Thursday, 11 October 2018

MENGUSAHAKAN PERTANIAN MODEN

Kerajaan bersungguh-sungguh untuk memperkasakan sektor pertanian. Ini tidak pula bermakna dasar perindustrian negara disisihkan. Kerajaan terus memberi keutamaan kepada usaha meletakkan negara sebagai negara perindustrian dan berasaskan teknologi maklumat. 
 
Pada masa yang sama turut memberi perhatian kepada sektor pertanian yang menjadi teras ekonomi negara pada satu ketika dulu. 

Memajukan industri pertanian bukan satu langkah ke belakang. Sebaliknya, ia satu tindakan untuk memenuhi keperluan negara dalam penyediaan makanan untuk rakyat dan pada masa yang sama dipertingkatkan untuk mengurangkan defesit import bahan makanan.   

Negara maju tetap memajukan industri pertanian, sekurang-kurangnya untuk tujuan keselamatan. Bahan makanan adalah keperluan asas yang menentukan kelangsungan kekuatan sesebuah negara. Sesebuah negara akan ditimpa malapetaka jika gagal menyediakan bekalan makanan yang cukap untuk keperluan rakyatnya. 

Biarpun kita boleh mengimport bekalan makanan dari luar negara, ia tidak dapat menjamin dari segi memenuhi keperluan dan juga harga. Perkara ini berlaku seperti masalah bekalan beras, gula dan gandung. Bahkan, kita juga selalu berdepan dengan kekurangan bekalan bawang, ubi kentang dan sayur-sayuran. 

Setiap kali masalah kekurangan bekalan berlaku, rakyat menimbulkan rasa gelisah dan menyalahkan pihak kerajaan. Rakyat yang biasa hidup dalam keadaan selesa akan merasa 'derita' jika mengalami sedikit masalah kekurangan bekalan makanan.

Antara perkara yang ditekankan dalam memajukan industri pertanian ialah mewujudkan lebih banyak mereka yang menjadi usahawan dalam bidang berkaitan pertanian. Aktiviti pertanian bukan lagi kerja kampung atau sekadar sara hidup semata-mata. Sebaliknya, aktiviti pertanian kini telah memasuki era perniagaan yang memberi pulangan pendapatan yang lumayan.

Sememangnya tidak dapat diragui lagi bahawa sektor pertanian mempunyai potensi besar untuk berkembang menjadi penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Setelah kerajaan melaksanakan reformasi terhadap industri pertanian negara, pertumbuhan sektor itu mencipta sejarah apabila mencatatkan pertumbuhan melebihi lima peratus, mengatasi pencapaian statik sekitar tiga hingga empat peratus setahun.   

Sektor ini diharapkan menjadi nadi kehidupan masyarakat luar bandar dan menyumbang kepada industri hiliran sebagai produk siap untuk dieksport, sekaligus akan mengurangkan defesit import produk pertanian. 
 
Jumlah keseluruhan nilai import bahan makanan negara pada tahun 2011, ia adalah berjumlah RM34.5 bilion, mengatasi eksport yang sekadar RM20 bilion. Daripada nilai import itu, sebanyak 18.7% adalah merupakan jumlah nilai import untuk susu dan hasil susu, sayur-sayuran serta buah-buahan.

Kerajaan turut memasukkan sektor pertanian dalam Aktiviti Ekonomi Utama Nasional (National Key Economic Area - NKEA).  NKEA pertanian memberi fokus kepada subsektor yang mempunyai potensi pertumbuhan yang besar yang dapat membantu Malaysia untuk turut sama menyertai pasaran global yang semakin berkembang.  Tumpuan turut diberikan kepada subsektor strategik dalam usaha menjamin bekalan makanan negara.

Untuk itu, 16 Projek Permulaan (Entry Point Project - EPP) dan 11 Potensi Perniagaan (Business Opportunities - BO) telah dikenal pasti yang disasarkan akan memberikan Keseluruhan Pendapatan Negara (Gross National Income - GNI) berjumlah RM21.44 billion dan mewujudkan peluang pekerjaan baru sebanyak 74,600 di mana sebahagian besar daripadanya akan diwujudkan di kawasan luar bandar.

Senarai 16 EPP yang dikenal pasti adalah pembangunan produk herba bernilai tinggi, peningkatan pengeluaran sarang burung walit, penerokaan industri rumpai laut melalui konsep ladang mini di Sabah, pembangunan ternakan dalam sangkar secara bersepadu dan pentenakan lembu secara integrasi di ladang kelapa sawit. 

Turut termasuk dalam EPP ialah pereplikasian model akuakultur bersepadu, pembangunan keupayaan untuk penghasilan buah-buahan dan sayur-sayuran bagi pasaran premium, penubuhan taman pemakanan bersepadu, pembangunan varieti beras wangi, pengukuhan produktiviti penanaman padi di kawasan Muda (MADA) serta pengukuhan produktiviti penanaman padi di  kawasan pengairan lain. 

