Penanaman
tembakau memberi keuntungan besar kepada petani. Namun pada masa sama, tanaman
tembakau mudah berdepan risiko kerosakan apabila batas ditengelami air
kira-kira 12 jam menyebabkan kerugian modal membajak, benih, baja dan tenaga
sehingga menyebabkan petani hilang pendapatan dan menanggung hutang.
Petani
sebenarnya bersedia berpindah kepada tanaman lain sekiranya ada tanaman
alternatif yang setara dari segi pasaran, harga, pendapatan, kestabilan dan
jumlah tanaman. Ada petani cuba beralih kepada tanaman lain seperti ubi kayu,
rosselle, labu dan penternakan, namum mereka akhirnya terpaksa kembali menanam
tembakau setelah gagal mendapat pulangan lumayan berbanding tanaman tembakau.
Setelah
membuat kajian selama beberapa tahun, tanaman yang dikenalpasti sesuai ditanam
untuk menggantikan tembakau ialah kenaf. Kenaf atau nama saintifiknya Hibiscus
cannabinus L. yang merupakan tanaman jangka pendek yang berasal dari Afrika
(barat Sudan). Ia merupakan sejenis pokok berserat bukan berkayu.
Kenaf
tergolong dalam famili Malvaceae dan berada di bawah genus Hibiscus yang
mempunyai persamaan dengan tanaman bendi dan juga kapas. Ada ditanam secara
skala kecil dan komersial di China, Myanmar, India, Bangladesh dan Thailand. Ia
mengandungi 30% fiber (serat) pada bahagian bast (kulit luar) dan 70% empulur
daripada bahagian dalam batang. Ketinggian pokok mencapai 2m hingga 5m. Bagi
pengeluaran fiber penuaian adalah antara 75 hingga 120 hari selepas penanaman.
Penuaian bagi pengeluaran benih adalah 150 hari selepas penanaman.
Lembaga
Tembakau Negara (LTN) yang berperanan memajukan industri tembakau telah
ditukarkan kepada Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) sebagai badan
berkanun di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC). Ia
telah ditubuhkan dengan berkuatkuasanya Akta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara
2009 pada 1 April 2010 bagi menggantikan LTN.
LKTN
diberi tanggungjawab untuk membangunkan tanaman kenaf sebagai tanaman komoditi
baru dan juga sebagai tanaman alternatif kepada penanam tembakau selaras dengan
hasrat kerajaan untuk membangunkan tanaman kenaf sebagai tanaman 'Sumber
Pertumbuhan Baharu' di Malaysia.
Namun,
kerajaan tidak berhasrat menghapuskan terus penanaman tembakau dalam negara ini
kerana yakin kajian mendalam perlu dilakukan bagi melihat potensi komoditi
tersebut dalam bidang lain dan bukan hanya tertumpu terhadap pembuatan rokok.
Potensi
daun tembakau sebagai bahan dalam bidang farmaseutikal dan kesihatan adalah
satu alternatif yang sedang dikenal pasti di peringkat antarabangsa.
Proses
pengurangan pengeluaran tembakau yang dihasilkan dalam negara ini bermula sejak
beberapa tahun lalu iaitu daripada lebih enam juta kilogram pada 2009 kepada
5.5 juta kilogram (2010) dan 4.5 juta kilogram tahun 2012.
Begitu
juga bilangan petani yang menumpukan penanaman tembakau juga semakin susut
iaitu daripada lebih 4,000 orang pada tahun 2009 kepada hanya 2,300 orang pada
tahun 2012. .
Perkembangan
penanaman kenaf memang menggalakkan.
Bermula tahun 2004 dengan hanya berkeluasan 0.4 hektar dengan seorang
penanam, bertambah mendadak sehingga 778 hektar pada tahun 2010 melibatkan 409
penanam. Pada tahun 2008, Kementerian Perusahan, Perladangan dan Komoditi
(KPPK) mengumumkan bahawa tanaman kenaf bakal menjadi sumber tanaman baru
kepada penduduk luar bandar, khususnya di kawasan tanah yang sesuai dengan
tanaman berkenaan.
Pada
tahun 2013, LKTN telah diberi peruntukan sebanyak RM14 juta khusus untuk
membantu penanam kenaf seluruh negara dan menyasarkan penanaman seluas 2,500
hektar melibatkan 2,000 penanam di lapan negari di seluruh negara.
Sehingga
Julai 2013, seluas 1,117 hektar kawasan telah ditanam dengan komoditi itu di
seluruh negara dan sehubungan itu bantuan sejumlah RM2.6 juta telah disalurkan
kepada 683 pekebun.
Tumpuan
LKTN bukan saja melibatkan bekas penanam tembakau berhijrah bertukar kepada
tanaman kenaf, tetapi mana-mana individu yang berhasrat menceburi penanaman
komoditi yang mempunyai masa depan cerah dalam industri ini.
Penanaman
kenaf ini melibatkan negeri Pahang dengan keluasan 1,000 hektar, Kelantan (600
hektar), Terengganu (400 hektar), Perak (200 hektar), Johor (180 hektar),
Selangor (70 hektar), manakala Negeri Sembilan dan Melaka seluas 50
hektar.
LKTN
menyediakan bantuan sebanyak RM2,385 sehektar bagi penyediaan tanah, benih dan
input pertanian untuk menarik minat
lebih ramai pekebun untuk mengusahakan tanaman itu.
Dalam
pada itu, LKTN berusaha untuk meningkatkan pengeluaran biji benih kenaf untuk
memenuhi permintaan pekebun. Pada tahun 2006, pengeluaran biji benih kenaf
hanya sekitar 7,000 kilogram, tetapi kini telah meningkat melebih 150,000
kilogram. Jumlah bijih benih yang dikeluarkan dalam negara masih tidak dapat
memenuhi permintaan pekebun, justeru perlu diimport dari luar negara seperti
China, Mexico, Australia dan Amerika Syrikat.
Diharapkan
tanaman kenaf dapat menjadi tambahan kepada beberapa tanaman komoditi yang lain
seperti getah, kelapa sawit dan koko, sekali gus menyumbang kepada keluaran
dalam negara kasar.
Kerajaan
menyediakan Pelan Induk Pembangunan Kenaf (PIPK) bagi meningkatkan pendapatan para petani
menerusi tanaman komoditi baharu itu. Pelan induk yang dirangka oleh Lembaga
Kenaf dan Tembakau Negara itu menggariskan hala tuju industri sehingga 2025.
Diharapkan
dengan adanya PIPK, pembangunan industri kenaf dapat dilaksanakan secara
tersusun dan terancang agar industri ini menjadi lebih kompetitif, berdaya maju
dan mampan serta menyumbang kepada nilai tambah yang lebih tinggi.
Pelan
induk yang komprehensif untuk merancang supaya tanaman kenaf benar-benar
menjadi gantian kepada tanaman tembakau. Industri kenaf yang tersusun dan
terancang mampu meningkatkan pendapatan para petani. Diharapkan kenaf mampu
menjadi satu industri yang berkembang pesat dan mengatasi sumbangan tembakau
kepada ekonomi petani pada masa dulu.
No comments:
Post a Comment