Monday, 22 October 2018

SENSITIF HALAL HARAM MAKANAN

Makanan mempunyai pengaruh besar kepada rutin harian manusia sama ada dari segi jasmani mahupun rohani. Pada zaman moden ini, kita sering dilalaikan dengan memilih makanan bertujuan pertumbuhan jasmani saja, tetapi lupa mencari makanan seimbang untuk pembentukan lahiriah dan rohaniah.

Kita juga perlu berhati-hati dengan ancaman atau sikap sesetengah pihak yang sengaja mencabar kewarasan dan sensitiviti umat Islam dalam soal halal haram sesuatu makanan. Hidup dalam masyarakat berbilang agama seperti di Malaysia ini memerlukan ketelitian berkaitan halal haram makanan dan juga barang keperluan lain.

Tidak dinafikan, tahap kesedaran dan sensitiviti umat Islam di negara kita tentang halal haram makanan semakin meningkat. Ini terutama apabila ada pendedahan berkaitan makanan atau barang keperluan harian yang bercampur dengan bahan haram pastinya mendapat perhatian umum. 

Sekiranya ada laporan mengenai makanan bercampur dengan unsur daripada babi seperti minyak babi, lemak babi dan sebagainya, berita itu mudah tersebar dan mendapat bantahan umum. Isu makanan bercampur bahan haram boleh menimbulkan rasa curiga dan merenggangkan hubungan dengan peniaga bukan Islam.

Justeru, pemantauan pihak berkuasa agama memainkan peranan penting dalam menentukan tahap pematuhan penggunaan bahan halal bagi mana-mana produk yang dilabelkan halal. Pengusaha makanan mesti memenuhi keperluan makanan halal jika ia dipasarkan secara terbuka.

Pelabelan halal adalah satu langkah yang perlu diberi perhatian untuk memberitahu umat Islam tentang makanan yang halal dan haram dimakan. Label halal tidak cukup dengan tulisan ‘halal’ semata-mata. Senarai bahan-bahan yang terkandung di dalam sesuatu produk tersebut juga perlu dibuat.

Sememangnya, umat Islam tidak berkompromi soal makanan haram yang jenisnya jelas dinyatakan diharamkan dalam agama Islam seperti daging babi dan alkohol. Tetapi, sejauh mana pula tahap kesedaran mengenai haramnya sesuatu makanan berdasarkan cara atau punca ia diperoleh? 

Makanan dikategori haram atas dua punca. Pertamanya, diharamkan kerana zatnya. Keduanya, diharamkan berpunca cara diperoleh yang bertentangan dengan ketetapan syariat. Punca kedua mesti diberi perhatian kerana banyak individu yang tidak sedar bahawa apa yang dimakan atau diminum itu adalah haram. 

Kepentingan makanan dan minuman yang mempunyai hubung kait dengan kesihatan hati, jantung dan otak, organ penting di dalam jasad manusia dalam pembangunan jasmani dan rohani mengikut acuan berlandaskan lunas Islam.

Dalam istilah perubatan, hati adalah organ dalam badan yang berwarna perang kemerah-merahan terletak di dalam perut di bahagian sebelah kanan yang bertugas mengeluarkan hempedu, mengawal kandungan gula dalam darah, menawarkan kesan keracunan nitrogen, menghasilkan urea, menyimpan glikogen dan pelbagai tugas lain.

Hati dalam maksud subjektif ialah perasaan, tingkah laku, kebiasaan, gerak fikiran dan kepercayaan. Hati memberi kata putus mengenai apa yang perlu dilakukan dalam hidup ini. Jadi, amat penting hati berada dalam keadaan bersih, tulus dan tunduk kepada perintah Allah.

Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging yang apabila baik daging itu, maka baiklah seluruh tubuh badan, dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad, sesungguhnya ia adalah hati.” (Hadis riwayat Bukhari).

Makanan bersih, berkhasiat dan halal penting yang menghasilkan tenaga untuk meneruskan kehidupan beribadat kepada Allah. Makanan yang baik lagi halal mampu membentuk keterampilan peribadi seseorang yang akhirnya akan menyumbang kepada pembentukan ummah terbilang.

Makanan haram, sudah pasti mendatangkan keburukan sama ada secara biologi, maupun rohani. Secara rohaninya, makanan haram akan menghilangkan keberkatan hidup. Dosa yang dilakukan itu menjauhkan diri daripada beroleh reda Allah. Hati yang kotor sukar mendapat hidayah mencari jalan yang benar dalam kehidupan seharian. 

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Setiap daging yang tumbuh dari makanan yang haram, maka api nerakalah yang layak baginya.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Diharamkan kerana zatnya adalah makanan yang telah dijelaskan haramnya seperti daging babi, bangkai, disembelih bukan kerana Allah, arak, mendatangkan bahaya, dan makanan yang bercampur dengan jenis yang diharamkan itu. 

Jenis makanan ini selama-lamanya diharamkan dimakan oleh orang Islam. Kelonggaran keizinan memakan makanan itu hanya diberikan ketika keadaan darurat atau terpaksa. Itu pun sekadar jumlah yang sedikit dan di dalam hati tersimpan perasaan tidak menyukai keadaan itu.  

Firman Allah bermaksud: “Dan barang siapa yang terpaksa pada (waktu) kelaparan dengan tidak sengaja untuk berbuat dosa, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Menyayangi.” (Surah al-Maidah, ayat 3).

No comments:

Post a Comment