Dalam masyarakat kita amat
mementingkan apakah jenis haiwan yang halal dimakan. Malangnya, banyak individu
dalam masyarakat kita yang tidak begitu sensitif atau tidak mengambil berat
soal bagaimana haiwan itu diternak sehingga dagingnya boleh dimakan.
Diperhatikan, banyak haiwan tenakan
seperti kerbau, lembu, kambing, ayam dan itik diternak tanpa pengawasan yang
sepatutnya. Lembu dan kerbau dibiarkan bebas tanpa ditambat atau diletakkan di
dalam kandang.
Haiwan ternakan itu merayau masuk ke
kawasan kebun merosakkan hasil tanaman milik orang lain. Banyak kerugian
terpaksa ditanggung pemilik kebun. Penternak ambil mudah asalkan haiwan
ternakannya dapat makan dan terus membesar serta membiak.
Selain itu, haiwan ternakan yang
dibiarkan bebas akan mengeluarkan najis di merata tempat yang menyebabkan rasa
tidak senang hati penduduk. Halaman rumah, jalan raya dan tempat orang ramai berkumpul
banyak dicemari najis binatang ternakan yang dibiarkan bebas merayau.
Pemiliknya sekadar buat tidak kisah
dan tidak rasa bersalah dengan keadaan itu. Malah jika ditegur, pemilik
ternakan dengan selamba sahaja menjawab memang sudah sifat ternakan membuang
najis merata-rata.
Sebab itu banyak kes bergaduh sesama
jiran berpunca masalah berkaitan haiwan ternakan dibiarkan merayau bebas. Ada
pergaduhan yang membawa kepada penggunaan senjata tajam hingga melibatkan
kehilangan nyawa.
Satu lagi kejadian buruk yang sering
belaku ialah banyak kes kemalangan jalan raya berpunca terlanggar ternakan yang
dibiarkan merayau-rayau. Kemalangan itu mendatangkan banyak kerugian kepada
pemilik kenderaan. Malah banyak kes kemalangan kenderaan dengan haiwan ternakan
menyebabkan kematian pemandu dan penumpang kenderaan.
Ironisnya, penternak sedemikian
tidak pula rasa bersalah dengan kejadian itu. Ternakan masih lagi dibiarkan
merayau bebas yang mana kemungkinan akan berlaku lagi kemalangan jalan raya
yang melibatkan haiwan ternakannya.
Sikap tidak bertanggungjawab pemilik
haiwan ternakan itu bertentangan dengan tuntutan syariat. Sikap jahil ini
bukannya sahaja dilakukan penternak yang sememangnya jahil soal agama, bahkan
di kalangan mereka yang berstatus pak haji dan guru agama.
Mengikut hukum fikah, cara menternak
haiwan secara dibiarkan bebas merayau yang menyebabkan gangguan kepada orang
ramai dan mendatangkan bahaya adalah haram. Maka hasil daging atau jualan
ternakan itu juga adalah haram.
Rezeki daripada hasil haram akan
menumbuhkan tubuh, darah dan daging yang akan menjadi bahan bakar api neraka. Setiap
suapan makanan yang tidak halal diisi ke perut akan memberi kesan kepada nilai
dan kualiti hidup seseorang.
Kita sepatutnya mengambil aktibar kisah
Imam Syafie. Pada suatu hari, Imam Syafie mengadu kepada ibunya mengapakah
fikiran dan daya hafalannya pada hari agak lembab. Ditanyakan kepada ibunya
adakah makanan atau minuman yang dimakan pada hari itu dari sumber yang haram
atau tidak bersih.
Lantas ibunya teringat bahawa susu
kambing yang diminum oleh Imam Syafie sebelum pergi belajar 'tercemar'
disebabkan sehari sebelum itu kambing yang diperah susunya itu telah terlepas
dan meraya-rayau meragut rumput di tanah milik orang lain.
Itu kes terlepas dan tidak sengaja. Masa
ternakan itu terlepas hanya sehari dan hanya makan rumput milih orang lain,
bukannya makan hasil tanaman orang lain. Tetapi lihatlah kesan yang mencemarkan
hati Imam Syafie.
Fikirkan pula tentang kedudukan
ternakan yang dibiarkan lepas dari kecil sampai besar. Merayau ke merata tempat
dan meragut hasil tanaman orang. Semua orang mencemuh dan merunggut. Terlalu
banyak kemudaratan yang terpaksa ditanggung oleh orang lain akibatnya.
Ajaran Islam amat mementingkan agar
setiap penganutnya hanya memakan atau menggunakan sumber yang diperoleh secara
halal.
Firman Allah bermaksud: “Oleh itu
makanlah (wahai orang-orang yang beriman) semua yang telah dikurniakan Allah
kepada kamu daripada benda-benda yang halal lagi baik, dan bersyukurlah akan
nikmat Allah, jika kamu hanya menyembah-Nya semata-mata.” (Surah al-Baqarah, ayat 172).
Banyak penternak yang telah
melakukan perbuatan salah itu sejak berpuluh-puluh tahun. Hasil daripada
menjual ternakan yang diternak secara bebas itulah digunakan untuk menyara
keluarga. Malah hasil kerja itulah juga digunakan untuk menunaikan fardu haji.
Penternak yang melakukan perbuatan
salah sisi agama itu harus disedarkan mengenai kesilapan yang telah dilakukan
agar mereka berubah tidak lagi meneruskan cara penternakan membiarkan binatang
ternakan bebas merayau.
Mohon share
ReplyDelete