Monday, 22 October 2018

CARA ELAK OBESITI LEBIH BERAT BADAN


Obesiti merupakan masalah kesihatan yang kini menjadi ancaman terbesar kepada rakyat Malaysia dengan seorang daripada tiga penduduk mengalami masalah berat badan berlebihan. 

Masalah tersebut berlaku kerana pengambilan makanan berlebihan yang diburukkan lagi dengan kecenderungan kepada makanan manis. Bilangan rakyat Malaysia yang gemuk dijangka terus meningkat jika tiada inisiatif dilakukan masyarakat untuk mengurangkan berat badan dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Lazimnya berat badan diklasifikasikan kepada kurus/kurang berat, normal, berat lebih daripada normal dan obes berdasarkan Body Mass Index (BMI). Cara mengira BMI ialah berat (kilogram) dibahagi dengan ketinggian (meter) kali ketinggian (meter).

Contoh pengiraan. Jika berat badan anda 65 kilogram dan ketinggian anda 1.70 meter.  Cara kira ialah 65 dibahagi 1.7 dan dibahagi sekali lagi dengan 1.7. Jawapannya ialah 22.49.  Carta BMI adalah seperti di bawah.

-  Kurang daripada 18.4 - berat badan kurang atau kurus
- 18.5 hingga 24.9 - berat badan normal atau idel
- 25 hingga 29.9 - berat badan berlebihan
- 30 hingga 34.9 – obesiti tahap 1
- 35 hingga 39.9 – obesiti tahap 2
- 40 dan ke atas – obesiti tahap 3

Kerajaan amat komited untuk membudayakan amalan bersukan dan melakukan aktiviti fizikal sebagai rutin harian di kalangan rakyat. Cara mudah ialah dengan berjalan kaki. Dianggarkan berjalan 10,000 langkah bersamaan tujuh kilometer sehari mampu membakar 385 kalori. 

Cara hidup orang muda sudah berbeza kerana mereka berada dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Mereka kurang melakukan aktiviti fizikal kerana sudah ketagih dengan permainan dan penggunaan media sosial dari pagi hingga malam.

ICT sudah menjadi budaya golongan belia sekarang. Sememangnya diakui ICT meningkatkan komunikasi sosial, namun keperluan kehidupan yang aktif tidak boleh diketepikan. 

Terdapat dua sebab utama berlaku obes. Pertama, pemakanan dan kedua, aktiviti harian. Kita perlukan makanan seimbang untuk mendapat tahap kesihatan optimun. Makan melebihi permintaan fisiologi badan akan menyumbang kepada lebihan kalori dan lemak dalam badan, sekaligus menyumbang kepada obes.

Makan mengikut naluri dan perasaan memang membawa padah. Masyarakat moden mudah terpikat dengan makanan ringan dan minuman bergas. Sebaliknya, sayur-sayuran, buah-buahan dan bijirin pula dianggap tidak menyelerakan. 

Makan sebenarnya berkaitan dengan peraturan, disiplin dan tuntutan agama yang perlu diterapkan dari usia awal. Ibu bapa kena tegas dan konsisten dalam menetapkan peraturan berkaitan makan. Ia perlu dipatuhi oleh ibu bapa sendiri dan anak-anak.

Pengaruh persekitaran perlu diberi perhatian. Budaya makanan segera semakin menular dan mendapat tempat di negara kita. Kita sepatutnya menghayati budaya makan sihat. Amalkan pemakanan seimbang. Biar bersikap cerewet asalkan dapat mengelak perkara buruk.

Makan dalam jumlah yang banyak walaupun bunyinya sekadar makanan ‘ringan’, banyak mempengaruhi pola pemakanan masyarakat kita. Hobi mengunyah makanan ringan menjadi amalan ketika bersantai menonton televisyen atau berehat. 

Dari sudut kesihatan, obesiti adalah penyebab kolesterol tinggi, darah tinggi dan gula dalam darah tinggi. Itu pun belum mengambil kira deretan senarai komplikasi seperti serangan jantung, angin ahmar, aterosklerosis, kegagalan buah pinggang dan sebagainya.

Memantau BMI dapat mendorong kita menetapkan sasaran berat badan sejajar dengan kehendak perubatan. Tidak dinafikan, bagi mereka yang sudah mengalami obes, bukan mudah untuk kembali mencapai tahap ideal.

