
mendatangkan kebaikan.
No comments:
Post a Comment