Monday, 22 October 2018

HARAM MEROKOK SEBAB KESAN BURUK


Merokok telah disepakati oleh ulama sebagai perbuatan haram di sisi agama. Sesiapa melakukan perbuatan itu bermakna membuat perbuatan dosa. Manakala siapa meninggalkan perbuatan itu atas dasar perbuatan itu ditegah oleh agama, maka dia memperoleh pahala.

Amalan merokok yang merugikan ini perlu dihentikan segera. Sebanyak 10,000 kematian dicatatkan di negara kita setiap tahun akibat pelbagai serangan penyakit berkaitan amalan merokok. Namum jumlah itu tidak langsung membimbangkan perokok. 

Satistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah kematian tahunan akibat merokok di seluruh dunia bertambah daripada 1 juta orang di pertengahan tahun 1960 an kepada dianggarkan menjadi 10 juta orang menjelang 2020.

Hampir 50 peratus lelaki Malaysia merokok, iaitu jumlah yang lebih tinggi berbanding peratus di negara maju seperti Amerika Syarikat (35 peratus) dan United Kingdom (38 peratus). Penurunan kadar perokok di negara maju hasil kejayaan kempen anti merokok yang dijalankan.   

Setiap rokok mengandungi 4,000 jenis bahan kimia dan sebahagian besar daripadanya adalah beracun dan ‘carcinogenic’. Jenis racun terhasil dari pembakaran rokok adalah jenis berat. Di antara jenis racun dalam rokok ialah aseton, ammonia, naphthylamine, metanol, naftalena, kadmium, karbon monoksida, vinil klorida, hidrogen sianida, toluidina, arsenik dan fenol. 

Terdapat kaitan perbuatan merokok dengan penyakit arteri jantung, tersekat saluran darah, kurang daya kecergasan otak, masalah lemah tenaga batin dan penyakit barah.

Kemungkinan perokok dihidapi penyakit berkadar dengan jumlah rokok yang dihisap setiap hari. Contohnya jika menghisab antara 10 hingga 19 batang rokok sehari, kemungkinan diserang penyakit paru-paru adalah 12 kali berbanding mereka yang tidak merokok. Jika merokok 40 batang sehari dan lebih, kemungkinannya meningkat sehingga 30 kali ganda.
 
Dengan kata lain, merokok samalah percubaan membunuh diri sendiri. Perbuatan membunuh diri adalah seburuk-buruk perbuatan dan kematian itu membawa kepada kekufuran. Rasulullah SAW menjelaskan tidak termasuk di kalangan umatnya sesiapa yang membunuh diri.

Asap rokok yang dilepaskan ke udara juga memberi kesan buruk kepada individu yang berada di sekitar atau dipanggil perokok pasif. Kajian di Amerika Syarikat menganggarkan 147 hingga 251 orang bagi setiap juta perokok pasif meninggal akibat penyakit berkaitan rokok.

Jadi, perokok bukan saja membahayakan diri sendiri, tetapi ahli keluarga termasuklah anak yang masih di dalam kandungan.  Perokok tidak boleh mengatakan perbuatannya adalah hak individu kerana ia turut melibatkan orang lain, kecuali dia merokok jauh daripada orang lain.    

Asap rokok yang disedut oleh perokok pasif dipanggil asap tembakau persekitaran (ETS). Kajian WHO mendapati ETS mengandungi 4,000 bahan beracun, di mana termasuk 22 bahan kimia, 12 agen penyebab barah dan 10 logam berat.

Islam menganjurkan agar umatnya sentiasa menjauhkan diri daripada perkara yang mendatangkan mudarat, tidak kira kecil ataupun besar. Syariat Islam mengajar cara hidup yang selamat, sejahtera, sihat dan cemerlang. 

Islam dengan tegas melarang perbuatan mendatangkan keburukan sebagaimana firman Allah di dalam surah an-Nisa ayat ke 2 bermaksud: “Dan janganlah kamu cuba menukarkan yang baik-baik dengan yang buruk-buruk.”

Allah mengharamkan setiap perkara mendatangkan keburukan dan melimpahkan rahmat-Nya untuk manusia menikmati dari sumber yang baik. Jadi, mengapakah manusia melakukan keburukan sedangkan Allah telah menyediakan banyak pilihan yang baik-baik. 

Kempen anti merokok wajar diperhebatkan di negara ini dan undang-undang larangan merokok yang lebih ketat perlu dikuatkuasakan. Kempen yang diadakan bukan sekadar diadakan pelancaran dan kemudian terus hilang fungsi apabila poster kempen lusuh atau diturunkan. 

