Fokus untuk mengubah persepsi negatif golongan belia
terhadap bidang pertanian bagi mendekatkan dan meningkatkan penglibatan mereka
dalam bidang itu perlu dilakukan. Kebanyakan belia menganggap pertanian adalah
bidang untuk mereka yang lebih berusia dan miskin serta tidak memerlukan
pendidikan tinggi mahupun teknologi moden.
Persepsi belia itu perlu diubah agar mereka sedar yang
pertanian adalah kerjaya dunia moden dan memberi pulangan yang lumayan. Keadaan
ini dapat dilihat di negara-negara maju seperti di Jepun, Belanda, Korea dan
sebagainya orang yang terlibat dalam bidang pertanian adalah orang kaya dan
berjaya.
Kemegahan sektor pertanian sebagai penyumbang kepada ekonomi
negara seakan-akan tenggelam. Tidak dinafikan komoditi kelapa sawit dan getah
yang dihasilkan melalui aktiviti pertanian masih menjadi penyumbang utama
kepada pendapatan negara, namun secara takrifnya hasil kedua-duanya tidak
dianggap sebagai hasil pertanian. Sebab itu, urusan berkaitan kelapa sawit,
getah, koko dan lada hitam terletak di bawah Kementerian Perusahaan
Perladangan dan Komoditi.
Malaysia perlu kembali memperkasakan bidang
pertanian kerana bidang berkenaan releven sepanjang masa. Bidang pertanian yang
menghasilkan sumber makanan diperlukan manusia sepanjang zaman. Biarpun negara
mencapai tahap kemajuan dan tamadun yang tinggi, sumber makanan tetap menjadi
keperluan utama.
Sebab itu, di negara maju, aktiviti pertanian menjadi agenda
utama dalam menyediakan keperluan untuk rakyat. Menyediakan bekalan sumber
makanan ditakrif sebagai satu keperluan untuk keselamatan. Di Malaysia,
pembangunan kawasan sawah padi dianggap menjadi salah satu strategi keselamatan
negara.
Untuk menarik minat golongan muda menyertai bidang
pertanian, penjenamaan semula kerjaya sebagai petani perlu dilakukan. Dahulu
golongan terpelajar merasa dekat dengan bidang pertanian apabila belajar di
Universiti Pertanian Malaysia, walaupun bidang yang mereka ambil bukan
berkaitan dengan pertanian. Bahkan, Malaysia boleh berbangga ada sebuah
universiti yang mengkhususkan dalam bidang pertanian.
Bagaimanapun, universiti yang menjadi ikon pertanaian itu
lenyap apabila pada 3 April 1997, nama Universiti Pertanian Malaysia ditukarkan
kepada Universiti Putra Malaysia. Tidak dinafikan di universiti itu masih lagi
menawarkan kursus dalam bidang pertanian, namun imej untuk menggambarkan
kehebatan bidang pertanian telah lenyap dengan pertukaran nama itu.
Kerajaan secara berterusan sebenarnya telah berusaha untuk
meletakkan bidang pertanian sebagai sektor yang lebih menarik dan memberi
sumbangan lebih besar kepada kesejahteraan negara.
Penukaran nama Kementerian Pertanian kepada Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia (kini Kementerian Pertanian dan
Keterjaminan Makanan) adalah usaha membawa bidang pertanian keluar dari
kepompong kampung dan miskin. Apabila ia dikaitkan dengan industri, maka
gambaran adalah moden dan menguntungkan.
Kerajaan perlu memberi tumpuan untuk membangunkan modal
insan dan melahirkan tenaga kerja mahir tempatan memandangkan kekurangan tenaga
kerja tersebut masih merupakan cabaran dalam industri agro makanan negara.
Persekitaran kerja yang kurang kondusif, peluang kerjaya
yang terhad, upah yang rendah dan persepsi negatif masyarakat terhadap sektor
pertanian menyebabkan minat berkecimpung dalam bidang berkenaan terbantut,
lantas menyebabkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

No comments:
Post a Comment