Monday, 22 October 2018

PILIH MAKANAN IKUT SELERA


Memakan ulat sagu seperti yang diamalkan masyarakat di Sarawak dibolehkan. Sebelum ini ramai yang mempertikaikan hukum memakan ulat sagu yang kononnya haram atas alasan menjijikkan berdasarkan kepada persamaan maksudnya dengan jenis ulat-ulat lain.  

Ulama tempatan telah menjelaskan ulat sagu halal dimakan kerana sifatnya bersih, berkhasiat dan tidak mendatangkan bahaya. Terpulanglah kepada citarasa seseorang sama ada ingin memakannya atau tidak.

Di Sarawak, amalan memakan ulat sagu amat terkenal terutama di kalangan masyarakat pribumi. Ulat sagu kaya dengan protin dan zat mineral. 

Begitu juga dalam soal memakan tupai. Tupai daripada jenis binatang bersih, sumber makanannya juga bersih dan tempat tinggalnya juga di persekitaran yang bersih. Ini jauh sifatnya berbanding dengan tikus yang diharamkan dijadikan sumber makanan. 

Sebenarnya, dalam masyarakat kita memandang jijik terhadap tupai semata-mata kerana binatang itu menjadi musuh kepada manusia memusnahkan hasil tanaman. Itu sudah tabie tupai memakan buah-buahan. 

Jadi, tidak sepatutnya pula dijadikan alasan mengharamkan memakan tupai disebabkan ia dari jenis ‘jahat’ memakan hasil tanaman. Kalau begitu, bagaimana pula dengan burung-burung yang memakan hasil tanaman?

Para pekebun sepatutnya menjadikan tupai sebagai buruan untuk dijadikan satu sumber makanan. Apabila tupai dijadikan bahan makanan, jumlah tupai akan berkurangan, dan dengan sendirinya dapat mengelak hasil tanaman dirosakkan oleh tupai.  

Dalam satu riwayat, Rasulullah pernah dihidangkan dengan beberapa jenis hidangan, termasuk daging dhab, sejenis binatang padang pasir seperti biawak. Rasulullah tidak menjamah daging dhab, sebaliknya memakan hidangan lain. 

Bagaimanapun, Rasulullah tidak menegah para sahabat daripada memakan daging dhab. Itu membuktikan daging itu tidak haram dimakan. Disebabkan Rasulullah tidak memakannya tidak boleh dijadikan alasan mengatakan haram memakan dhab.

Sememangnya citarasa atau liur masyarakat Melayu agak cerewet. Ini mungkin hasil malan budaya yang lemah lembut, teliti an berpegang kepada kebiasaan dalam keluarga.

Contohnya, kebanyakan orang Melayu tidak tergamak makan arnab kerana menganggap haiwan itu sebagai binatang mainan. Ciri-ciri arnab sebagai haiwan jinak yang dipelihara untuk mainan kanak-kanak menjadikan ia dianggap binatang yang tidak patut dimakan.

Begitu juga halnya dengan belut yang disamakan seperti ular. Rasa geli dan terbayangkan seperti memakan ular menyebabkan banyak orang Melayu tidak boleh makan belut.

Jelas di sini, setiap orang ada citarasa tersendiri. Kita tidak boleh mengharamkan sesuatu hanya kerana tidak kena pada selera kita. Selagi tidak jelas tentang haramnya, adalah harus jenis haiwan itu dimakan.

No comments:

Post a Comment