Saturday, 1 September 2018

MASALAH JIWA PUNCA SUKA MENGUMPAT

Kamus Dewan mendifinisikan budaya sebagai tamadun, peradaban dan keseluruhan cara hidup yang merangkumi cara berfikir, berkelakuan dan cara bertindak serta segala hasil kegiatan atau amalan kerohanian sesuatu masyarakat.

Budaya memberi kesan besar kepada sesuatu masyarakat. Budaya baik perlu diteruskan, sedangkan budaya yang buruk perlu ditinggalkan agar tidak lagi menjadi satu amalan dalam masyarakat. Masyarakat yang membudayakan amalan buruk akan merasakan bahawa perbuatan itu tidak salah atau menganggap perkara itu satu kebiasaan yang turut dilakukan oleh orang lain. Jika amalan buruk berleluasa, maka banyaklah kerugian yang ditanggung oleh masyarakat. 

Antara budaya perlu dijauhkan ialah mengumpat. Perbuatan mengumpat punca masalah hubungan sesama manusia yang boleh mengakibatkan kesusahan, kerugian, perasaan malu dan mendapat nama buruk. Akibat perbuatan mengumpat menyebabkan hubungan persaudaraan dan persahabatan terputus dan berlaku tindakan bermusuhan yang mendatangkan masalah kepada kedua-dua pihak.  

Persengketaan sesama sendiri boleh menyebabkan ummah menjadi lemah. Keadaan ini semakin mudah dimanipulasi oleh musuh Islam sehingga memperlihatkan kononnya Islam agama mengamalkan budaya tidak baik dan sukakan perpecahan. Dalam keadan itu pihak musuh mudah mengambil kesempatan melakukukan sesuatu tindakan yang menyebabkan umat Islam menanggung kerugian.

Timbul persoalan mengapa kita suka menyebut keburukan orang lain yang akibat perbuatan itu orang lain pula akan menyebarkan keburukan kita pula? Sebenarnya tidak ada orang yang suka keburukan dirinya disebarkan kepada orang lain. Tambah-tambah lagi, keburukan yang dicanangkan itu adalah perkara yang tidak benar.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya.” (Hadis riwayat Muslim)

 Mengumpat tidak hanya apabila menyebut nama orang yang dikaitkan dengan sesuatu keburukan itu. Walaupun tanpa nama, tetapi jika diketahui apa yang disebarkan itu difahami oleh orang lain siapa yang dimaksudkan, maka perbuatan itu dikira mengumpat. Justeru, bukan alasan membicarakan keburukan orang biarpun tidak disebut namanya.

Tidak ada untungnya mengumpat, apatah jika perkara itu tidak ada kaitan dengan kita. Cara terbaik untuk mengelak daripada mengumpat ialah jangan menilai perbuatan orang lain. Sebaliknya, belajarlah muhasabah diri sendiri. Ketika kita membicarakan keburukan orang lain, mungkin ada orang lain pula yang sedang menyebarkan cerita tentang keburukan kita. Itu sudah menjadi satu hukum karma yang sukar dielakkan.   

Jika setiap Muslim muhasabah diri dan sedar kelemahan sendiri, tentunya perrbuatan mengumpat dapat dibendung.  Masyarakat bebas budaya mengumpat dapat hidup harmoni dan aman tanpa perasaan berprasangka buruk kepada orang lain.   

Islam menegah perbuatan berprasangka kerana banyak mendatangkan keburukan dalam masyarakat. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Jauhilah oleh kamu prasangka yang tidak baik, kerana sesungguhnya prasangka tidak baik itu seburuk-buruk percakapan." (Hadis riwayat Muslim)

Jika ada perbuatan buruk dilakukan oleh seseorang, cara terbaik ialah dengan menasihatinya agar menghentikan atau meninggalkan amalan sia-sia itu. Islam amat mementingkan perbuatan saling menasihati dan mencegah perkara buruk. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan peringatan yang baik dan bertukar-tukar fikiran dengan mereka dengan baik. Tuhan tahu siapa yang menyimpang dari jalan Allah dan siapa yang berjalan menurut perintah-Nya.” (Surah an-Nahl, ayat 125).

Jika orang yang dinasihati itu membantah atau tidak mahu menerima nasihat, maka bertindaklah mengikut keperluan. Sekiranya kesalahan itu berkaitan undang-undang dan perlu dicegah melalui penguatkuasaan undang-undang, maka laporlah kepada pihak berkuasa. Pihak berkuasa mempunyai kuasa mencegah atau menjatuhkan hukuman mengikut bidangkuasa yang ditetapkan undang-undang.

Sebaliknya, jika kesalahan itu lebih bersifat moral atau perbuatan buruk, tinggalkan saja agar tidak menimbulkan masalah lebih besar hingga menyebabkan pergaduhan. Membiarkan perkara itu bukan bermakna kita reda atau menyukainya. Tindakan itu bertujuan mengelak berlaku perkara lebih buruk jika berlaku perbezaan pendapat atau tidak dapat menerima nasihat.

Tindakan ini berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tinggalkan perbantahan kerana perbantahan tidak akan mendatangkan hikmah dan tidak akan mengamankan daripada fitnah." (Hadis riwayat Tabrani).

Imam Al-Banna mengatakan: “Hendaklah kamu berusaha agar sentiasa benar dan jangan melampaui batas. Berusahalah agar propaganda yang kamu laksanakan berada pada batas-batas adab dan akhlak yang mulia. Berusahalah dengan bersungguh-sungguh mengumpulkan hati dan menjinakkan roh serta ingatlah setiap kali dakwah berjaya, ia adalah dengan sebab kelebihan Allah SWT jua."

Jelas di sini, jika kita benar-benar jujur untuk melakukan dakwah, tidak perlu kita menyebarkan keburukan orang lain semata-mata untuk dijadikan bahan perbincangan atau umpatan. Berusahalah menjauhi budaya buruk yang pastinya mendatangkan pelbagai keburukan lain akibatnya.

No comments:

Post a Comment