Ramai orang mencubanya tetapi tidak pernah berjaya. Malah, berat badan mereka semakin bertambah. Usaha ini memerlukan kesungguhnan untuk berjaya. Ia bukan satu usaha untuk kelihatan cantik semata-mata, tetapi lebih penting melibatkan soal kesihatan.  

Pakar psikologi dan pemakanan menggariskan 13 syarat sebagai panduan untuk menurunkan atau mengawal berat badan. Panduan yang diusulkan ini mampu mencapai apa yang dihajati dan seterusnya memberi nilai tambah kepada kehidupan seharian.

1. Ada visi dan yakin kepada: ’Saya boleh langsing’. Sikap positif itu perlu ditanamkan kerana ia menjadi pemacu kepada tindakan lain sehingga impian untuk langsing menjadi satu kenyataan. Kita tidak boleh ragu-ragu dengan kebolehan sendiri.     

2. Ingin langsing kerana ingin sihat. Ini motif yang tepat untuk langsing. Kesihatan adalah harta yang paling berharga. Hidup menjadi lebih bermakna jika keadaan diri sihat dan mampu meneruskan kehidupan yang selesa biarpun usia telah meningkat. 

3. Tahu risiko berlebihan berat badan. Berat badan berlebihan memberikan pelbagai risiko penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, penyakit jantung, kencing manis, kadar kolesterol tinggi dan angin ahmar.

4. Jalani ujian kesihatan. Banyak orang merasakan dirinya sihat kerana tidak ada tanda ketara menunjukkan dirinya mengidap sesuatu penyakit. Inilah antara punca mengapa penyakit kronik sukar diubati setelah keadaan parah. Jadi, lakukan pemerikasaan secara berkala, dan ambil langkah berjaga-jaga yang antara lainnya dilakukan dengan mengawal makan.

5. Tetapkan matlamat realistik untuk turunkan berat badan. Banyak orang yang berusaha menurunkan berat badan ingin mencapai matlamat dengan cepat. Akibatnya mereka mudah kecewa jika tidak mencapainya. Sebenarnya, kejayaan menurunkan berat badan satu hingga dua kilogram sebulan sudah memadai.

6. Timba ilmu tentang pemakanan yang tepat. Ilmu tentang pemakanan merangkumi sistem pemakanan yang tepat dan berkesan. Diet tidak semestinya menjauhkan daripada memakan nasi, roti, mi dan biskut atau makanan yang disebut sebagai berat. Apa yang penting ialah seimbang dan merangkumi segala jenis makanan mengikut carta pemakanan.

7. Hadiri kelas sokongan dan motivasi. Ada yang sudah bersemangat untuk langsing, tetapi masih gagal kerana melakukannya seorang diri. Carilah rakan yang sama-sama berusaha mengawal berat badan.

8. Ikut kaedah diet tepat. Anda perlu amalkan pemakanan yang tepat agar anda boleh langsing dan kekal langsing dan bukan mengikuti diet yang membuat berat badan anda sekejap naik dan sekejap turun.  

9. Tidak menyeksa diri. Ramai merosakkan tubuh mereka kerana menjalani program diet yang tidak makan, kurang makan atau sekat makan.

10. Amal kaedah senaman yang berkesan. Senaman tanpa teknik berkesan tidak akan membuahkan hasil yang diinginkan. Misalnya, teknik pernafasan sangat penting untuk membakar lemak dan ini boleh dipelajari melalui nasihat pakar senaman.

11. Berhati-hati memilih produk langsing. Banyak produk langsing tubuh yang telah diharamkan kerana boleh merosakkan tubuh. Ada kes kematian akibat mengambil pil pelangsing mengandungi unsur racun. Jadi, berhati-hatilah sebelum membeli.

12. Belajar cara membaca label makanan. Pilih makanan yang kurang kalori dan kandungan gula. Pentingkan makanan yang mempunyai pelbagai kandungan vitamin dan mineral.   

13. Jangan salahkan orang lain atau keadaan. Usaha yang dilakukan ada kehendak dan ditentukan sendiri. Jika gagal, jangan salah orang lain. 

Sekiranya, peraturan yang dicadangkan ini dipatuhi, tidak ada alasan anda akan gagal melangsingkan badan. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Selamat mencuba.

No comments:

Post a Comment