Thursday 11 October 2018

BEKALAN MAKANAN UNTUK KESELAMATAN NEGARA

Sekarang keselamatan negara bukan sahaja boleh diganggu gugat oleh pihak musuh luar dalam bentuk peperangan, ia juga boleh diganggu gugat oleh masalah kekurangan dan kenaikan harga bekalan makanan asasi. Ia boleh dianggap tsunami senyap untuk menggambarkan keadaan ancaman akibat kekurangan makanan.   

Istilah ini memang bertepatan kerana kekurangan dan kenaikan harga bahan makanan bukan sahaja mencetuskan masalah kelaparan dan kekurangan zat makanan, malah ia boleh menimbulkan suasana tidak aman dan keresahan di kalangan masyarakat awam.

Malaysia sebagai sebuah negara yang masih belum mencapai tahap sara diri pengeluaran bahan makanan bagi keperluan penduduknya tidak terkecuali daripada menerima tempias tsunami senyap ini.

Takrifan berkenaan jaminan barangan makanan perlu kita perhalusi. Jaminan makanan bagi sesebuah isi rumah bermaksud setiap ahlinya mempunyai capaian kepada barangan makanan secara mencukupi pada bila-bila masa bagi membolehkan mereka menjalani satu kehidupan secara giat dan sihat. Jaminan makanan ini merangkumi keperluan-keperluan minimum ke atas perkara-perkara berikut:

Sumber yang tersedia dan mencukupi baik dari sudut khasiat dan keselamatan, dan jaminan kemampuan untuk memperolehi makanan melalui cara yang yang diterima ramai (maksudnya tanpa perlu menggunakan bekalan kecemasan, mencari-cari, mencuri dan sebagainya)

Kita boleh katakan jaminan barangan makanan penting bagi memastikan masyarakat memperoleh makanan asas yang berkhasiat tanpa perlu berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan atau terpaksa membayar pada harga yang melampau.

Malaysia sudah menggariskan matlamat untuk meningkatkan jaminan makanan kepada masyarakat melalui Dasar Pertanian negara (1998-2010). Namun begitu mana matlamat ini tidak mencapai sasaran, walaupun telah menunjukkan kesan positif.

Berdasarkan kepada maklumat-maklumat data yang dimuatkan di dalam Rancangan Malaysia ke Sembilan (RMK9), tahap sara diri Malaysia bagi komoditi beras untuk 2005 berada pada tahap 72% sahaja. 
 
Manakala bagi sayur-sayuran, keluaran perikanan, daging lembu dan susu masing-masing berada pada kadar 74%, 91%, 28% dan 5% sahaja.

Ini secara tak langsung menggambarkan betapa tidak terjaminnya kestabilan paras harga makanan penduduk Malaysia selain mereka juga terdedah kepada ancaman kekurangan bekalan kerana masih perlu bergantung kepada import luar.

Malaysia memang terkenal sebagai negara pertanian.  Tanah pertanian di Malaysia mencecah lebih 6.38 juta hektar tanah.  Namun, keluasan untuk tanaman padi yang menjadi bekalan makanan ruji negara hanya hanya 428,780 hektar (2010) Keluasan ini berkurangan berbanding 0.452 juta hektar pada 2005 dan 2000 sebanyak 0.478 juta hektar.   
 
Berdasarkan perkembangan sekarang, banyak tanah sawah telah ditukar kepada status tanah perumahan dan perindustrian, kawasan tanaman padi negara akan terus berkurangan.  

Tanaman padi merupakan tanaman keselamatan yang perlu dijaga untuk mempastikan bekalan makanan ruji sentiasa mencukupi untuk rakyat Malaysia.

Di sini pihak pembuat dasar perlu peka dalam menentukan keutamaan sesuatu dasar yang ingin dilaksanakan. Keperluan mengeluarkan bahan makanan pada tahap sara diri sepatutnya lebih diutamakan daripada menghasilkan tanaman komoditi untuk eksport.

Tidak dinafikan, tanaman padi (Oryza sativa) di Malaysia merupakan satu aktiviti penting yang membekalkan beras kepada penduduk Malaysia. Berdasarkan statistik 2010, hasil pengeluaran padi adalah sebanyak 2.458 juta metrik tan dengan nilai pengeluaran RM 2.165 billion (Laporan Statistik Agromakanan , Kementerian Pertanian Malaysia Tahun 2011).

Laporan tersebut juga menyatakan purata penghasilan padi sebanyak 3,782 kg sehektar dengan penghasilan paling tinggi mencecah sebanyak 10 metrik tan sehektar seperti di sekitar sawah di Sekinchan, Selangor. 
 
Jika padi tersebut diproses kepada beras, hasilnya sebanyak 1.265 juta tan metrik beras dihasilkan untuk kegunaan rakyat Malaysia. Ini mencukupi untuk bekalan sebanyak 70% kadar kecupan makanan (SSL - self sufficiency level) dalam negara di mana sebanyak 570,000 metrik tan lagi perlu diimpot dari luar negara.

No comments:

Post a Comment