Setiap tahun cukai rokok dan keluaran tembakau dinaikkan. Namun, ia tidak mengurangkan bilangan perokok. Setiap tahun bilangan perokok semakin bertambah. Paling membimbingkan peningkatan perokok di kalangan remaja dan kanak-kanak.   

Allah melarang sikap membazir dan sesungguhnya membazir itu sifat syaitan. Firman Allah dalam surah an-Araaf ayat 31 bermaksud: “Makan dan minumlah tetapi jangan berlebih-lebihan.  Sesungguhnya (Tuhan) tidak suka kepada orang yang berlebih-lebihan.”

Individu Islam perlu menjauhkan diri daripada perbuatan merokok kerana ia bukan saja  berkaitan kesihatan semata-mata, tetapi dikaitkan juga dengan dosa dan pahala.

Kebanyakan perokok mula merokok sejak umur belasan tahun dan sesetengahnya ketika di sekolah rendah. Remaja mencuba merokok kerana pengaruh rakan sebaya. Kajian mendapati 99 peratus remaja terlibat dadah bermula dengan tabiat merokok seawal usia 13 tahun. 

Perangkaan menunjukkan antara 50 hingga 60 kanak-kanak dan remaja mula merokok setiap hari dan golongan pelajar merangkumi kira-kira lapan peratus daripada anggaran lima juta perokok di negara kita.   

Lebih malang lagi mereka terpengaruh tabiat merokok daripada bapa dan abang mereka. Fakta kajian mendapati kira-kira 60 peratus bapa dan orang dewasa dalam keluarga menghisap rokok di hadapan remaja dan kanak-kanak dalam rumah. 

Kanak-kanak dan remaja mudah terpengaruh apa yang dilakukan oleh orang dewasa dan dianggap kelakuan lumrah dalam masyarakat, jadi mereka juga perlu melakukan sebagai sebahagian komuniti masyarakat.    

Oleh itu, ibu bapa perlu memberi tumpuan menghalang daripada anak-anak menghisap rokok. Isu merokok bukan perkara kecil. Pelajar dan remaja yang merokok berdepan dengan masa depan yang sukar, setidak-tidaknya berkaitan dengan kesihatan.   

Bapa bertanggungjawab membentuk pekerti baik anak mereka. Sabda Rasulullah bermaksud: “Tiada seorang ayah yang memberikan anaknya suatu pemberian lebih baik daripada adab yang mulia.” (Hadis riwayat Tirmizi).

Perokok mengaku berusaha menghentikan tabiat merokok, tetapi gagal. Banyak perokok yang berhenti merokok sekejap saja dan kemudian kembali mengamalkan tabiat itu. Mereka ingin bebas daripada rokok setelah menyedari ia perbuatan merugikan. 

Islam menyuruh berfikir menentukan kebaikan dan keburukan. Firman Allah bermaksud: “Orang-orang yang mendengarkan kata dan diturutnya mana yang paling baik. Itulah orang-orang yang dipimpin Tuhan dan itulah orang-orang yang mengerti.” (Surah az-Zumar, ayat 18).

Satu trend yang membimbangkan apabila bilangan wanita yang merokok semakin meningkat dengan ketara. Nisbah wanita merokok berbanding lelaki pada 1996 adalah 1:6. Tiga tahun kemudian, nisbahnya menjadi 1:4. Kemungkinan nisbah ini akan menjadi 1:1 dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang.

Merokok mendatangkan keburukan lebih tinggi kepada wanita, terutama yang berkaitan kehamilan. Mengikut kajian, di kalangan wanita hamil yang merokok, mereka menghadapi risiko keguguran secara tabii sehingga 27 kali ganda. Mereka juga berdepan dengan kemungkinan yang lebih tinggi kadar kandungan luar rahim akibat kesan nikotin.

Di negara maju, kempen anti merokok diadakan secara besar-besaran. Masyarakat Barat melebalkan perbuatan merokok sebagai tidak bermoral dan punca keruntuhan akhlak. Ini berbeza tanggapan terhadap merokok pada beberapa dekad lalu dianggap bergaya dan lambang kejayaan. 

Kempen anti merokok di Barat agak berjaya mengurangkan bilangan perokok. Permintaan rokok di negara maju telah menurun. Sebab itu pengeluar rokok menumpukan perhatian di negara-negara membangun dan mundur. Lambakan rokok yang tidak berkualiti dan mempunyai kesan bahaya lebih tinggi dijual di negara membangun dan mundur. 

Sesiapa berpegang kepada niat mematuhi tuntuan agama tidak akan menghadapi kesukaran untuk berhenti merokok atau terhindar daripada mencuba merokok. 

No comments:

Post a Comment