Jajahan (daerah) Gua Musang merupakan jajahan terluas di
Kelantan. Hampir separuh negeri Kelantan adalah di Gua Musang dengan keluasan
817,595 hektar atau 48.54 peratus dari keluasan keseluruhan negeri Kelantan.
Sebelum ini luas jajahan Gua Musang mencapai 999,295 hektar
sebelum ia dipecahkan menjadi Jajahan Kecil Lojing yang diperuntukkan keluasan
sebanyak 181,700 hektar.
Jajahan Gua Musang terletak di bahagian selatan. Kemajuan Gua
Musang dipacu oleh aktiviti ekonomi dari hasil pembalakan dan galian, selain
pertanian ladang, khususnya kelapa sawit.
Secara
umumnya, Gua Musang bermaksud “gua atau tempat musang”. Sebelum tahun 1983, satu-satunya
penghubung Gua Musang dengan dunia luar hanya melalui kereta api. Bandar Gua Musang
terletak kira-kira 186 kilometer dari Kota Bharu.
Di
bahagian timur pekan ini, ada sebuah bukit yang dikenali sebagai Bukit Gua
Musang setinggi 105 meter. Pada masa dahulu sebelum diterokai, kawasan ini
dihuni oleh masyarakat orang asli yang hidup dengan memburu, suka
berpindah-randah dan tidak bergaul dengan masyarakat lain.
Untuk memajukan jajahan Gua Musang, kerajaan telah menubuhkan
Lambaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang turut beroperasi memajukan
kawasan di jajahan Jeli, Kuala Krai dan Tanah Merah.
Pejabat Kesedar terletak di bandar Gua Musang yang banyak
mewarnai identiti Gua Musang.
Untuk urusan pentadbiran, Majlis Daerah Gua Musang (MDGB) memainkan
perananan penting. Pada
awal penubuhan, Majlis Daerah Gua Musang dikenali dengan nama Majlis Daerah Ulu
Kelantan.
Menerusi
Warta K.N.PU 32 yang bertarikh 13 September 1983, Majlis Daerah Ulu Kelantan
telah ditukar nama kepada Majlis Daerah Gua Musang. Penyusunan semula dibuat di
bawah Akta 171 dan 176 mulai 1 Januari 1979.
Majlis
Daerah Gua Musang telah dibentuk hasil daripada penubuhan serta pencantuman dua
buah Penguasa Tempatan yang sedia ada iaitu Lembaga Bandaran Gua Musang dengan
Majlis Tempatan Bertam yang telah ditubuhkan pada 1 Mac 1984 di bawah Seksyen
3(1), Undang-Undang Majlis Tempatan 1952.
Disamping
itu, Majlis Daerah Gua Musang meluaskan lagi empayarnya dengan mengadakan
perluasan kawasan operasi majlis daripada 0.68 batu persegi (1.76 kilometer
persegi) kepada 50 batu persegi (129.5 kilometer persegi). Antara kawasan
tersebut ialah Kampung Star, Kampung Pulai, Pasir Tumbuh, Chegar Bongor,
Kampung Kerinting, Limau Kasturi, Batu Papan dan Kampung Lepan Tupai (Lepan
Jaya).
Selepas
pewartaan perluasan kawasan Majlis Daerah Gua Musang pada 15hb September 2005,
keluasan pentadbiran Majlis Daerah Gua Musang telah bertambah iaitu seluas
7,979.77 kilometer persegi yang mana ianya merangkumi 3 daerah iaitu Daerah
Galas, Daerah Bertam dan Daerah Ciku.
No comments:
Post a Comment