Monday 22 October 2018

PEROKOK TIDAK SERIK DENDA

Tabiat merokok adalah aktiviti negatif yang membawa impak buruk kepada kesihatan dan tubuh badan seseorang. Dilaporkan kira-kira 10,000 penduduk negara ini mati setiap tahun akibat penyakit berkaitan rokok seperti kanser, angin ahmar dan kardiovaskular.

Berdasarkan kajian, dalam sebatang rokok ada kira-kira 4,000 jenis bahan beracun yang disedut ke dalam tubuh ketika seseorang itu merokok. Antara kandungan asap rokok yang memudaratkan dan membahayakan ialah tar, nikotin dan karbon monoksida.

Menurut laporan terbaru WHO, di samping peningkatan cukai rokok, peningkatan harga rokok sehingga 10 peratus juga diharap mengurangkan peratusan penggunaan rokok di antara empat dan lapan peratus setahun. Usaha ini hendaklah dilaksanakan tanpa sebarang kompromi agar statistik penggunaan rokok dapat dikurangkan segera.

Artikel 6 Rangka Kerja Konvensyen Mengenai Kawalan Tembakau (FCTC) iaitu perjanjian perundangan antarabangsa berdasarkan kepada bukti saintifik berkaitan kawalan hasil tembakau menunjukkan keberkesanan langkah dan usaha kerajaan mengurangkan penggunaan rokok di negara ini melalui strategi serta aplikasi langkah tegas percukaian dan kawalan harga rokok.

Peningkatan percukaian dan penetapan harga minimum rokok diyakini dapat mengurangkan serta mengekang permintaan terhadap bahan beracun dan berbahaya itu terutama di kalangan remaja dan pelajar yang dilihat semakin ramai terjebak ke dalam kancah penagihan rokok dewasa ini.

Kajian mendapati, seorang daripada setiap dua lelaki dewasa di negara kita yang berusia antara 25 hingga 64 tahun adalah perokok.

Jumlah yang direkodkan di negara kita ini amat tinggi berbanding negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Singapura dan negara Kesatuan Eropah.  Di Amerika Syarikat, hanya 35 peratus penduduknya merokok, manakala di United Kingdom (UK), 38 peratus rakyatnya merokok.

Di samping itu, di AS, jumlah kematian akibat barah paru-paru iaitu penyakit utama kesan daripada merokok, meningkat hampir lima kali ganda dari 1945 hingga 1975. Menurut statistik WHO pula, jumlah kematian akibat merokok di seluruh dunia dijangka mencapai 10 juta orang pada 2020.

Perangkaan ini begitu menggerunkan dan perokok sedia ada perlu menghentikan aktiviti buruk mereka dengan kadar segera agar mereka tidak mati sia-sia.

Sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia pada setiap 31 Mei di seluruh dunia, menuntut kerajaan melalui agensi bertanggungjawab, NGO, pihak media dan masyarakat secara keseluruhannya perlu berganding bahu menyokong usaha, kempen dan gerakan antimerokok di seluruh negara.

Tindakan tegas ke atas syarikat pengeluar dan pemodal rokok serta golongan perokok itu sendiri melalui pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang adalah perlu bagi mengelak gejala ini berpanjangan.

Seksyen 11(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 melarang tegas aktiviti merokok di dalam pusat hiburan atau teater; hospital atau klinik; lif atau tandas awam; tempat makan atau kedai berhawa dingin; dalam kenderaan awam atau hentian pengangkutan awam; dalam mana-mana bangunan yang dinyatakan oleh menteri melalui pemberitahuan dalam warta; lapangan terbang; premis kerajaan; dewan orang ramai; institusi pendidikan; taman asuhan kanak-kanak; dan dalam bas sekolah.

Di samping itu larangan merokok juga diwujudkan di kaunter perkhidmatan dalam bank dan institusi kewangan, Telekom Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Berhad dan Pos Malaysia Berhad; di kompleks beli- belah; kawasan stesen minyak; dalam stadium, kompleks sukan, pusat kecergasan atau gimnasium; dalam bangunan awam yang digunakan untuk tujuan keagamaan; dalam perpustakaan; dan kafe internet.

Jika didapati bersalah dan disabitkan, maka denda tidak melebihi RM10,000 boleh dikenakan atau hukuman penjara tidak melebihi tempoh dua tahun boleh dijatuhkan oleh mahkamah.

Denda dan hukuman yang lebih tinggi hendaklah dikenakan sekiranya berlaku penyelewengan, manipulasi harga dan penyalahgunaan rokok di samping penerapan kaedah kaunseling dan kempen kesedaran nilai murni kepada perokok tegar bagi mengekang tabiat ketagihan ini di negara kita.

Kaedah perubatan dan pemulihan moden serta tradisional bagi mengurangkan ketagihan dan menyekat aktiviti negatif ini perlu dipertingkatkan lagi melalui kajian dan R&D di bawah seliaan dan bantuan dana penyelidikan kerajaan dan pihak swasta.

Inovasi dan penciptaan ubat penawar kepada masalah ini amat perlu dilaksanakan segera. Pengalaman dan kaedah komprehensif negara maju seperti AS dan Eropah yang berjaya membasmi serta mengurangkan aktiviti penagihan ini hendaklah dipelajari dan diberi perhatian oleh semua pihak.

Kerajaan mengambil beberapa langkah untuk membendung tabiat merokok di kalangan rakyat Malaysia, seperti menaikkan tarif produk tembakau dan larangan penjualan paket kecil 14 batang rokok dan kurang.

Turut diharamkan ialah iklan dan poster rokok di tempat awam termasuk kedai kopi dan pasar mini, di samping tidak membenarkan syarikat tembakau menaja kejohanan bola sepak sejak 2004 dan perlumbaan Formula One (F1) sejak 2005.

No comments:

Post a Comment