Turut termasuk dalam EPP ialah pengukuhan syarikat penaung dalam ternakan lembu fidlot, pembangunan kelompok ladang tenusu di Malaysia, pembangunan industri benih, pelaburan asing dalam bioteknologi pertanian dan pelaburan luar negara dalam industri ternakan.

Pelaburan yang diperlukan untuk melaksanakan EPP yang telah dikenal pasti adalah dianggarkan berjumlah RM18.9 bilion. Daripada jumlah pelaburan tersebut, 44 peratus (RM8.2 bilion) adalah pembiayaan dari sektor awam manakala 56 peratus  (RM10.7 bilion) adalah dari sektor swasta.

Manakala 11 Potensi perniagaan yang dikenal pasti ialah produk nutrasutikal, pengedaran luar negara, penternakan ikan hiasan, kilang makanan bagi akuakultur, pusat eksport akuakultur, industri makanan ringan (snack), ternakan ayam di ladang kelapa sawit, penanaman cendawan butang (button mushroom), produk buah-buahan siap dimakan, pelaburan asing dalam bidang herba dan industri pemprosesan makanan oleh syarikat luar negara. 

Para petani dan usahawan perlu merebut peluang disediakan oleh kerajaan. Sekiranya apa yang dirancang oleh kerajaan berjalan lancar, kejayaan itu bukan saja membantu mengurangkan penggantungan import bahan makanan, bahkan meletakkan sektor pertanain setaraf dengan sektor-sektor lain dalam memberi kekyaaan kepada mereka yang terlibat dengannya. 

Sekarang ini, bidang pertanian dianggap paling tidak berdaya maju dan menjadi penyumbang utama kepada peratusan golongan miskin di negara kita. Sebut saja petani, maka tergambar kemiskinan dan penderitaan.  
 
 Sebenarnya menjadi petani bukan bermakna hidup miskin. Bidang pertanian amat menguntungkan jika dilakukan dengan cara bersistematik dan bersungguh-sungguh. Di negara maju, petani dianggap golongan yang memperoleh pendapatan yang lumayan.

Petani di negara kita perlu berubah dari pertanian sara diri kepada pertanian komersial selaras dengan cabaran globalisasi sektor berkenaan sekarang ini. Bidang pertanian perlu dilihat sebagai satu industri yang besar dan menguntungkan. 
 
Perancangan kerajaan melalui NKEA pertanian perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengubah wajah sektor pertanian agar dilihat positif dan menarik lebih banyak individu menyertainya.

Untuk menjayakan usaha itu, penyertaan golongan muda berpendidikan tinggi amat diperlukan. Program pembangunan insan melahirkan lebih banyak petani moden menjadi agenda memperkasakan sektor pertanian di negara kita.

Sekarang ini rata-rata petani terdiri golongan tua. Faktor lanjut usia itu menyebabkan mereka tidak lagi produktif, sekali gus menyebabkan pengeluaran pertanian berkurangan. Mereka tidak lagi peka kepada perubahan dan sukar untuk berubah. Apa yang dilakukan sekadar untuk sara hidup menghabiskan sisa-sisa hidup. 

Golongan muda diperlukan kerana mereka mudah dibentuk, berpandangan jauh dan mempunyai pengetahuan dalam banyak bidang yang dipelajari. Golongan muda mendapat pendidikan asas dalam bidang sains, ekonomi, perakaunan, teknologi dan bidang pertanian sendiri.

Kemahiran itu dapat membantu melahirkan petani moden dan seterusnya menjadi usahawan dalam bidang pertanian. Petani moden tidak sekadar menanam atau menternak, tetapi menjadi pengusaha memasarkan sendiri hasil tanaman mereka. 

Lebih banyak golongan siswazah dialu-alukan menyertai bidang pertanian melalui Skim Siswazah Tani yang menyediakan banyak kemudahan seperti pinjaman dan khidmat nasihat.  Siswazah perlu mengikis tanggapan bahawa sektor pertanian tidak menjanjikan pendapatan lumayan dan hanya sesuai untuk golongan berpendidikan rendah. 

Penyertaan lebih ramai golongan muda dalam bidang pertanian juga dapat mengurangkan masalah pengangguran yang semakin meningkat sekarang. Pandangan negatif kepada bidang pertanian perlu diubah segera. 

Golongan muda diharapkan menjadi petani moden dan mengubah landskap pertanian negara ke arah lebih berdaya saing untuk menghadapi cabaran globalisasi. 
 
Hasil penat lelah mengusahakan tanah terbiar memberi pulangan pendapatan bersih kira-kira RM3,000 hingga RM5,000 sebulan kepada para petani. Malah ada petani yang mampu memperoleh pendapatan melebih RM10,000 sebulan dan ada yang telah bergelar jutawan.

No comments:

Post a Comment