Kerajaan saban tahun mengadakan
kempen anti merokok bagi mengurangkan bilangan perokok. Kempen juga bertujuan menyedarkan
golongan berpotensi menjadi perokok agar tidak terjebak dengan amalan membawa
padah buruk itu. Jika terjerat dengan ketagihan rokok, sukar untuk melepaskan
daripada lilitan yang membinasakan diri itu.
Setiap kali kempen anti merokok,
konsep yang diketengahkan lebih kepada menjelaskan tentang bahaya merokok. Rencana
dan iklan anti merokok tertumpu untuk menyedarkan orang ramai kaitan langsung perbuatan
merokok dengan penyakit bahaya yang membawa maut.
Keberkesanan kempen anti merokok
tidak menyerlah. Perokok tidak menunjukkan rasa insaf perbuatan itu sia-sia. Malah,
mereka merasakan permasalahan yang diketengahkan dalam kempen anti merokok
dapat diatasi dengan mudah.
Contohnya, iklan anti merokok
menunjukkan gigi hitam akibat merokok, boleh diatasi dengan mudah dengan
pelbagai produk penjagaan diri yang mengambil masa singkat. Jadi, perokok tidak
perlu takut hendak merokok jika hanya untuk mengelak gigi daripada menjadi
hitam.
Kempen anti merokok tidak berjaya
mengurangkan bilangan perokok di negara kita dan tidak menakutkan golongan yang
baru cuba merokok. Pun, tidak dinafikan kempen itu sedikit sebanyak menyedarkan
orang ramai tentang bahaya merokok.
Islam menganjurkan agar umatnya
sentiasa menjauhkan diri daripada perkara yang mendatangkan mudarat, tidak kira
kecil ataupun besar. Syariat Islam mengajar cara hidup yang selamat, sejahtera,
sihat dan cemerlang.
Setiap perbuatan yang dilakukan memberi
kesan baik buruk di dunia, dan juga ada pembalasannya di akhirat kelak. Tiada
perbuatan yang dilakukan di dunia ini terlepas daripada menerima pembalasan di
akhirat.
Firman Allah bermaksud: “Sesiapa
yang melakukan kebaikan walaupun sebesar zarah akan tetap diberi pembalasan. Dan
barang siapa yang melakukan kejahatan walaupun sebesar zarah, maka dia juga
tetap akan diberi pembalasan.” (Surah al-Zalzalah, ayat 7 dan 8).
Justeru, perbuatan merokok juga mendapat
pembalasan di akhirat. Justeru, kita perlu faham apakah kedudukan merokok dari
segi fikah. Jangan ambil mudah soal ini kerana turut dikaitkan dengan pahala
dan dosa.
Merokok telah disepakati oleh ulama
sebagai perbuatan haram di sisi agama. Sesiapa melakukan perbuatan itu bermakna
membuat perbuatan dosa. Manakala siapa meninggalkan perbuatan itu atas dasar
perbuatan itu ditegah oleh agama, maka dia memperoleh pahala.
Sebarang kekeliruan mengenai amalan
merokok perlu diperjelaskan kepada orang ramai. Tanggungjawab ini perlu
dilakukan pihak berkuasa agama. Pihak berkuasa agama bukan sekadar berperanan
menguruskan soal nikah kahwin, zakat dan mencegah jenayah zina.
Masyarakat di negara ini menghukum
perbuatan merokok makruh berdasarkan kepada mazahab Syafie. Merokok dihukum
makruh kerana ia tidak memabukkan dan bukan dari jenis memabukkan. Pada masa
lalu tidak ada kajian sainstifik menjelaskan tentang bahaya merokok. Amalan
merokok juga tidak begitu meluas.
Berdasarkan kepada hukum makruh itu,
maka banyak individu yang merokok tanpa merasakan satu perbuatan dosa. Sebab
itu di kalangan ulama, ustaz, guru agama, pak haji dan pak imam juga
merokok.
Justeru, amat sukar untuk menguatkuasakan larangan merokok berdasarkan
kehendak agama. Masyarakat mempersoalkan benarkah merokok bercanggah dengan
agama, sedangkan ulama, guru agama, ustaz dan pak haji ramai merokok. Mereka
melihat kepada realiti apa yang berlaku dalam masyarakat. Jika merokok itu
haram, sudah pasti orang alim tidak merokok.
Hal kedudukan ini perlu dijelaskan
kepada orang ramai bagi mengelak kekeliruan ini berterusan yang mendatangkan
keburukan dan kerugian kepada umat Islam.
Hakikatnya, merokok jelas
mendatangkan bahaya kepada kesihatan sebagaimana amaran yang tertera dengan
jelas pada kotaknya. Kajian sainstifik dan kajian perubatan membuktikan amalan
merokok membahayakan kesihatan dan hal ini disedari semua perokok. Malah ada
perokok mengatakan kelebihan dia merokok ialah cepat mati.
Ajaran Islam memenuhi keperluan
hidup manusia sepanjang masa dan setiap permasalahan hidup manusia ada jawapan
dari sudut Islam. Oleh itu kita perlu sentiasa bersedia menerima sesuatu yang
baru dalam permasalahan hukum fikah, tetapi hakikatnya ia telah ditetapkan
sejak awal lagi.
