Monday, 22 October 2018

SIHAT CARA KAWAL NAFSU MAKAN

Keadaan badan yang langsing dan sihat memang menjadi impian setiap individu, terutama di kalangan wanita. Golongan wanita amat takut jika keadaan badan agak berisi, biarpun hakikatnya belum lagi dikategorikan sebagai gemuk.

Lantaran itu, golongan wanita sanggup berbelanja besar semata-mata untuk kelihatan langsing. Pengambilan pil pelangsing badan menjadi pilihan memandangkan ia digambarkan melalui iklan sebagai mudah dan senang untuk mencapai apa yang diimpikan.

Satu fenomena yang jelas di mana-mana; lelaki memburu bomoh atau ubat tenaga batin, sedangkan wanita berusaha keras mencari kaedah dan ubat-ubatan melangsingkan badan.

Gemuk atau tidak sepatutnya berdasarkan kepada standard yang ditetapkan oleh pakar kesihatan mengikut skala Body Mass Index (BMI) yang dikira berdasarkan berat dibahagi dengan tinggi kali tinggi (dalam kiraan meter). 

Tetapi, disebabkan terlalu percaya bahawa langsing itu menawan, banyak wanita yang terlalu kurus sehingga kelihatan seperti sakit. Mereka terus ingin mengamalkan diet dan mengambil pil pelangsing biarpun diberitahu dirinya sudah langsing. 

Individu yang BMI kurang dari 18 dianggap terlalu kurus. Keadaannya sudah tidak ceria lagi. Satu keadaan yang sudah pasti ialah tahap kesihatannya tidak terjamin. 

Keadaan mereka tidak ubah seperti pesakit batuk kering atau penagih dadah yang tidak bermaya. Mereka hilang seri dan tidak lagi seksi yang sudah pasti tidak lagi menarik perhatian lelaki.

Menyedari resiko tahap kesihatan yang tidak terjamin jika mempunyai mempunyai tahap BMI kurang dari 18, beberapa buah negara di Eropah kini telah mengharamkan model yang terlalu kurus dalam pertunjukjkan fesyen di negara tersebut.

Ini kerana, gambaran umum masyarakat, khususnya wanita ingin memiliki tubuh badan seperti model. Biarpun model kelihatan terlalu kurus, mereka juga ingin kelihatan sedemikian tanpa memikirkan kesan buruknya. 

Untuk mengelak pengaruh buruk dari model yang terlalu kurus, maka tindakan mengharamkan mereka terlibat dalam pertunjukan fesyen adalah langkah bijak. Diharapkan langkah yang sama dilakukan di negara kita. 

Jika tidak ada lagi model terlalu kurus memperagakan fesyen, dan kemudian lebih banyak model yang agak berisi menjadi lebih terkenal, takrif langsing untuk kelihatan cantik akan berubah. Ia dapat membantu wanita yang mempunyai psikologi untuk terus kurus biarpun keadaan diri sudah terlalu kurus, agar sudar bahawa apa yang dilakukan itu sebenarnya salah.

Mengambil diet pelangsing berasaskan bahan kimia memang membahayakan kesihatan, biarpun ia mudah mencapai apa yang diimpikan. Mengapa perlu membahayakan diri sedangkan perkara itu tidak sepatutnya dilakukan semata-mata ingin kelihatan langsing. 

Kita kena kembali kepada asas. Kegemukan adalah berpunca cara pemakanan. Jadi, perkara yang perlu difikirkan untuk melangsingkan badan ialah melalui kaedah ini. 

Makan dan minum adalah keperluan hidup seharian. Kita perlu makan dan minum untuk mendapat tenaga, kesihatan dan menikmati rasa makanan. Untuk menikmati kehidupan yang sihat, seseorang perlu mengambil makanan seimbang.

Bagaimanapun, kita tidak perlu makan banyak untuk mendapat tenaga yang lebih. Sebaliknya, makan banyak mendatangkan masalah kepada kesihatan. Nikmat dan kepuasan makan juga berkurangan apabila makan terlalu banyak. 

Dalam al-Quran dijelaskan tentang sederhana dalam soal makan dan minum. Ia satu panduan yang mesti dipatuhi untuk mendapat kebaikan. Firman Allah bermaksud: “Makanlah dan minumlah serta jangan berlebih-lebihan.” (Surah al-Araf, ayat 31). 

No comments:

Post a Comment