Monday, 22 October 2018

HAIWAN SEBAGAI SUMBER MAKANAN

Haiwan merupakan salah satu sumber makanan. Daripada haiwan manusia dapat memakan daging, susu dan telur yang dihasilkan. Bahkan, haiwan juga menghasilkan produk lain yang boleh dimakan seperti madu dan penghasilan daripada aktiviti mereka seperti sarang burung walit.  

Pelbagai jenis haiwan yang dagingnya boleh dijadikan sumber makanan. Terdapat jenis haiwan yang diternak seperti unta, lembu, kambing dan biri-biri menjadi sumber daging utama untuk memenuhi keperluan makanan manusia dalam bentuk daging dan susu. Rasulullah SAW sendiri pernah menjadi penternak biri-biri.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Makanan terbaik penduduk dunia dan penghuni syurga adalah daging” (Hadis riwayat Ibnu Majah).

Banyak pendapat yang telah dikemukakan oleh para ulama tentang keutamaan daging dan memakannya. Misalnya, az-Zuhry berkata memakan daging, menambah 70 macam kekuatan. 

Manakala Muhammad bin Wasi pula berpendapat memakan daging menambah ketajaman mata. Saidina Ali bin Abi Talib pula pernah berkata: “Makan daginglah (wahai sekalian) kamu. Kerana yang demikian itu menjernihkan (mencerahkan) warna kulit, mengecilkan perut dan memperbaiki tingkah laku”.

Kitab-kitab fikah membahagikan haiwan kepada dua, iaitu haiwan laut (air) dan haiwan darat. Haiwan air pula terbahagi kepada dua iaitu air masin (laut) dan air tawar (sungai, tasik dan sebagainya).

Allah SWT menghalalkan haiwan laut sebagai sumber makanan berdasarkan dua firman-Nya. Ayat 14 surah an-Nahal bermaksud: “Dialah Allah yang mempermudahkan laut, supaya dapat kamu makan makanan daripadanya daging yang lembut dan segar.”

Manakala satu lagi firman-Nya bermaksud: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang diperoleh dari laut sebagai bekalan bagi kamu dan orang-orang dalam pelayaran.” (Surah al-Maidah, ayat 94).

Biarpun dalam kedua-dua ayat itu menyebut mengenai haiwan di laut (air masin) namun maksudnya juga merujuk kepada semua jenis hidupan di air. Memandangkan tidak terdapat ayat al-Quran dan hadis menyatakan jenis-jenis haiwan di laut yang diharamkan dimakan, maka ulama mengatakan semua jenis hidupan laut halal dimakan, kecuali jenis haiwan disabitkan sifat-sifatnya yang dijelaskan menyebabkan dagingnya diharamkan. Contohnya, daging penyu diharamkan dimakan disebabkan ia hidup di dua alam.

Mazhab Syafie menghalalkan beberapa jenis telur seperti telur penyu walau pun penyu haram dimakan kerana baginya semua jenis binatang selagi bernyawa adalah bersih pada asalnya dan telurnya pula bersih dan tidak pula beracun. Namun, berlainan pula dengan biawak di mana ia sendiri pengotor serta jijik dan telurnya pula beracun.

Haiwan di laut tidak perlu melalui proses penyembelihan untuk dimakan. Tidak kisah cara mana ia mati, maka haiwan di laut boleh dimakan. Ia berlainan dengan haiwan di darat yang mana ada jenis perlu disembelih dan ada juga yang tidak perlu disembelih untuk membolehkan dagingnya dimakan.

Jenis haiwan darat yang tidak perlu disembelih ialah dari jenis yang tidak mengalirkan darah seperti belalang dan jenis ulat (seperti ulat sagu). Manakala jenis haiwan lain mesti disembelih mengikut syarat yang ditetapkan. 

Tujuan sembelihan ialah untuk melepaskan nyawa binatang sembelihan dengan mudah dan tidak menyeksakan. Sembelihan hendaklah dilakukan di bahagian pangkal dagu dan pangkal leher kerana di bahagian itu memudahkan binatang mati. Pisau pula perlulah tajam dan sesuai untuk menyembelih.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah mewajibkan berbuat ihsan ke atas tiap-tiap sesuatu dan apabila kamu menyembelih, sembelihlah dengan cara paling sempurna, tajamkan pisau kamu supaya haiwan itu cepat dan mudah mati. (Hadis riwayat Muslim).

Kajian saintifik diketuai Profesor Wilhelm Schulze dari Jerman mendapati kaedah sembelihan dalam Islam terbaik kerana haiwan tidak mengalami kesakitan sewaktu disembelih.

Hasil pemerhatian Profesor Temple Grandin dari Universiti Negeri Colorado, juga mendapati haiwan yang disembelih menggunakan pisau yang tajam dengan kaedah betul memberikan reaksi tenang dan berada dalam keadaan tidak sedar ketika sedang disembelih.

No comments:

Post a Comment