Mengikut kaedah hukum fikah, sesuatu
yang mendatangkan keburukan wajib dijauhi dan setiap Muslim tidak perlu
berdolak dalih dalam menentukan halal dan haram, atau setidak-tidaknya baik dan
buruk.
Pemimpin politik atau ulama perlu
menjalankan tanggungjawab politiknya iaitu menjelaskan apa yang sepatutnya diketahui
penyokong. Hal berkaitan kepentingan umum yang jelas kedudukannya perlu
diutamakan disebarkan untuk pengetahuan semua. Ini lebih penting berbanding
mengeluarkan fatwa dalam perkara lain bersifat retorik, kepartian dan
menimbulkan kekeliruan umum.
Sebenarnya fatwa bahawa merokok
adalah haram telah lama dikeluarkan di peringkat antarabangsa, termasuk Mufti
Mesir, Dr Nasr Fareed Wassil. Di negara kita, Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan
ke 37 pada 23 Mac 1995 telah memutuskan bahawa merokok adalah perbuatan haram
di sisi agama Islam. Perbuatan itu wajib
dijauhi setiap orang Islam.
Oleh itu, kedudukan hukum merokok
bukan sekadar disebut golongan anti merokok seperti didakwa oleh pihak
tertentu. Fatwa haram merokok sudah pasti menambil kira keburukan akibat
merokok seperti diketahui umum.
Allah berfirman dalam surah
al-Baqarah ayat 195 bermaksud: “Dan hendaklah kamu memberikan derma untuk
kepentingan sabilillah dan janganlah kamu menjermuskan diri dalam jurang
kebinasaan, dan hendaklah bertindak sebaik-baiknya. Sesungguhnya Allah suka
kepada orang-orang yang melakukan kebaikan.”
Satu perkembangan amat mengejutkan, di tempat tertentu, sekali pandang menunjukkan
remaja perempuan lebih berani merokok di depan umum berbanding remaja lelaki.
Di tempat dibenarkan merokok, wanita dan lelaki kini berkongsi keseronakan dan
nikmat merokok.
Kajian mendapati tabiat merokok di
kalangan perokok wanita berpunca daripada empat faktor utama iaitu fisiologi,
psikologi, sosial dan pesekitaran. Mereka mengaitkan merokok boleh menaikkan
imej, megurangkan berat badan, atasi rasa rendah diri dan pengaruh rakan
sebaya.
Alasan yang diberikan mugkin hanya
pada peringkat awal ketika mereka mahu memulakan tabiat itu. Akhirnya mereka
telah memerangkap diri dalam lingkaran citpaan sendiri yang membawa mereka
menjadi perokok tegar yang tidak boleh memberhentikan tabiat itu.
Ada wanita mengatakan merokok
memberi inspirasi dan boleh memberi banyak idea. Hambatan dan cabaran tugas di
pejabat yang sentiasa memerlukan komitmen tinggi menyebabkan mereka terpaksa
merokok untuk memenuhi tuntutan itu.
Mereka mendakwa, kenyataan itu hanya
mampu diterjemahkan oleh mereka yang merokok. Jika ada pihak lain menasihatkan
supaya tidak meneruskan tabiat sia-sia itu, mereka akan mentempelak kembali
dengan kata-kata, itu hak dan pilihan sendiri. Soal kesihatan atau keburukan
akan ditanggung sendiri.
Sememangnya itulah alasan yang
sentiasa diberikan oleh mereka yang telah ketagih merokok. Perkara ini hanya
dapat dikengkang jika awal-awal lagi ia ditegah. Perkara ini pun bukan mudah
hendak dilakukan. Individu yang mungkin
mempunyai kuasa hanyalah ibu bapa. Tetapi, timbul masalah juga jika ibu bapa
pun merokok atau tidak memperdulikan perbuatan itu dilakukan oleh anak gadis
mereka.
Perbuatan merokok bukan sekadar
menjadi masalah disiplin di kalangan pelajar di sekolah menengah. Ia kini telah
merebak di kalangan gadis di sekolah rendah. Satu fenomena amat mengerunkan
apabila memikirkan kesan jangka panjang nasib masa depan generasi yang bakal
mewarisi kepimpinan negara pada masa hadapan.
Ketika masing-masing berusaha
menampilkan imej menyakinkan, rokok dilihat sebagai antara faktor menaikkan
meningkatkan imej. Inilah yang antara menjadi punca gadis juga mencuba merokok.
Di kalangan remaja lelaki, merokok seperti tidak memberi apa-apa kehebatan
lagi, tetapi bagi gadis ia masih dipandang hebat, sekurang-kurangnya di
kalangan mereka.
Amalan merugikan ini perlu
dihentikan segera. Statistik menunjukkan kira-kira 10,000 mati setiap tahun
akibat pelbagai serangan penyakit berkaitan amalan merokok di negara kita. Namum
jumlah itu tidak langsung membimbangkan golongan ini.
Marilah kita sama-sama berfikir
sejenak. Apakah kita sanggup meracun diri kita sendiri dengan merokok? Itu
sudah boleh disamakan dengan membunuh diri sendiri. Merokok tidak wajar dijadikan
budaya dalam masyarakat kita, tambah-tambahn lagi di kalangan wanita.
Sesungguhnya, wanita lebih bersopan dan lebih tinggi imejnya jika tidak
merokok.
No comments:
Post a Comment